BENANG SUTERA |
"Sesungguhnya
pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu
bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat
dan orang yang banyak mengingati Allah". {Petikan dari Surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:21)}
1. Posting kali ini akan membicarakan tentang pengharaman Islam ke
atas pemakaian kain sutera oleh kaum lelaki. Sutera dihasilkan dari kepompong
ulat sutera yang dipintal menjadi serat sutera. Ada ratusan jenis ulat
sutera, namun sutera yang terbaik dihasilkan oleh kepompong dari ulat sutera
pokok malberi yang memiliki nama saintifiknya, Morus Alba.
2. Sebut sahaja sutera semua orang sudah mengetahuinya bahawa ia
adalah sejenis kain yang bertekstur lembut, cantik dan tinggi nilainya. Bagi
sesetengah orang, dapat memiliki sehelai sutera sudah menjadi kepuasan
bagi mereka. Namun demikian sutera
adalah diharamkan pemakaiannya di kalangan kaum lelaki. Ia menjadi satu lagi barangan yang
dilarang dalam Islam untuk kaum lelaki selain dari emas. Apakah hikmah emas dilarang pemakaiannya dalam Islam
dikalangan kaum lelaki telah dipaparkan dalam blog ini melalui satu artikel bertajuk: “EMAS: KENAPA ISLAM HARAMKAN LELAKI
MEMAKAINYA?”. Ia telah diterbitkan pada 25.2.2016 lalu.
3. Sutera tulen adalah diharamkan pemakaiannya bagi kaum lelaki
tetapi tidak kepada kaum wanita. Pengharaman ini berdasarkan sabda-sabda
Rasulullah SAW seperti berikut:
3.1. Hadis riwayat Ali bin Abu Thalib ra., dia
berkata: Dihadiahkan kepada Rasulullah SAW kain sutera bergaris. Rasulullah SAW
mengirimkannya kepadaku maka aku pun memakainya. Tetapi aku melihat kemarahan
di wajah baginda. Baginda bersabda: “Sungguh,
aku mengirimkan pakaian itu kepadamu bukannya untuk engkau pakai tetapi aku
mengirimkannya agar engkau memotong-motongnya menjadi kerudung buat para
wanita. (Hadis riwayat Muslim).
3.2. Hadis riwayat Anas bin Malik ra. Beliau
berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mengenakan pakaian sutera di dunia, maka dia tidak akan
memakainya lagi di akhirat”. (Hadis Riwayat Muslim).
3.3. Hadis riwayat Uqbah bin Amir ra., dia
berkata: Rasulullah SAW diberi hadiah sejenis pakaian luar dari sutera. Beliau
memakainya untuk mendirikan salat. Ketika selesai salat, beliau segera
menanggalkannya dengan tergesa gesa seperti tidak menyukainya, kemudian
bersabda: “Tidak layak pakaian ini untuk
orang-orang yang bertakwa”. (Hadis Riwayat Muslim).
3.4. Dari Abu Musa Al Asy’ari, dia berkata bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Diharamkan
bagi laki-laki dari umatku sutera dan emas, namun dihalalkan bagi perempuan.” (Hadis
Riwayat Tirmidzi).
4. Walaupun begitu, sutera boleh dipakai oleh kaum lelaki dalam
keadaan-keadaan terpaksa. Hadis riwayat Anas bin Malik ra. katanya: Rasulullah SAW
telah memberi kelonggaran kepada Abdurrahman bin Auf dan Zubair bin Awwam untuk
memakai pakaian sutera dalam perjalanan kerana kudis yang mereka deritai atau
disebabkan penyakit mereka. (Hadis Riwayat Muslim).
5. Persoalan yang timbul di sini ialah kenapa kain sutera
diharamkan kepada kaum lelaki memakainya tetapi tidak bagi kaum wanita. Terdapat
beberapa pandangan ulama kenapa pemakaian sutera diharamkan untuk kaum lelaki. Antaranya ialah:
5.1. Untuk menjaga penampilan dan sifat kelakian.
Islam amat menitik berat cara pemakaian penganutnya selaras dengan Islam itu
sendiri yang melambangkan perjuangan dan kekuatan di mana kaum lelaki adalah
tunggak dalam memimpin perjuangan tersebut. Jika dilihat pada pandangan lahiriah,
sutera amatlah tidak sesuai dipakai oleh kaum lelaki kerana ia menampakkan
kelembutan dan kelemahan apabila ia dipakai.
5.2. Sudah menjadi fitrah bagi kaum lelaki
yang tidak suka berhias-hias sebagaimana kaum wanita. Jika berlebihan dalam
berhias dibimbangi mereka mungkin akan berubah perwatakan kepada perempuan dan
lebih tertarik kepada koleksi-koleksi hiasan yang lain. Justeru, Rasulullah
mencegah awal-awal lagi sebelum umatnya diperlekehkan oleh penganut-penganut agma
lain. Islam amat menitikberatkan soal memelihara maruah penganutnya.
6. Sebagai orang Islam kita wajib mematuhi sepenuhnya ajaran Islam
yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Setiap
perkara yang telah ditentukan haram hukumnya oleh agama maka pemakainya sudah
tentu akan mendapat dosa. Memakai baju
batik sutera dikalangan orang Islam Melayu adalah agak lumrah kerana ia
seolah-olah melambangkan status pemakainya. Fenomena ini berlaku kerana
kurangnya sensitiviti orang Islam sendiri kepada larangan dalam agama Islam. Samalah halnya dengan amalan merokok yang
dilakukkan oleh orang Islam walaupun hukumnya jelas haram dan berdosa. Hanya iman dan taqwa sahaja yang dapat menghalangnya
“Tiga macam yang
tidak diketahui kecuali pada tiga macam:
1. Orang yang
sabar tidak diketahui kecuali ketika marah.
2. Orang yang
berani tidak diketahui kecuali ketika perang.
3.Saudara tidak
diketahui kecuali ketika berhajat (ada kepentingan)”.
- Mutiara Kata
Luqman Al-Hakim
Sebahagian kandungan dari www.islam2u.net
No comments:
Post a Comment