1. Perkataan dunia dalam bahasa Arab memberi beberapa pengertian seperti
bawah, rendah, dekat, hampir, singgah atau lalu. Ia bermaksud bahawa dunia ini berada di langit yang paling bawah.
2. Dari sudut pandang Islam, dunia ini dianggap sebagai tempat kehidupan
sementara dan ia adalah sebagai jambatan atau perantaraan menuju alam akhirat
yang kekal abadi untuk selama-lamanya.
3. Justeru, jika kita perhatikan dengan teliti kehidupan di dunia
ini maka ia hanya bersifat sementara yang berbeza-beza tempohnya antara seseorang
dengan orang yang lain. Contohnya:
3.1. Ada manusia yang sempat hidup di alam rahim ibunya
sahaja tetapi meninggal dunia sebelum dilahirkan.
3.2. Ada manusia yang hidup tatkala dalam alam rahim
ibu dan sempat dilahir ke dunia tetapi mati ketika masih bayi.
3.3. Ada pula manusia yang hidup semasa peringkat
bayi tetapi mati belum sampai peringkat akil baligh.
3.4. Ada manusia yang hidup tatkala masa
kanak-kanak tetapi mati sebelum sempat berumah tangga.
3.5. Ada manusia yang dipanjangkan usia sempat
hidup selepas berkahwin tetapi Allah tidak mengurniakan zuriat keturunan
untuknya.
3.6. Ada pula manusia yang dipanjangkan umurnya
tetapi tidak melaksanakan perintah Allah dan tidak ada kebahagian dalam hidupnya.
3.7. Ada manusia yang dipanjangkan Allah
umurnya tetapi Allah beri sakit dan
penyakit kepadanya serta tuanya dalam keadaan nyanyuk.
3.8. Ada manusia yang bernasib baik dipanjangkan
usia dalam keadaan sihat dan kehidupannya dipenuhi dengan amal ibadat hanya
kerana Allah.
4. Kesemunya menjadi rahsia bagi Allah SWT untuk menentu dan
menetapkan sesuatu mengikut ilmu Allah. Manusia hanyalah menjalani hidup di
dunia ini yang ibarat seperti jambatan untuk menuju akhirat. Namun begitu ramai
manusia yang termakan dengan tipu daya dunia
dengan sedikit kemewahan, kekayaan, keindahan dan kenikmatan yang hanya
bersifat sementara. Dalam surah Ar-Rad[Guruh](13:26), Allah SWT berfirman
yang berbunyi:
“Allah
memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya.
Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan
dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal
berbanding dengan kesenangan hari akhirat.”
5. Oleh yang demikian sangatlah perlu untuk kita sentiasa berhati
hati dalam menjalani kehidupan ini. Ini
kerana kehidupan di dunia adalah kehidupan yang memperdayakan manusia. Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman
dalam surah Ali Imran[Keluarga
Imran](3:185) yang berbunyi:
“Tiap-tiap
yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah
akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka
dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah
bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat
kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.
6. Bagi mengelakkan kita menyesal kemudian hari kerana mengejar
dunia yang memperdayakan ini, maka adalah elok untuk kita sentiasa berdoa
kepada Allah SWT. Memohon agar Allah sentiasa membimbing kita ke jalan yang diredhaiNya :“Ya Allah. Kami memohon kepadaMu agar Engkau jadikan dunia ini sebagai jambatan untuk kami mendekatkan
diri kami kepadaMu dan janganlah Engkau
jadikan dunia ini seabagai fitnah dalam kehidupan kami sehingga kami lalai dari
mengingatiMu serta jauh dariMu.
Berkatilah kami dalam hidup di dunia ini
Ya Allah untuk meraih syurgaMu di negeri akhirat nanti.”
“Allah mengasihani kaum yang menganggap dunia sebagai barang
simpanan. Lalu mereka menyerahkannya kepada orang yang sanggup memegang amanah
mereka terhadap barang simpanan tersebut. Kemudian, mereka merasa senang dengan
ringannya beban kerana harta itu.” ~~ Mutiara Kata Imam Hassan Basri
Sebahagian kandungan dari grup
watsap MPKM
No comments:
Post a Comment