Sunday, 22 February 2015

MANFAAT TANAH: MENYINGKAP KEBENARAN AJARAN ISLAM



1. Perbincangan untuk posting kali ini ialah tentang keistimewaan dan kelebihan yang ada pada tanah yang tidak diketahui oleh manusia. Selama ini manusia hanya berpendapat tanah hanyalah sesuai sebagai tempat untuk bercucuk tanam sahaja. Orang tidak tahu bahawa tanah mempunyai kemampuan untuk menjadi penawar bagi penyakit tertentu yang dialami oleh manusia.  Dalam Al-Quran terdapat beberapa firman Allah SWT tentang tanah.  Antaranya ialah:

          1.1.   Dalam Surah AlHajj [Haji](22:5) yang berbunyi:
         

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

1.2.   Dalam Surah Ar-Ruum[Kerajaan Rom](30:20) yang berbunyi:


“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi”.

1.3.   Dalam Surah Mukminun[Orang Beriman](23:12) berbunyi:
 

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah.”

2.    Sabda-Sabda Rasulullah tentang tanah yang boleh dijadikan bahan bersuci ialah seperti berikut:

      2.1. “Bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud (masjid) dan alat         bersuci” (Hadis Riwayat Muslim).


      2.2.  "Sucinya tempat air seseorang diantara kamu jika dijilat anjing ialah dengan dicuci tujuh kali, yang pertamanya dicampur dengan debu tanah.” (Hadis Riwayat Muslim).

3.   Ramai orang berfikiran tanah itu kotor kerana ia mengandungi bakteria yang boleh membawa penyakit. Tetapi sebenarnya dalam sebuah kajian terbaru, saintis mengesahkan bahawa salah satu fungsi tanah, terutamanya tanah dari gunung berapi boleh menghapuskan bakteria yang berbahaya. Kini mereka berjaya menghasilkan antibiotik pembunuh bakteria berbahaya dengan menggunakan jenis tanah tertentu. Setelah ujikaji dibuat di makmal, mereka menemui fakta bahawa tanah liat dapat menghapus seluruh bakteria pada sesuatu bahagian dalam masa 24 jam sahaja. Pengkaji-pengkaji tentang tanah ialah seperti berikut:

3.1.  Beberapa tahun yang lalu seorang pakar dari Perancis, iaitu Dr.Line Brunet de Courssou telah menemui sejenis tanah hijau di Perancis. Keberkesanan tanah hijau yang mengandungi mineral yang dipanggil smectite dan illite  telah pertama kali di gunakan oleh beliau untuk tujuan membasmi penyakit buruli ulcer di klinik-klinik di Ivory Coast dan Guinea. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (W.H.O.) mengganggap ia adalah satu penemuan baru yang mengagumkan.

3.2. Dr. Lynda Williams pakar kaji tanah dari Universiti Arizona, Amerika Syarikat   juga mengesahkan bahawa tanah merupakan zat yang sangat bersih di mana zat-zat tersebut boleh mengendalikan aktiviti mikrob, yang pada akhirnya dapat melemah dan menghilangkan penyakit tertentu.
DR. SHELLEY E. HEYDEL

3.3.  Ahli kaji kuman (microbiologist), Dr. Shelley E. Haydel  ialah seorang professor dalam bidang Sains Hayat dan pengkaji di Pusat Penyakit Berjangkit di Institut Biodesign, Universiti Arizona, Amerika Syarikat. Beliau berkata, sekarang kita harus mengkaji perhubungan antara ilmu bumi dan sel-sel hidup. "Beberapa tahun yang lalu saya hanya memandang tanah sebagai bahan yang kotor tetapi kini saya berpendapat tanah ialah bahan yang boleh menyuci  dan membersihkan", katanya.

3.4.  Para pengkaji telah berjaya menemui  beberapa jenis tanah di Afrika Selatan yang dapat menghasilkan suatu jenis antibiotik yang boleh membunuh bakteria yang tidak dapat dibunuh dengan antibiotik lain. Penemuan ini diterbitkan dalam jurnal “New World” dalam tahun 2006, kata Juni Wang, seorang pengkaji di Makmal Penyelidikan Merck di New Jersey, Amerika Syarikat. 

4.  Pandangan pengkaji-pengkaji tanah tentang kelebihan dan kebaikan tanah mengesahkan kebenaran ajaran agama Islam. Sebagai seorang Islam kita berpendirian bahawa penemuan kebaikan tanah masakini bukanlah perkara yang luar biasa. Ini kerana sejak lebih 1400 tahun lalu Islam sudah mengajar penganutnya bahawa tanah adalah benda bersih hingga debu tanah boleh digunakan untuk bertayammum jika tiada air. Agama Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang mengajar umatnya bersuci menggunakan tanah.  Contohnya untuk menyamak benda-benda yang terkena najis mughalazah (babi dan anjing). Daging babi diharamkan dalam Islam kerana ia mengandungi kuman yang tidak dapat dimatikan dengan cara memasak daging tersebut.  Kuman ini hanya dapat dibunuh dengan menggunakan tanah. Di sinilah letaknya rasional kenapa tempat yang terkena najis berat (mughalazah) perlu disamak dengan menggunakan air tanah. Inilah ajaran oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.  Ajaran yang datangnya dari Allah SWT yang maha mengetahui apa yang tidak diketahui dan difahami oleh manusia.

5.    Keupayaan tanah untuk mengubati penyakit dapat dibuktikan dengan perlakuan burung kakak tua yang memakan tanah liat.  Ia mungkin untuk tujuan mengubati masalah akibat dari pemakanan mereka.  Begitu juga babi dan beberapa jenis binatang lain turut memakan tanah untuk tujuan yang sama. 

6.   Insyaallah, Allah akan menunjukkan bukti kebenaran agamanya, iaitu Islam dari masa ke semasa dengan penemuan fakta-fakta saintifik oleh saintis bukan Islam. Semua kebenaran ini telah Allah atau Rasulullah sebutkan lebih 1400 tahun lalu. 


“Allah mengasihani kaum yang menganggap dunia sebagai barang simpanan. Lalu mereka menyerahkannya kepada orang yang sanggup memegang amanah mereka terhadap barang simpanan tersebut. Kemudian, mereka merasa senang dengan ringannya beban kerana harta itu.”- Mutiara Kata Hassan Basri 

No comments:

Post a Comment