Friday, 6 February 2015

WAKTU MUSTAJAB UNTUK BERDOA KEPADA ALLAH SWT

 
 

1.  Doa ialah salah satu medium perantaraan seorang hamba dengan penciptaNya, iaitu Allah SWT.  Orang Islam telah dididik oleh Rasulullah SAW agar sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan dari Allah SWT.  Sesungguhnya orang yang berdoa dan memohon kepada Allah adalah orang yang dikasihi Allah.  Sebaliknya Allah tidak suka kepada orang yang tidak berdoa dan memohon dariNya. Allah sentiasa menanti doa dan pertolongan dari setiap hambaNya. 


2.   Berkaitan dengan doa ini Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf [Tempat Yang Tinggi](7:55) yang berbunyi:


“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(7:56)



“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”

3.   Di bawah ini diperturunkan 10 masa/ketika yang dikira mustajab untuk berdoa kepada Allah SWT:

3.1.  Ketika Sepertiga Terakhir Waktu Malam


Allah SWT mencintai hambaNya yang berdoa dalam sepertiga malam yang terakhir. Allah SWT berfirman dalam Surah Az-Zariyat [Angin Kencang](51:18) yang berbunyi:


          “Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”

Sepertiga malam yang paling akhir adalah waktu yang penuh berkah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Rabb kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang akhir pada setiap malamnya. Kemudian berfirman: ‘Orang yang berdoa kepada-Ku akan Ku kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku akan Kuberikan, orang yang meminta ampunan dari-Ku akan Kuampuni‘ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Namun perlu difahami, maksud ‘turun’ dalam hadis di atas  jangan sampai membuat kita membayangkan Allah SWT turun sebagaimana manusia turun dari suatu tempat ke suatu tempat lain. Ia berbeza sama sekali.

3.2. Ketika Berbuka Puasa

Doa  ini seperti sabda Rasulullah SAW yang berbunyi:

        “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi” (Hadis Riwayat Termidzi, Ibnu Majah dan  Ibnu Hibban).

3.3. Ketika Malam Lailatul Qadar



Pada malam ini dianjurkan memperbanyak ibadah termasuk memperbanyak doa. Sebagaimana yang diceritakan oleh Ummul Mu’minin Aisyah Radhiallahu’anha katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, menurutmu apa yang sebaiknya aku ucapkan jika aku menemukan malam Lailatul Qadar? Rasulullah SAW bersabda: Berdoalah:

Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni (‘Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan menyukai sifat pemaaf, maka ampunilah aku”) (Hadis Riwayat Termidzi dan  Ibnu Majah).

3.4. Ketika Azan Sedang Berkumandang/Perang Sedang Berkecamuk



Semasa sedang menjawab azan, berdoalah. Rasulullah SAW bersabda:

“Doa tidak tertolak pada dua waktu, atau jika tertolak pun kemungkinannya sangat kecil, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika perang sedang berkecamuk, ketika kedua belah pihak saling menyerang” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hajar Al Asqalani)





            3.5.      Waktu Antara Azan dan Iqamat


Waktu ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Doa di antara azan dan iqamat tidak tertolak” (Hadis Riwayat Termidzi).
Hadis ini menunjukkan bahawa amalan yang dianjurkan antara azan dan iqamat adalah berdoa, bukan berselawat. Selain tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah SAW, amalan berselawat boleh mengganggu orang yang berzikir atau sedang solat sunat. 

3.6.       Ketika Sujud Dalam Solat



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang hamba berada paling dekat dengan Rabb-nya ialah ketika ia sedang bersujud. Maka perbanyaklah berdoa ketika itu” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Nasa'i).

3.7.      Pada Hari Jumaat




         Rasulullah SAW bersabda   yang bermaksud:

Rasulullah SAW menyebutkan tentang hari Jumaat kemudian baginda bersabda: “Di dalamnya terdapat waktu. Jika seorang Islam berdoa ketika itu, pasti diberikan apa yang dia minta’. Lalu baginda mengisyaratkan dengan tangannya tentang sebentarnya waktu tersebut” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

3.8. Ketika Hujan Turun



Hujan adalah nikmat dari  Allah       SWT.

“Doa tidak tertolak pada 2 waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun” (Hadis Riwayat Al Hakim)

3.9. Ketika Hari Arafah



Hari Arafah adalah hari ketika para jamaah haji melakukan wukuf di Padang Arafah, iaitu pada tanggal 9 Dzulhijjah. Pada hari tersebut dianjurkan memperbanyak doa, baik bagi jamaah haji ataupun bagi seluruh kaum muslimin yang tidak menunaikan ibadah haji. Rasulullah SAW bersabda:

“Doa yang terbaik adalah doa ketika hari Arafah” (Hadis Riwayat Termidzi)

3.10. Ketika Sedang Minum Air Zam Zam


Rasulullah SAW bersabda:

“Khasiat air zam-zam itu sesuai dengan doa dan niat peminumnya” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)



Selamat beramal dengan doa-doa di atas.  Mudah-mudahan mendapat perkenan dari Allah SWT serta dimakbulkan sebarang doa dan permohonan kita.


“Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk dan patuh pada mereka yang tidak menghormatinya, mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya dan menerima pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya.” – Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah


(Petikan dari blog detikislam.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment