Tuesday, 24 February 2015

PELABURAN JANGKA PANJANG SETELAH MENINGGAL DUNIA



1.      Dalam Surah An-Najm[Bintang](53:39), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

2.   Maksud firman ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadisnya. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

TEMPAT BERAKHIRNYA KEHIDUPAN SETIAP ORANG ISLAM
“Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia maka terputuslah segala amalan kebajikannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakan untuknya.”

3. Hadis ini adalah sebagai perincian kepada firman Allah di atas supaya manusia berusaha melakukan amalan yang pahalanya tidak terputus selepas meninggal dunia. Rasulullah SAW memberitahu tiga bentuk amalan yang boleh menjamin pahala yang terus menerus diperolehi seseorang walaupun setelah meninggal dunia. Apabila seseorang itu meninggal dunia, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara yang pernah dilakukannya semasa hidup. Walaupun orang lain yang beramal, simati akan turut sama memperolehi ganjaran pahala. Ini kerana simati  mempunyai sumbangan atau peranan dalam amalan yang dilakukan oleh orang yang masih hidup. 

BERSEDEKAH UNTUK BINA MASJID
4.    Perkara pertama yang disebutkan dalam hadis di atas ialah sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan dan berkekalan manfaatnya untuk kegunaan masyarakat umum. Umpamanya sedekah untuk  mendirikan masjid, surau, sekolah, asrama anak yatim, membina jambatan, mewakafkan buku-buku agama, mewakafkan tanah untuk tujuan kebaikan dan sebagainya. 

5.  Jika seseorang tidak berkesempatan melakukan kebajikan semasa hidup dan dia mewasiatkan kepada warisnya supaya mengambil hartanya untuk membuat kebajikan seperti dinyatakan di atas maka ini juga termasuk dalam kategori sedekah jariah. Dari segi fiqh ia lebih dikenali dengan wasiat iaitu sesuatu muamalat harta yang berkait dengan kematian seseorang dan berkuatkuasa dengan meninggalnya orang yang memberi wasiat. Apa yang penting ialah si mati mempunyai niat dan kehendak untuk membuat sedekah jariah semasa hidupnya.

6.   Sebaliknya jika si mati langsung tidak mempunyai kehendak dan niat semasa hidup dan tidak pernah bercita-cita untuk bersedekah lalu dia meninggal dunia kemudian orang lain bersedekah untuknya maka ini tidak dipanggil sedekah jariah yang dilakukannya tetapi dilakukan oleh orang lain. Dengan itu, dia tidak memperolehi pahala daripada sedekah itu. Peranan dan penglibatan seseorang dalam apa-apa amalan amatlah penting dan niat menjadi syarat kepada penerimaan amalan. Ini selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan-amalan itu dikira dengan niat dan setiap orang memperolehi apa yang dia niatkan.” (Hadis Riwayat Bukhari).
MENGAJAR ILMU YANG BERMANFAAT

7. Perkara kedua yang disebutkan oleh hadis di atas ialah ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang dipelajari oleh seseorang kemudian ia disebarkan dan diajarkan pula kepada orang lain yang mendapat faedah duniawi atau ukhrawi. Dengan cara ini, pahala orang yang mengamalkan ilmu yang diajarkannya itu juga diperolehinya tanpa mengurangkan pahala orang yang melakukannya. Imam Ibnu Majah meriwayatkan, katanya: Daripada Sahl bin Mu’az bin Anas daripada ayahnya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengajarkan satu ilmu maka dia memperolehi ganjaran pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan sedikitpun pahala orang yang melakukannya.”

ANAK SOLEH YANG DITINGGALKAN
8. Perkara ketiga yang disebutkan oleh hadis ialah anak si mati yang soleh yang mendoakan untuk kedua ibu bapanya. Si mati telah mendidik anaknya dengan didikan Islam dan akhlak mulia sehingga dia membesar dalam ketaatan kepada Allah SWT dan berbakti kepada ibu bapanya. Apa yang diajarkan oleh si mati itulah yang diamalkan dan menjadi amalan si anak. Ini akan menyambung  pahala amalan si mati. Setiap amalan soleh yang dilakukan anak tetap dikira sebagai pahala untuk  ibu bapanya yang mendidiknya.

9.    Kesimpulan dari hadis Rasulullah SAW di atas ialah baginda  mengajar umatnya agar memberi perhatian kepada pelaburan jangka panjang yang sebenar-benarnya atau pelaburan hakiki. Tujuannya ialah supaya orang yang telah mati tetap memperolehi harta akhirat, iaitu pahala yang tidak  putus-putus walaupun dia telah lama meninggal dunia. Selama mana salah satu dari tiga perkara di atas berlaku maka selama itulah simati akan mendapat harta akhirat. Jika semasa hidup kita selalu memikirkan tentang kekayaan duniawi dengan berusaha mencari kekayaan dan membuat pelaburan maka sewajarnyalah kita juga perlu memikirkan kekayaan dan kesenangan setelah kita dimatikan oleh Allah. 

 10.  Banyakkanlah bersedekah kerana harta yang disedekahkan itulah sebenar-benarnya harta milik kita yang berupa pahala di akhirat nanti.  Orang yang bakhil untuk bersedekah kerana mereka gagal memahami hakikat ini. Harta berjuta ringgit dan segala kesenangan lainnya yang kita tinggalkan di dunia ini setelah mati sebenarnya kepunyaan suami atau isteri atau anak-anak kita.  Merekalah yang senang lenang sedangkan kita berhadapan dengan fitnah dan azab kubur serta sengsara di akhirat.

11.  Jangan jadikan diri kita sebagai manusia yang tidak menyakini adanya pembalasan di akhirat nanti.   Semasa hayat masih dikandung badan inilah masa untuk kita berusaha ke arah mencapai kesenangan dan kenikmatan ABADI di negeri akhirat.


“Perkataan itu seperti ubat, kalau sedikit bercakap memberi manfaat, tetapi terlalu banyak bercakap nescaya boleh membunuh,” – Mutiara Kata Amru Al-As

Sebahagian petikan dari blog www.kuburakhirat.com.

No comments:

Post a Comment