Thursday, 5 March 2015

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT DALAM KENANGAN

 


 
ALMARHUM TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ  BIN NIK MAT (10.1.1931 – 12.2.2015) ULAMA ZUHUD, DALAM KENANGAN 
(HILANGNYA SEBUTIR MUTIARA ISLAM)

1.    Posting kali ini akan membicarakan tentang almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan.  Posting ini juga bertujuan untuk menghargai sumbangan dan jasa besar almarhum dalam mempamerkan akhlak dan politik Islam sejati di Kelantan khasnya dan Malaysia amnya.  Telah terlalu banyak artikel, buku-buku yang ditulis  tentang ketokohan almarhum. Namun fokus posting ini ialah aspek kesederhanaan dan kezuhudan kehidupan almarhum.  Kenapa beliau memilih jalan yang tidak pernah dipilih oleh mana-mana pembesar sebuah negeri walaupun pembesar berkenaan juga memiliki latar belakang agama. Perkara inilah yang akan cuba disingkap dalam posting ini.

2.      Latar Belakang Keluarga/Pendidikan
BERSAMA ISTERI, TUAN SABARIAH
2.1.  Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah dilahirkan di Pulau Melaka, Kelantan.  Beliau  ialah anak kepada pasangan almarhum Tuan Guru Nik Mat bin Raja Banjar dan Puan Aminah binti Abdul Majid.  Tuan Guru Nik Mat (juga dikenali dengan panggilan Haji Nik Mat Alim) seorang ulama terkenal di Kelantan pada masa itu.  Ketegasan beliau dalam mendidik anak-anaknya dalam bidang agama telah menjadikan almarhum Nik Aziz seorang yang alim dan beriman kepada Allah SWT. Almarhum Nik Aziz telah mendirikan rumah tangga dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak pada tahun 1963 dan dikurnikan 10 orang anak.  Lima lelaki dan lima perempuan.  

2.2.   Almarhum telah mendapat pendidikan awalnya di sekolah pondok di Kelantan dan juga Trengganu. Kemudiannya melanjutkan pelajaran di Darul Uloom Deoband di Uttar Pradesh, India selama 5 tahun  (1952 – 1957).  Berikutnya beliau menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir dari tahun 1958 - 1962. Berjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Arab) dan ijazah Sarjana Sastera (Ilmu Hukum Islam). Almarhum mampu berbahasa Arab, Inggeris, Tamil dan Urdu. Setelah tamat belajar beliau pulang ke Kelantan dan bekerja sebagai guru agama di beberapa sekolah agama.  Dari situlah beliau mula dikenali sebagai “Tok Guru”.

3.      Penglibatan Dalam Dunia Politik Tanah Air

3.1.   Penglibatan almarhum dalam bidang politik bermula pada tahun 1967. Menurutnya  bukan beliau  yang  masuk Parti Islam Semalaysia (PAS)  tapi  beliau  dimasukkan  ke dalam  PAS.  Tiga  hari  setelah  menjadi ahli PAS dalam tahun 1967 beliau  telah dipilih  sebagai  calon  pilihanraya  di  kawasan  Parlimen  Kelantan  Hilir bagi  menggantikan  Haji  Ahmad  Abdullah  atau  Mat  Prai  yang meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Beliau menjadi ahli parlimen kawasan itu dari  tahun 1967 - 1974. Berikutnya menjadi ahli Parlimen Pengkalan Chepa dari tahun 1974 - 1986.  Ini bererti almarhum menjadi Ahli Dewan Rakyat selama 19 tahun. Selain itu almarhum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semut Api dari tahun 1986 - 1995 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Cempaka dari tahun 1995 - 2015.  Tempoh berkhidmat sebagai ADUN pula selama 29  tahun.

SEDANG BERTUGAS DI PEJABAT MENTERI BESAR
3.2.   Dalam tahun 1990, Almarhum telah dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan setelah kemenangan Angkatan Perpaduan Ummah (gabungan PAS dan Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah) di Kelantan dalam pilihanraya umum tahun tersebut.  Inilah pertama kali dalam sejarah pilihanraya umum di Malaysia, parti-parti pembangkang bergabung dan dapat mengalahkan parti pemerintah (Barisan Nasional) lalu menubuhkan sebuah kerajaan negeri.  Angkatan Perpaduan Ummah bukan sahaja telah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, malah telah memenangi semua (sapu bersih) kerusi yang dipertandingkan untuk Dewan Undangan Negeri dan juga parlimen di Kelantan. Dalam sejarah perlantikan Menteri Besar pula belum ada seorang tok guru yang berserban dan berjubah dilantik sebagai Menteri Besar, selain daripada almarhum. Hakikat yang harus diakui ialah kemenangan mutlak yang dicapai oleh Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan itu ada hubung kaitnya dengan kepimpinan dan keperibadian almarhum yang dipandang tinggi oleh penduduk Kelantan. Corak kepimpinan dan pengaruh peribadi beliau adalah aset dan faktor utama kemenangan PAS dalam pilihanraya umum yang membolehkan almarhum menjadi Menteri Besar dari tahun 1990 - 2013 (23 tahun) yang bersamaan dengan lima penggal. 

4.      Pemimpin Yang Zuhud dan Serba Sederhana

4.1.   Erti perkataan zuhud dalam kamus Arab atau mengikut pengertian bahasa biasa ialah meninggalkan dunia. Meninggalkan dunia tidak bererti mati tetapi ia bermaksud meninggalkan kesenangan, keseronokan dan kenikmatan di dunia ini.

4.2.   Menurut Imam Al-Ghazali, zuhud ertinya meninggalkan perkara yang disukai kerana mengharapkan sesuatu perkara yang lebih baik daripada itu. Hati orang yang zuhud tidak akan terpaut dengan kesenangan dan kenikmatan dunia.  Mereka lebih mengutamakan kesenangan di negeri akhirat. Kesusahan di dunia, sakit demam, kekurangan harta, kekurangan keperluan dan lain-lain tidak pernah menyusahkan hati mereka. Ia akan dianggap tidak lain dan tidak bukan melainkan ujian hidup semata-mata. Ujian, latihan dan tarbiyyah daripada Allah SWT. Ujian ini dianggap sebagai tanda kasih sayang dari Allah, sebagai kaffarah dosa-dosa dan juga untuk mengangkat martabat seseorang disisi Allah.  Zuhud boleh berlaku kepada orang miskin dan juga kaya.

4.3.   Perlantikan seorang yang berpendidikan agama seperti almarhum sebagai Menteri Besar pada mulanya dianggap sebagai perkara biasa sahaja. Ini adalah kerana sebelum beliau memang sudah ada beberapa orang Menteri Besar dipilih dari kalangan orang-orang yang memperolehi kelulusan tinggi dalam pelajaran agama. Contohnya bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Tan Sri Hassan Yunus ialah seorang yang berkelulusan Universiti Al-Azhar di Mesir, sebuah universiti yang banyak melahirkan tokoh-tokoh agamawan dunia. Allahyarham Tan Sri Hassan juga pemah berkhidmat sebagai mufti kerajaan Johor sebelum bergiat cergas dalam UMNO. Bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad juga seorang lepasan Universiti Al-Azhar. Beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru kanan di Sekolah Menengah Agama Zainal Abidin, Kuala Terengganu sebelum menjadi Menteri Besar.

4.4.   Ketika PAS menguasai kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1959, Menteri Besarnya, Allahyarham Datuk Ishak Lotfi Omar ialah seorang yang berpendidikan agama di Makkah. Beliau pernah bertugas sebagai  pegawai di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebelum menjadi Menteri Besar. Bekas Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri Muhammad dan bekas Menteri Besar Perak, Allahyarham Datuk Ahmad Said juga mendapat pendidikan agama tempatan sebelum Perang Dunia Kedua. Ringkasnya, tokoh-tokoh yang mempunyai latar belakang pengajian agama telah pun diberi amanat untuk memegang jawatan penting sebagai Menteri Besar atau Menteri kerajaan Pusat. Berdasarkan kepada fakta inilah, maka perlantikan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar dalam kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada awalnya dianggap sebagai perkara biasa sahaja. Ramai yang menyangka bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan mengikut jejak langkah Menteri Besar lain setelah menduduki kerusi Menteri Besar itu.  Dengan kata lain, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga mungkin akan mengubah corak atau gaya hidupnya setelah dilantik menjadi ketua kerajaan seperti yang telah berlaku kepada pembesar yang lain sebelumnya.

4.5.   Setelah beberapa tahun menjadi Menteri Besar barulah orang mula mengenali bahawa almarhum tidak sama dengan pembesar yang lain.  Beliau ternyata seorang yang istimewa dari segi mengamalkan amalan zuhud dan kesederhanaan dalam hidup. Beliau berjaya mempertahankan corak hidupnya sebagai seorang tok guru dan pendakwah tanpa terpengaruh dengan gaya dan corak hidup yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain.
'ISTANA' NIK ABDUL AZIZ DI PULAU MELAKA
4.6. Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak berpindah dan menetap di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, iaitu di JKR 10, Kampung Sireh, Kota Bharu. Beliau lebih selesa tinggal di rumahnya di belakang Masjid Pulau Melaka yang dibina oleh almarhum ayahnya, Tuan Guru Haji Nik Mat. Almarhum lebih mengutamakan hidup di sebuah rumah serba sederhana yang berhampiran dengan sebuah masjid daripada menikmati hidup seperti di 'istana' yang dilengkapi dengan perhiasan serba mewah seperti di kediaman rasmi Menteri Besar. Beliau hanya datang sekali sekala sahaja ke JKR 10 untuk menemui tetamu dari dalam atau luar negeri. Kediaman rasmi itu dijadikan tempat menginap tetamu-tetamu kerajaan. Belum ada dalam sejarah negara sebelumnya seorang Menteri Besar enggan berpindah ke kediaman yang mewah dan indah selain daripada almarhum. Ini adalah bukti jelas bahawa almarhum seorang yang tegas mengamalkan kehidupan zuhud dan serba sederhana. 
MASJID TUAN GURU DI PULAU MELAKA. HANYA BEBERAPA LANGKAH DARI RUMAHNYA
4.7.   Ada antara Menteri Besar yang baru sahaja memegang jawatan tidak sabar-sabar lagi berpindah ke kediaman Menteri Besar yang serba indah dan mula membina rumah sendiri dengan harga yang mahal. Almarhum mempunyai sikap yang amat berbeza daripada Menteri-Menteri Besar lain. Sebelum ini belum ada seorang Menteri Besar dari kalangan lulusan tinggi agama yang dapat mengekalkan identiti sebagai seorang ulama dan pendakwah selain daripada almarhum. Ternyata almarhum tidak terpengaruh dengan kedudukan dan jawatan yang diamanahkan kepadanya. Almarhum tetap kekal sebagai Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang lama. Sebagai seorang Menteri Besar yang mewakili parti Islam, almarhum cuba mengamalkan kehidupan dan tugas harian mengikut ajaran Islam yang memang menjadi prinsip dan pegangannya selama ini.

4.8.   Selama 23 tahun atau lima penggal parti PAS dibawah pimpinannya berjaya memerintah Negeri Kelantan. Pencapaian almarhum ini adalah luar biasa.  Almarhum adalah seorang ahli politik yang bermodalkan kepada ilmu dan saksiah diri semata-mata. Almarhum juga seorang yang tidak tahu mengambil kesempatan untuk dirinya dan keluarga dengan kuasa dan peluang yang ada. Beliau seorang yang sangat ikhlas, jujur dan tulus kepada rakyat dan bertanggungjawab kepada jawatan yang dipegang. Tidak ada tanah kerajaan yang dipohon untuk diri dan keluarganya.  Tidak ada balak yang dicuri.  Tiada saham ataupun permit yang di ambil. Segala-galanya yang dilakukan adalah kerana Allah semata-mata. Almarhum mahu meniru kehidupan Rasulullah SAW yang tentunya menjadi idolanya. Rasulullah hanya hidup dengan sangat sederhana dan tiada harta walaupun beliau seorang nabi dan bergelar kekasih Allah.  Inilah tandanya orang yang benar-benar cintakan Rasulullah. Beliau mempraktikan apa yang diajar kepada orang lain.  Ringkasnya beliau ialah seorang yang 'cakap sama dengan bikin'. Selama menjadi Menteri Besar beliau tidak pernah mengubah cara hidupnya sebaliknya kekal seperti sebelumnya.

4.9.   Di awal tempohnya memegang jawatan Menteri Besar almarhum telah mengumumkan untuk tidak mengambil 40% (bukan 4% atau 14%) daripada pendapatan bulanannya. Sebaliknya beliau mengembalikan pendapatan itu kepada kerajaan negeri untuk kepentingan rakyat jelata dan juga untuk aktiviti parti PAS. Dianggarkan jumlah wang yang tidak diambil selama tempoh memegang jawatan Menteri Besar dari 1990 hingga 2013  berjumlah melebihi RM 2 juta. Alangkah besarnya pendapatan yang halal yang tidak diambil oleh almarhum.  Di sini jelas membuktikan betapa hebatnya sifat qanaah dan zuhud yang dimiliki almarhum. Walaupun ada Menteri Besar lain yang tidak menetap di kediaman rasmi kerajaan tetapi saya yakin pendapatan halal yang diperolehi itu tidak pula dikembalikan sebahagiannya.
4.10. Dalam kehidupan seharian almarhum jelas kelihatan kesederhaaan yang diamalkannya. Baik dalam soal makan minum, berpakaian, berumah tangga malah keseluruhan kehidupannya.  Almarhum sedaya upaya mempraktikkan kehidupan Rasulullah dalam hidupnya.  Malah tidaklah keterlaluan jika dikatakan di zaman moden ini, almarhum adalah orang yang paling hampir mengikuti jejak perjalanan hidup/sirah Rasulullah SAW.

5.      Kenapa Almarhum Memilih Kehidupan Zuhud dan Sederhana?

5.1.   Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa almarhum seorang yang alim dan murabbi yang hebat di zaman ini. Beliau memiliki ilmu agama yang sangat luas. Tetapi yang lebih penting dari itu ialah almarhum merealisasikan atau mengamalkan dalam kehidupan sehariannya apa yang dipelajarinya dan diajarkan kepada orang lain. Inilah yang sukar dilakukan oleh orang lain. Ada orang bergelar ustaz atau ulama yang bercakap berdegar-degar, menasihati orang itu dan ini tetapi dalam kehidupan seharian, mereka sendiri tidak mengamalkannya.  Ia ibarat seperti cakap tidak serupa bikin.  Ilmu agama tinggi. Berkopiah, berserban dan berjubah tetapi mengejar dunia dan mencari kesenangan hidup mengalahkan orang jahil yang tidak belajar agama. Penampilan luaran sahaja nampak alim tetapi hakikatnya hati berkarat dan menjadi hamba dunia.

5.2.   Almarhum mengetahui bahawa asas pembinaan agama Islam oleh Rasulullah SAW ialah dengan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada orang lain, terutamanya orang bukan Islam.  Islam ini bukan agama retorik yang hanya untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang. Berlakon alim dan lebai tetapi dalam hati hanya mahu menjadikan Islam sebagai alat semata-mata. Apa yang diucap dan diajar kepada orang itulah yang sewajibnya dipraktikkan dalam kehidupan supaya ia boleh dicontohi oleh orang lain.  Allah SWT memerintahkan kita mengajak orang bukan Islam kepada Islam.  Mereka hanya tertarik kepada Islam jika kita yang bercakap perkara-perkara baik tetang Islam mengamalkannya. Inilah rahsia kejayaan dakwah Rasulullah SWT yang berjaya menunjukkan teladan baik kepada orang bukan Islam sehingga mereka akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.

5.3. Sebagai seorang yang faqih agama, almarhum sangat menyedari akan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Ada 3 golongan manusia yang lama hitungan hisabnya di Padang Mahsyar, iaitu (1) Orang yang banyak harta (2) Orang yang ramai anak dan (3) Orang yang banyak ilmu. Semasa hidup di dunia berseronoklah kerana banyak harta.  Di Mahsyar nanti golongan ini akan menjadi orang yang sangat menyesal memiliki kekayaan di dunia kerana akan berada lama di Mahsyar.  Mahsyar adalah tempat yang sukar dan penuh azab serta sengsara. Allah SWT akan menghisab setiap sen harta yang dimiliki di dunia.  Dari manakah sumbernya dan ke manakah ia dibelanja/digunakan. Pada masa itulah orang yang miskin di dunia merasa gembira kerana hisab ke atas harta mereka sekejap sahaja.

5.4.   Sebagai seorang ulama terkenal sudah tentu almarhum sangat memahami firman-firman Allah dan sabda Rasulullah SAW yang menjadi dorongannnya untuk meninggalkan kesenangan kehidupan duniawi dan sebaliknya melebihkan akhirat.  Antara firman-firman Allah itu ialah  seperti berikut:

5.4.1. Dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran] (3:185) Allah berfirman yang berbunyi:


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

5.4.2.  Dalam Surah Al-Hadid [Besi](57:20) pula, Allah berfirman yang berbunyi:


“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

5.4.3. Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut [Labah-Labah](29:64) berbunyi:



“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).”

5.4.4. Dalam Surah Al-Qiamah [Hari Kiamat] (75:20) Allah berfirman yang berbunyi:

"Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya."

(75:21)

"Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang        kekal abadi kehidupannya)."

5.5. Sabda-sabda Rasulullah SAW dalam konteks kelebihan akhirat berbanding dengan dunia ialah seperti dalam terjemahan hadith-hadith berikut:

5.5.1. “Demi Allah tiadalah kelebihan dunia berbanding dengan akhirat melainkan seperti seseorang yang mencelup jarinya ke dalam laut dan kemudian melihat apa yang terlekat dijarinya. Air yang terlekat dijari itu ialah dunia manakala air yang ditinggalkan dalam lautan itu pula ialah akhirat.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ibn Majah)

5.5.2. “Orang yang pandai adalah orang yang senantiasa membaiki diri dan menyiapkan bekal untuk kematiannya.” (Hadith  riwayat Termizi).

5.5.3. “Orang yang bijaksana ialah orang yang menghisab dirinya sendiri (dan menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan jahat) dan melakukan amalan-amalan yang mulia untuk kebaikan selepas mati; dan orang-orang yang bodoh ialah seseorang yang menyerahkan dirinya kepada godaan-godaan dan keinginan dan berusaha menjauhi daripada Allah untuk memenuhi hawa nafsunya”. (Hadith riwayat Termizi).

5.5.4. "Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau bahkan seperti orang yang sekadar musafir. (Hadith Riwayat Bukhari).

5.5.5. "Sekiranya dunia ini ada nilai atau harga di sisi Allah walaupun seberat sayap nyamuk, maka nescaya Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air."  (Hadith Riwayat Termizi).

5.5.6. Khalifah Umar Al-Khattab pernah menangis melihat  Rasulullah SAW yang hanya tidur di atas sebidang tikar tanpa dialasi apapun  sehingga terlekat bekas tikar di belakang dan rusuk baginda. Lalu Rasulullah bertanya Umar; “Kenapa engkau menangis wahai Umar?’. Kata Umar, “Ya Rasulullah, sesungguhnya Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Romawi) berada dalam kemewahannya, sedangkan engkau adalah utusan Allah.” Rasulullah menjawab; “Tidakkah engkau redha mereka mendapatkan dunia sedangkan kita memperolehi akhirat?” (Hadith Riwayat Bukhari).

5.5.7. Satu hari Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah tidur di atas sebidang tikar. Ketika bangkit dari tidurnya tikar tersebut meninggalkan bekas pada tubuh baginda. Berkatalah Ibnu Mas’ud, “Wahai Rasulullah, seandainya boleh aku siapkan untukmu tilam yang empuk”. Rasulullah menjawab; “Ada kecintaan apa aku dengan dunia?. Aku di dunia ini tidak lain kecuali seperti seorang pengembara yang mencari tempat berteduh di bawah pohon, lalu beristirahat dan kemudian meninggalkannya.” (Hadith Riwayat Termizi).
 
6. Pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan negeri
 
Diantara pembaharuan yang telah dilakasanakan oleh almarhum selama menjadi Menteri Besar dan ia dapat dirasai hingga kini ialah:
 
6.1. Mempelopori cuti 60 hari bersalin bagi kakitangan wanita  kerajaan negeri Kelantan dan kemudian ia dinaikkan menjadi 90 hari. Langkah ini kemudiannya dikuti oleh kerajaan pusat.
 
6.2.  Memberi sokongan kuat kepada perbankan Islam. Tindakan yang beliau ambil ialah memindahkan semua simpanan kerajaan negeri ke Bank Islam. Hasilnya pada hari ini kita dapati hampir semua bank di negara ini telah memperkenalkan kaunter perbankana tanpa faedah yang kemudiannya dikenali dengan nama perbankan Islam.
 
6.3. Pada 1.1.1996 almarhum telah memperkenalkan Hari Jumaat dan Hari Sabtu sebagai hari cuti mingguan. Kedua dua hari itu dikenali dengan hari menuntut ilmu dan hari keluarga. Kemudiannya kerajaan pusat telah mengikuti jejak langkah itu dengan memperkenalkan Hari Sabtu dan Hari Ahad sebagai hari cuti mingguan seluruh negara.
 
6.4. Mempertabatkan golongan wanita -  Mengadakan kempen kesedaran menutup aurat bagi pekerja wanita Islam dan kod pemakaian sopan bagi pekerja bukan Islam.
 
6.5 Mengasingkan kaunter lelaki dan perempuan di pasaraya di Kelantan.
 
6.6. Mulai 1.1.1993 mula perketatkan penjualan arak di Kelantan. Semua jenis arak dilarang diminum ditempat tempat awam dan terbuka, samada di hotel ataupun restoran restoran. Namun begitu, orang bukan Islam dibenarkan minum arak dirumah atau di tempat/majlis perkahwinan yang tertutup.
 
6.7. Semua premis premis judi di Kelantan ditutup. 
 
6.8. Penjualan daging babi tidak lagi dibenarkan dibuat di tempat tempat terbuka. Ia hanya dibenarkan dijual ditempat tempat yang dikhaskan sahaja yang jauh dari pandangan orang Islam.
 
7.      Kembali KeRahmatullah
LAUTAN MANUSIA MENGIRINGI JENAZAH ALMARHUM KE KUBUR

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah kembali kerahmatullah pada jam 9.40 malam Jumaat 12.2.2015 kerana mengidap penyakit barah prostat. Beliau berusia 84 tahun. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Pulau Melaka yang tidak jauh dari rumahnya. AlFatihah untuk almarhum. Apakah ada lagi orang lain di negara ini sezuhud beliau.  Setakat ini tidak ada rasanya.  Masa akan datang ada lagi ke?. Sukar untuk diramalkan kerana manusia mudah tergoda dengan kesenangan duniawi walaupun bergelar ulama. Adakah kehilangannya kehilangan yang TIDAK BERGANTI?. Hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.

                                         
                               Saksikan salah satu ceramah almarhum    




SULTAN MUHAMMAD V, SULTAN KELANTAN SEMASA MENZIARAHI PUSARA ALMARHUM

SELAMAT TINGGAL MURABBI UMMAH.  ENGKAU TELAH MENINGGALKAN CONTOH TELADAN YANG SANGAT TERBILANG DI ABAD INI. BERSEMADILAH ENGKAU DI TEMPAT YANG AMAN DAN DAMAI.  SEMOGA ALLAH MENGANUGERAHIMU SYURGA YANG MENJADI IDAMAN. AMIN.

“-Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
-Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
-Tiada kebaikan bagi pembaca Al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
-Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
-Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
-Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
-Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
-Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati.” -  Muiara Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

BIARLAH GAMBAR-GAMBAR DI BAWAH BERBICARA UNTUK ANDA






















                                    LEE KUAN YEW SEMASA MENZIARAHI NIK AZIZ DI
                                         PEJABATNYA DI KOTA BHARU PADA JUN 2009



No comments:

Post a Comment