Friday, 27 February 2015

TARIQ BIN ZIYAD: PENAKLUK ANDALUSIA (SEPANYOL)

  

TARIQ BIN ZIYAD - GAMBARAN PELUKIS

1.  Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:249) Allah SWT berfirman yang berbunyi:

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

2.  Kebenaran dan ketepatan firman ini telah terbukti dalam beberapa peristiwa peperangan.  Contohnya Perang Badar di zaman Rasulullah, penaklukan Kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Untuk posting kali ini kita akan mengetahui penaklukan Andalusia (Sepanyol) oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad (670 - 720 M).  Peristiwa penaklukan ini dikatakan berkait dengan peranan sebuah kerajaan ajaib yang dipimpin secara ghaib oleh Baginda Rasulullah SAW. Tariq bin Ziyad telah diarah dan  ditugaskan oleh Gabenor Mesir, Musa bin Nasir untuk menawan Sepanyol. Mesir pada masa itu berada dalam pemerintahan kerajaan Islam Bani Umaiyyah.

3. Dalam pelayaran beliau dari Mesir ke Sepanyol, Tariq sentiasa memohon pertolongan Allah agar didatangkan bantuan dari kerajaan yang ajaib.  Ini kerana beliau merasakan yang diri beliau dan tenteranya tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawab besar itu. Berlakulah keajaiban apabila beliau diizinkan Allah untuk beryaqazah dengan Rasulullah SAW.  Beliau melihat bersama Rasulullah ialah para sahabat yang dilihat lengkap berpakaian perang. “Teruskan perjuangan mu, wahai Tariq”, itulah kata-kata keramat dari lidah mulia Rasulullah kepada Tariq bin Ziyad. Selepas itu beliau melihat Rasulullah dengan para sahabatnya sedang menuju ke Andalusia. 
(Pengertian yaqazah pada istilah perbahasan ilmu tasawuf ialah bertemu atau berjumpa dengan roh Rasulullah SAW dalam keadaan jaga [bukan mimpi] dan ia merupakan satu karamah wali-wali Allah).
 
SELAT TEPI BUKIT GIBRALTAR INILAH TENTERA ISLAM MENDARAT
4.   Setelah sampai di Bukit Gibralta, Sepanyol maka Tariq bin Ziyad telah mengarahkan supaya dibakar semua kapal mereka.”Wahai tentera-tenteraku, ke mana kamu semua akan lari?. Di belakangmu ialah laut dan di hadapanmu adalah musuh. Samada kita menang atau mati syahid”. Begitulah kata-kata keramat dari Tariq bin Ziyad kepada tenteranya.

5.   Sejarah agung dan luar biasa telah melakarkan bahawa Tariq bin Ziyad dan tenteranya telah berjaya menumpaskan tentera Andalusia yang diketuai oleh King Roderick yang mempunyai tentera seramai 100,000 orang berbanding dengan tentera Tariq hanya sekitar 7,000 orang sahaja dan dibantu oleh tentera King Roderick yang berpaling tadah seramai lebih kurang 5,000 orang.  Tenteranya berpaling tadah kerana King Roderick yang berbangsa Gothik ini sangat kejam dan menindas rakyatnya. Kemenangan ini sesuatu yang diluar lojik akal manusia yang waras. `Miraculous` atau ‘ajaib’ kata para orientalis yang mengkaji sejarah ini. Jelaslah faktor Tariq bin Ziyad boleh beryaqazah dengan Rasulullah SAW itu mampu memberikan kekuatan roh yang sangat luar biasa, sehingga tumbangnya sebuah kerajaan di bawah satu empayar yang hebat iaitu Empayar Rom.
KING RODERICK

6.   Kesah lain yang diceritakan dalam sejarah ialah bagaimana Allah SWT telah memberikan pertolonganNya kepada Tariq bin Ziyad sebelum kedatangan beliau ke Andalusia. Allah SWT mentakdirkan King Roderick telah melihat gambar Tariq bin Ziyad yang dilukis di atas kulit binatang di dalam sebuah istana lama. Istana ini sebenarnya menjadi tempat larangan turun temurun di mana para pendita kristian, sebelum pemerintahan King Roderick melarang sesiapa sahaja dari mendekati istana lama itu. Larangan ini diingkari oleh King Roderick. Beliau merasakan tentu ada harta karun di dalam istana berkenaan. Maka beliau telah mencerobohi istana tersebut namun didapati istana lama itu kosong. Cuma ada sebuah bilik. Di dalam bilik tersebut, terdapat sebuah bekas dan apabila dibuka bekas itu, tersimpan satu kulit binatang. Jelas di atas kulit binatang tersebut adalah lakaran potret seorang yang berserban dengan menaiki kuda dan lengkap berpakaian perang. Apa yang lebih menakjubkan, di atas gambar berkenaan tertulis perkataan “sesiapa yang melihat gambar ini, maka dia akan dikalahkan oleh orang ini dalam medan peperangan”.


7.   Apabila peperangan berlaku King Roderick amat terkejut tatkala melihat wajah Tariq bin Ziyad, serupa dengan gambar yang dilihat di atas kulit binatang sebelum ini. Pada tanggal 19 Julai 711 Masihi berlakulah peperangan yang bersejarah itu. Dengan hanya satu panahan dari Tariq bin Ziyad, ia telah mengenai dan menjatuhkan King Roderick. Tentera beliau yang seramai 100,000 orang itu bertempiaran lari bila melihat ketua mereka, King Roderick tumbang di medan perang. Walaupun jumlah tentera Islam sangat kecil tetapi ia dilihat oleh tentera musuh cukup gagah, bersemangat dan berani. Allah telah mencampakkan rasa gentar dan takut di dalam hati musuh-musuhNya.

8.   Sebenarnya Allahlah yang telah memenangkan tentera Tariq melalui kerajaan ajaib yang diketuai oleh Rasulullah SAW sebagaimana dilihat oleh Tariq bin Ziyad di dalam yaqazahnya yang bertemu dengan Rasullullah.

9.   Hingga kini di Sepanyol terdapat sebuah selat bernama Selat Gibraltar yang memisahkan Lautan Atlantik dengan Laut Mediterranean. Selat ini berdekatan dengan sebuah gunung tempat pendataran tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad.  Gibraltar berasal dari nama Arab "Jabel Tariq" yang bererti Gunung Tariq. Jabel maknanya gunung. Orang Sepanyol tidak dapat menyebut perkataan Jabel Tariq tetapi mereka menyebutnya Gibraltar.

10.  Kerajaan Islam telah berjaya memerintah Sepanyol selama lebih 700 tahun. Pada tanggal 2 Januari 1492 (2 Rabbiul Awwal 897 Hijrah)  tumbanglah sebuah kerajaan Islam pertama di bumi Eropah. Ia berpunca dari kelemahan yang ada dikalangan pemimpin.  Kejatuhan kerajaan Islam Andalusia ini adalah sesuatu yang amat memilukan hati umat Islam.  Tanpa diduga kerajaan Islam Andalusia dapat didirikan namun akhirnya ia jatuh selepas kelalaian dan kecuaian di kalangan pemimpin yang gagal mengawal kerajaan Islam.


11.    Apakah punca punca kejatuhan kerajaan Islam Andalusia:


11.1. Kejatuhan kerajaan Islam Andalusia ini kerana kelemahan pemerintah yang sanggup menggadai prinsip demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya mampu dicapai buat sementara waktu sahaja. Selain itu faktor faktor dalaman dan luaran turut menyumbang kepada kejatuhan itu. Antaranya ialah:



11.2. Tiada mekanisme dalam mencari pengganti yang layak untuk meneruskan pemerintahan. Kebanyakan pemerintah hanya mewariskan kepimpinan melalui sistem monarki yang pada waktu itu sudah korup, tiada akauntibiliti dan hilang integriti di mata rakyat.

11.3. Tiada kesetian (wala') terhadap khalifah yang sah mentadbir kerajaan. Masing-masing menyimpan hasrat untuk menguasai wilayah pemerintahan sehingga berlaku perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

11.4. Tiada kesepakatan  dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain.

11.5. Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan pemerintah dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa berusaha untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
 

12.  Selepas berlakunya kekalahan itu umat Islam mula dibunuh dan ada yang dihalau keluar dari Andalusia.  Bahkan ada di antara mereka yang terus diperangi lagi walaupun sudah bersedia keluar dari Andalusia. Musibah ini turut terpalit kepada orang orang Yahudi yang bernaung di bawah kerajaan Islam. Mereka ikut keluar dari Andalusia kerana tiada lagi kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam runtuh. 



“Orang akan tetap menjadi ahli ilmu yang sejati selama dia masih menuntut. Tetapi apabila pada suatu ketika dia berkata ‘aku sudah pandai’, maka sesungguhnya dia sudah menjadi bodoh dengan sendirinya”. -Luqman Hakim

No comments:

Post a Comment