Tuesday 27 December 2016

AHMAD DAWJEE DADABHOY : JUTAWAN AKHIRAT



“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah maha luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.” {Petikan dari surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:261)}.

1.  Bersedekah/berinfaq dengan ikhlas kerana Allah dan untuk jalan Allah adalah ibarat menghimpun harta kekayaan untuk kegunaan di negeri akhirat. Allah SWT berfirman banyak tempat di dalam Al-Quran tentang kelebihan bersedekah. Surah yang banyak membicarakan tentang bersedekah ini ialah surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:195, 215, 245, 254, 262, 264, 265, 267, 271, 272, 273, 274 dan 280).  Ia juga ada disebut dalam surah-surah  Ali Imran[Keluarga Imran](3:92) dan An-Nisa’[Kaum Wanita] (4:39 dan 114).

2.  Rasulullah SAW juga banyak bersabda tentang kelebihan dan kebaikan sedekah.  Salah satu yang mashyur ialah seperti diriwayatkan dari Abu Hurairah ra, yang bermaksud: “Apabila anak cucu Adam itu mati, maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariah, anak yang soleh yang memohonkan keampunan untuk kedua ibu bapanya dan ilmu yang memberi manfaat”.
MALAYAN MANSION KINI

2.    Mahukah kita menjadi seorang jutawan akhirat?. Memiliki harta kekayaan untuk kegunaan dan keperluan di negeri akhirat. Jika mahu ikutilah langkah yang telah dipraktikkan oleh almarhum Ahmad Dawjee Dadabhoy (ADD). Siapakah ADD?. Beliau telah dilahirkan  pada tahun 1907 di Gujerat India. Setelah merantau di banyak negara di dunia maka pada tahun 1940an ADD telah datang ke Tanah Melayu dan memilih untuk menetap di Kuala Lumpur.  ADD ialah seorang ahli perniagaan India muslim bertaraf jutawan yang amat berjaya pada masa itu. Aset dan sahamnya ada di dalam dan di luar negara. Namun beliau memilih untuk hidup yang sangat sederhana dan hanya tinggal di No.2420, Rumah Pangsa Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Bagi orang yang tidak mengenali beliau akan berfikir beliau ialah seorang miskin ataupun kurang waras fikirannya.

3.   Beliau dikatakan boleh bercakap dalam banyak bahasa. Kegemaran ADD ialah membaca buku. Sebanyak 1,077 buah buku koleksi milik almarhum ADD yang telah direkodkan. Buku-buku tersebut pada awalnya disimpan sementara di Perpustakaan Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan. Buku tersebut meliputi pelbagai bidang antaranya kenegaraan, ketamadunan, sejarah, bahasa, geologi, perubatan, politik dan pertanian. Ketelitian ADD dalam membaca dapat dilihat menerusi catatan tangan di dalam buku-buku tersebut. Turut dijumpai dalam buku-buku tersebut beberapa keping gambar lama yang menunjukkan peristiwa banjir besar yang melanda Kuala Lumpur pada tahun 1971. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), K.L. kemudiannya telah memindahkan buku-buku tersebut ke sebuah galeri  di Aras 35, Imarah Wakaf MAIWP. 
 

 

4.  Sebelum meninggal dunia beliau berwasiat agar segala kekayaannya digunakan untuk kemajuan pendidikan dan ekonomi orang Islam. Dihari kematian beliau pada 24.1.1987 (23 Jamadil Awwal 1407), ADD mati di dalam sebuah rumah pangsa kecil beliau di Jalan Masjid India dengan di kelilingi oleh buku-buku bacaannya. ADD meninggal dunia ketika berusia 80 tahun. Pada tanggal 18.9.1991 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan bahawa MAIWP KL adalah pemegang amanah almarhum memandangkan beliau tidak mempunyai anak atau waris bagi memenuhi wasiat ADD.

5.   Pada tahun 2007 MAIWP telah memajukan tanah almarhum seluas 1.21 ekar di Lot 168 dan 169, Jalan Perak Kuala Lumpur dengan kerjasama Tabung Haji dan Bank Islam Berhad. Majlis peletakan batu asas pembinaannya telah dilakukan oleh Tun Abdulah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri. Di atas tanah wakaf tersebut telah didirikan sebuah menara 34 tingkat yang dikenali sebagai Menara Wakaf Bank Islam. Bangunan itu dibina dengan kos RM 151 juta yang ditanggung  oleh Lembaga Tabung Haji.  Majlis perasmian menara tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin pada 19.10.2011. Projek ini merupakan pembangunan projek wakaf komersil pertama di Malaysia. Nilai asal tanah itu ialah RM 34 juta tetapi hari ini nilainya telah melebihi RM 200 juta.




 

MENARA TABUNG HAJI
6.    Hari ini menara ini disewakan sebagai pejabat kelas A di kawasan segi tiga emas yang kedudukannya tidak jauh dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC). MAIWP sebagai pemegang amanah harta wakaf ADD menerima RM 56.6 juta hasil sewaan bangunan ini selama 25 tahun. Selepas 25 tahun menara ini akan menjadi milik MAIWP. Kini bangunan menara ini disewa oleh Bank Islam dan menjadi pejabat utama mereka di Kuala Lumpur. Di dalam bangunan menara ini terdapat sebuah surau yang dinamakan sempena nama ADD yang boleh memuatkan seramai 3,000 jemaah. Kejayaan pembinaan menara ini membuktikan keupayaan MAIWP untuk membangunkan tanah-tanah wakaf.

7.  Selain tanah di Jalan Perak, MAIWP turut bertanggung jawab kepada hartanah ADD lain iaitu 1 lot kedai di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur dan 2 buah rumah berkembar dua tingkat di Taman Melawati Kuala Lumpur. Di samping hartanah tersebut, MAIWP juga turut menjadi pemegang amanah kepada harta wakaf ADD yang berbentuk saham bernilai jutaan ringgit samada di dalam dan di luar negara termasuk Bursa Saham London dan beberapa bursa saham lain.

8.   Pernah keluarganya dari Afrika Selatan datang ke Malaysia. Menitis air mata keluarga ADD apabila dibawa melawat tanah wakaf beliau di kawasan segi tiga emas, Kuala Lumpur.  Mereka menangis kerana melihat tingginya nilai hartanah tersebut dan betapa tingginya ketaqwaan dan keimanan saudara mereka, ADD yang telah mewakafkan hartanya itu untuk memajukan umat Islam di Malaysia.

9.  Kesah ADD ini hanya berlaku lebih kurang 30 tahun lalu. Ia akan mengingatkan kita kepada kesah hidup para sahabat Rasulullah yang kaya raya tetapi menginfaqkan/mewakafkan harta mereka untuk agama Allah. Harta yang ditinggalkan untuk manfaat orang lain. Mereka telah membuat pelaburan jangka panjang yang hakiki untuk kegunaan dalam kehidupan di negeri akhirat. 

10.  Jadikanlah diri kita seumpama pokok yang berbuah agar buahnya dapat dimanfaatkan oleh orang lain.  Jangan jadi pokok yang hanya rendang dan lebat daunnya tetapi tidak berbuah.

11.  Mencari harta kekayaan tidak dilarang dalam Islam.  Tetapi perlu diingati bahawa harta kekayaan itu bukanlah milik mutlak kita. Harta perlu dikongsikan dengan orang lain samada dalam bentuk zakat, sedekah, wakaf dan seumpamanya. Setelah kita mati nanti pahala sedekah inilah yang akan terus menerus sampai kepada kita di alam barzakh untuk memberi kesenangan kepada kehidupan kita di sana nanti.

12.   Saya telah memuatkan dua tajuk artikel tentang kelebihan bersedekah sebelum ini. Tajuk-tajuk itu ialah “KELEBIHAN SEDEKAH : ORANG YANG TELAH MATI MAHU HIDUP SEMULA KERANANYA” yang telah diterbitkan pada 22.12.2015 dan “BENARKAH SEDEKAH BOLEH MENAMBAHBAIK KESIHATAN BADAN?” yang diterbitkan pada  7.7.2016.
                                      
                                    VIDEO KESAH  AHMAD DAWJEE DADABHOY
“Kebaikan itu ada pada lima perkara iaitu mampu mengawal diri, menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain, menggunakan rezeki yang halal, berserah diri kepada Allah dan menyakini segala kekuasaan Allah”. ~~ Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah