Friday, 13 February 2015

HIKMAH KEWAJIPAN BERPUASA DARI SUDUT KESIHATAN


 

NIKMAT ORANG BERPUASA IALAH KETIKA BERBUKA
1.    Berpuasa dalam bulan Ramadan ialah salah satu dari rukun Islam yang lima.  Kewajipan berpuasa ini telah Allah SWT firmankan dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:183) yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

2.  Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa berpuasa itu adalah wajib. Ertinya jika dikerjakan akan mendapat pahala, dan jika tidak dikerjakan kita akan berdosa kepada Allah SWT.

3.   Rasulullah SAW banyak bersabda tentang berpuasa ini.  Antaranya ialah:

3.1.   “Puasa itu merupakan perisai yang dapat menghalang seorang hamba dari panasnya siksa api neraka” (Hadis Riwayat Ahmad).

3.2. “Sesiapa yang mendirikan puasa dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kebaikan, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

3.3. Dari Ibnu Umar, dia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bila kamu telah melihat tanggal 1 bulan Ramadan, maka berpuasalah, dan bila kamu melihat tanggal bulan 1 Syawal, maka berhari rayalah. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

4.  Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya, "Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan), dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah."

5. Al-Quran ataupun hadith dari Rasulullah SAW tidak memperincikan kebaikan dan kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan kepada orang yang mengerjakannya. Namun demikian kajian dari segi saintifik telah dilakukan yang membuktikan berpuasa sangat bermanfaat untuk kesihatan  pengamalnya, khususnya kesihatan otak.
 
DR. TAUFIQ PASIAK
6.  Ketua “Centre for Neuroscience, Health, and Spirituality (C-NET)’, Indonesia, Doktor Taufiq Pasiak mengatakan bahawa puasa menjadi latihan mental yang berkaitan dengan sifat otak, iaitu neuroplastisitas. Katanya, sel-sel otak dapat mengalami regenerasi dan membentuk hubungan struktur yang baru. Waktu yang diperlukan untuk menukar sel saraf otak minimum 21 hari. Menurut beliau, puasa adalah latihan mental yang menggunakan perantara latihan menahan keperluan fizikal seperti makan, minum, seks dan lain-lain. Selain membentuk struktur otak baru, puasa juga boleh merehatkan sistem saraf, terutamanya otak. Tetapi ada perbezaan asas di antara relaksasi sistem pencernaan dan sistem saraf.  Selama puasa, sistem pencernaan benar-benar berehat selama kira-kira 14 jam, sementara di dalam otak orang yang berpuasa pula berlaku pengurusan maklumat yang banyak. Contohnya, otak dapat mengingat dengan baik di saat tenang dan rilek. Ketika tidur, biasanya orang bermimpi. Kenapa?.  Kerana di waktu ini otak hanya menerima dan menguruskan maklumat yang berasal dari dalam dirinya. Menurut beliau lagi, di dalam Al-Quran, ada istilah an-Nafs al-Muthmainah (jiwa yang tenang) kerana memang dalam suasana tenang orang boleh berfikir dengan baik dan mempunyai kepekaan hati yang tajam. 

7.  Kata beliau otak manusia terdiri daripada bertrilion sel yang disambungkan satu dengan yang lain. Di dalamnya boleh disimpan 1 bilion bit ingatan atau memori. Ini sama dengan maklumat dari 500 set ensiklopedia lengkap. Di dalam otak, ada sel yang dipanggil neuroglial cells. Fungsinya sebagai pembersih otak. Semasa berpuasa, sel-sel neuron yang mati atau sakit akan 'dimakan' oleh sel-sel neuroglial ini. Ahli fizik terkenal, Albert Einstein dikenali sebagai orang yang suka berpuasa. Ketika menderma tubuhnya, para saintis mencari sel-sel neuroglial di dalam otak Einstein dan didapati 73% lebih banyak berbanding orang biasa.  

8.  Dr. Taufik merumuskan bahawa puasa adalah salah satu bentuk tazkiyatun nafs (menumpulkan nafsu) dan tarbiyatun iradah (mendidik kehendak). Kerana itu sejak dari niat puasa, perilaku selama berpuasa dan ritual-ritualnya berada dalam konteks memperbaiki nafsu dan  menguruskan kemahuan-kemahuan manusia.

PROFESSOR JOHN J. RATEY
9.   Kajian turut dilakukan oleh John J. Ratey, seorang professor dalam bidang pisiakatri dari Harvard Medical School, Universiti Harvard Amerika Syarikat.  Beliau merumuskan bahawa tatacara dan sekatan pengambilan kalori makanan akan meningkatkan prestasi otak. Dengan menggunakan alat functional Magnetic Resonance Imaging (fMRI), Ratey memantau keadaan otak mereka yang berpuasa dan yang tidak berpuasa. Hasilnya, didapati orang yang berpuasa mempunyai aktiviti motor korteks otak yang meningkat secara konsisten dan signifikan.


DR. ALLAH COTT
 10. Dr. Allan Cott (1910 - 1993), seorang pakar dari Amerika Syarikat menerangkan bagaimana proses kebaikan dari puasa berlaku dalam bukunya berjudul “Why Fast”. Katanya badan manusia menerima bahan beracun seperti racun serangga, kotoran dari pencemaran alam yang terdapat dalam makanan yang kita makan setiap hari dan kemudian badan kita mengeluarkan sisa dari makanan setiap hari. Ini bererti setiap hari badan manusia mencuci toksin dan sisa dari makanan ini. Jika badan menerima lebih banyak dari apa yang dapat ia keluarkan maka toksin dan sisa akan berada dalam badan.  Ini akan menyebabkan masalah kesihatan dan penyakit akan berkembang. Dengan berpuasa, badan kita boleh membersihkan lebih banyak dari apa yang masuk ke dalam badan dan menghindarkan toksin dalam badan. Kebanyakan orang boleh berpuasa dengan selamat selama sebulan atau lebih. Badan kita akan memberikan reaksi/tanda bila kita patut berhenti berpuasa. Berpuasa juga menjadikan otak kita berfungsi dengan lebih baik. Menjadikan kita lebih pintar.  Inilah hikmah atau keajaiban (miracle) puasa katanya.
 
Yuri Nikolaev - Wikidata
       DR.YURI NIKOLAYEV
 
11.  Dr. Yuri Nikolayev, Pengarah Bahagian Diet di Institut Kajian Psiakatri, Moscow telah mengkaji amalan berpuasa yang boleh menjadikan pengamalnya kelihatan lebih awet muda.   Ini adalah satu penemuan terbesar abad ini. Beliau mengatakan: “What do you think is the most important discovery in our time?. The radioactive watches?. Exocet bombs?. In my opinion the biggest discovery of our time is the ability to make onself younger physically, mentally and spiritually through rational fasting.”
 
DR. ALVENIA FULTON (KIRI)


12. Dr. Alvenia M. Fulton (1893 – 1999) ialah seorang pakar dalam bidang pemakanan.  Beliau telah menubuhkan "Fultonia Health and Fasting Institute" di Chicago Amerika Syarikat pada tahun 1958. Dikenali di Amerika sebagai “Queen of Nutrition”. Beliau dikatakan orang yang awal pernah mencadangkan berpuasa sebagai satu cara membersihkan badan dan membolehkan badan kita membersih dan menyembuhkan penyakit secara semulajadi. Katanya  “GONNA GET SICK! AND THE FASTING DIDN'T MAKE YOU SICK, THE EATING MADE YOU SICK!!!". Dr. Fulton telah mengarang dua buah buku yang berjudul “The Fasting Primer” dan “The Nutrition Bible”.


13. Dr. Elson M. Haas seorang graduan dari Universiti Perubatan Michigan pada tahun 1972. Beliau ialah pengasas dan Pengarah Pusat Pencegahan Perubatan  Laut di San Rafael, California. Beliau menyarankan dilakukan berpuasa yang bermanfaat untuk proses peremajaan, istirahat pada organ pencernaan, anti penuaan, mengurangi alergi, mengurangi berat badan, mengawal mental dan emosi serta meningkatkan daya tahan tubuh. Puasa juga dapat mengubati penyakit seperti influeza, bronkitis, alergi makanan, asma, aterosklerosis, penyakit jantung koroner, hipertensi, diabetis, obesiti, kanser, epilepsi, sakit pada punggung, sakit mental, sakit dada kerana jantung, panas dan insomnia.

14.  Hasil dari kajian-kajian di atas membuktikan betapa benarnya ajaran agama Islam.  Tidak akan ada orang lain yang lebih memahami manfaat sesuatu suruhan agama Islam melainkan sang Pencipta, Allah SWT zat yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui. 


“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali sumur agar saudaranya masuk ke dalamnya, maka ia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya”.- Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Ash-Shodiq

No comments:

Post a Comment