1. Rezeki bererti apa jua yang bermanfaat yang Allah kurniakan kepada manusia,
samada dalam bentuk material seperti wang, rumah, kereta, tanah, bangunan dan
sebagainya. Ia boleh juga dalam
bentuk bukan material seperti kesihatan, kecerdikan, kedamaian, ketenangan,
memperolehi ilmu atau idea, sahabat, masa lapang dan seumpamanya.
2. Berkaitan dengan rezeki ini Allah SWT telah berfirman dalam
surah-surah berikut:
Bertanyalah
kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada
kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan
penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang
mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah
pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan
itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata:
"Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah:
"(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu
bertaqwa?.{Petikaan dari surah Yunus
(10:31)}
“Dan
tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah
jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat
ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata
(kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” {Petikan dari surah Hud(11:6)}.
“Allah
jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu
Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara
makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat
sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya
dari apa yang mereka sekutukan (denganNya)”.{Petikan dari surah Ar-Rum[Kerajaan Rom](30:40)}
3. Islam menggalakkan umatnya
supaya mencari rezeki yang halal dengan hasil usaha sendiri kerana ia akan
diberkati oleh Allah SWT. Sifat suka meminta-minta daripada orang lain adalah
antara sifat yang dikeji oleh Islam. Oleh itu setiap orang Islam hendaklah
menjauhi daripada sifat demikian. Itu adalah maksud dari huraian hadis daripada
Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, sesungguhnya orang yang membawa
seberkas kayu di atas belakangnya adalah lebih baik daripada dia meminta-minta
daripada orang lain sama ada diberi atau pun tidak”.(Hadis Riwayat Bukhari
dan Muslim).
4. Manusia lazimnya akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan
rezeki yang bersifat material sebanyak-banyaknya. Tapi tahukah kita apakah
rezeki yang kita perolehi itu diberkati Allah SWT ataupun tidak?. Sebagai orang Islam adalah sangat penting
untuk kita mengetahui samada rezeki yang kita perolehi itu diberkati Allah atau
pun tidak. Apakah maksud berkat?. Berkat
berasal dari perkataan Arab yang
bermaksud
kolam. Jika kita memasukkan tangan ke dalam kolam, kita pasti akan mendapati ia
lebih dalam daripada apa yang kita mampu lihat.
Begitulah pengertian barakah. Berkat dari segi maknanya ialah penambahan
atau peningkatan.
5. Sebahagian tanda-tanda untuk kita mengenali rezeki yang diberkati Allah
ialah:
5.1. Apabila kita terasa mudah untuk mengerjakan
solat dan juga melakukan amal ibadat yang lain. Dari rezeki yang diperolehi
itulah kita dapat mengerjakan haji atau umrah.
5.2. Kita akan sentiasa rasa cukup dengan apa yang
kita perolehi. Malah mungkin
kadang-kadang kita rasa macam lebih dari mencukupi. Itu adalah orang yang
memiliki sifat qana'ah. Sebaliknya ada orang yang telah memilki rezeki atau harta
yang banyak tapi tidak pernah rasa puas mencari harta. Ini adalah tanda harta yang mereka
perolehi tidak ada keberkatan disisi Allah. Contoh tiada keberkatan ialah apabila kita dapat
wang, rasa sekejap sahaja wang telah habis. Tetapi jika wang yang diperolehi
itu ada keberkatannya ia terasa lambat habis malah mungkin dapat pula disimpan.
5.3. Suasana atau keadaan dalam keluarga dilihat
stabil atau bahagia. Permasalahan dalam
keluarga kadang-kadang boleh berpunca dari sumber rezeki. Bila bercampur harta
halal dan haram seperti rasuah maka wang yang ada sentiasa rasa tidak mencukupi.
5.4. Orang sekeliling kita suka mendekati kita
atau senang dengan kehadiran kita. Perkara seperti ini boleh dilihat bila kita
bersama rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain. Kehadiran kita memberi
manfaat kepada orang lain dan tidak menyusahkan mereka.
5.5. Anak-anak cemerlang dalam pelajaran mereka.
Sebab itu pentingnya mencari rezeki yang halal lagi berkat sebab duit yang kita
guna membeli makanan dan barang-barang untuk keperluan anak-anak sebenarnya ada
kesannya.
5.6. Rumah kita kerap diziarahi tetamu. Kedatangan
tetamu sebenarnya membawa rezeki dan keberkatan ke dalam rumah tangga kita.
5.7. Doa kita mudah dimakbulkan Allah. Rasulullah
pernah bersabda
yang bermaksud bahawa antara sebab doa yang tidak dimakbulkan Allah ialah
kerana memakan dari rezeki yang haram.
6. Berusahalah untuk mencari rezeki yang halal di sisi Allah SWT agar
kita memperolehi keberkatan darinya.
Tidak ada guna sama sekali mencari rezeki atau kekayaan yang berasal
dari sumber yang haram. Ini kerana kita
akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah nanti di Padang Mahsyar di atas
SEMUA harta dan kekayaan yang kita perolehi di dunia ini. Ingatlah bahawa ada
tiga golongan manusia yang lama hitungan hisabnya di Padang Mahsyar nanti, iaitu:
6.1. Orang yang
memiliki banyak harta kekayaan
6.2. Orang memiliki
anak yang ramai
6.3. Orang yang memiliki
ilmu yang banyak.
“Janganlah seseorang
hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain
kepada dosanya.” ~~ Mutiara Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah
Sebahagian kandungan dipetik
dari Islamituindah.my
No comments:
Post a Comment