Thursday, 5 February 2015

KEMANISAN IMAN


 
1.   Daripada anas bin Malik RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang ada padanya semua tiga perkara nescaya dia akan mendapat kemanisan iman: (1) Adalah Allah SWT dan rasulnya lebih dikasihi dari yang lain dari keduanya.  (2) Dan bahawa dia kasih akan seseorang, tiada kasihnya itu melainkan kerana Allah, (3) dan bahawa dia benci kembali kepada kufur sebagaimana dia benci bahawa dia akan dicampakkan dalam api neraka” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.  Kemanisan iman adalah perkara maknawi kerana sifat iman adalah perkara dalaman.  Berdasarkan hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa sesiapa yang mengurangi apa yang disebut dalam hadis ini sudah pasti tidak dapat merasai kemanisan iman.  Ini kerana cinta hakiki hanyalah cinta kepada Allah SWT. Sesiapa yang cinta kepada Rasulullah SAW bermakna dia telah mencintai Allah.

3.  Hadis di atas selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:31) yang berbunyi:


“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

4.    Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Cintailah Allah SWT kerana nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu dan cintailah aku kerana cintakan Allah SWT serta cintailah ahli keluargaku kerana cintakan aku. (Hadis Riwayat Termizi).

5.   Berkasih sayang sesama Islam mestilah berasaskan kerana Allah. SWT.  Hanya dengan cara itu ia akan menghasilkan keikhlasan dan sifat setiakawan yang tiada tolak bandingnya.  Oleh kerana itulah anjuran berjemaah amat banyak diperintahkan dalam Islam seperti solat berjemaah, makan beramai-ramai, bergotong royong dan sebagainya.  Perkara-perkara itu akan dapat memupuk kasih sayang. 

6. Bencikan kekufuran menandakan kekuatan iman bahkan mendapat kemanisan iman. Ini kerana Islam merupakan agama yang sebenar disatu sisi manakala kekufuran berada di sisi yang lain.  Kedua-duanya tidak mungkin bertaut dan bersatu. 

“Sesiapa yang memberi peringatan dan nasihat kepada rakannya dalam keadaan sembunyi maka sesungguhnya dia telah menasihati dan memperelokkannya. Sesiapa yang menasihati secara terang maka dia telah menyakiti dan mengkhianatinya. Dan bila tidak berguna nasihat secara sembunyi , maka minta tolonglah orang-orang yang baik untuk mencegahnya dari perbuatan maksiat. Maka jika tidak dikerjakan yang demikian, pasti perbuatan maksiat itu akan menjalar dan bermaharajalela sehingga menghancurkan semua.” – Mutiara kata Abu Dardaa’ r.a

(Petikan dari buku “Permata Buat Orang Yang Beriman” terbitan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan)

No comments:

Post a Comment