Wednesday, 11 February 2015

PENEMUAN SAINTIFIK DALAM AMALAN BERWUDUK


1.  Dalam Surah Al-Maidah [Hidangan](5:6), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”


TUAN GURU NIK AZIZ SEDANG AMBIL WUDUK
2.    Dalam konteks wuduk ini, Rasulullah SWT bersabda yang bermaksud:

2.1.   “Sesungguhnya Allah tidak menerima solat di antara kamu apabila berhadas sampai kamu berwuduk lebih dahulu.” (Hadis Riwayat Termizi).

2.2.   "Sesungguhnya umatku akan muncul pada hari kiamat dengan wajah gemilang dan kedua anggota (tangan dan kaki) yang bercahaya disebabkan bekas wuduk. Sesiapa diantara kamu yang sanggup memanjangkan cahayanya, maka lakukanlah. (Hadis Riwayat Muslim).

3.    Amalan berwuduk akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan juga akhirat. Di dalam Kitab Fiqhus Sunnah dinyatakan amalan berwuduk membawa beberapa kelebihan antaranya:

3.1.  Menggugurkan dosa. Ini berlaku apabila kita berwuduk bersama aliran air itulah maka berguguran dosa kita. 

3.2.   Berwuduk akan mengangkat darjat manusia.

3.3.   Orang berwuduk akan datang di akhirat dalam keadaan bahagia dan bersinar-sinar wajahnya.

4.  Ulama Fekah menjelaskan hikmah wuduk sebagai sebahagian dari usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani. Anggota badan yang dibasuh dengan air wuduk seperti tangan, kawasan muka termasuk mulut, dan kaki memang paling banyak bersentuhan dengan benda-benda asing termasuk kotoran. Kerana itu, wajar kalau anggota badan itu yang harus dibasuh.

5.   Ulama tasawuf menjelaskan hikmah wuduk dengan menjelaskan bahawa anggota badan yang dibasuh air wuduk memang kawasan yang paling sering berdosa. Kita tidak tahu apa yang pernah diraba, dipegang, dan dilakukan tangan kita. Bahagian muka pula banyak terdapat pancaindera badan.

6.  Sekarang kita lihat dan nilai pula apakah kelebihan dan kebaikan berwuduk hasil dari kajian secara saintifik:

6.1.   Hasil dari kajian yang dilakukan oleh Professor Dr. Plinus, pakar dalam bidang kaji kuman (bacteriology) mendapati terdapat kuman penyakit yang jumlahnya boleh mencapai ratusan ribu pada air bekas cuci mulut (kumuran) manusia. Antaranya seperti baksil vibrio, spiril, coccus  diploccus, steptococcus, staphyo coccus, protozoa, spirochaeta dan virus. Beliau juga mengatakan bahawa banyak penyakit yang boleh sampai kepada selaput lendir di hidung dan mulut seperti selsema, agina, bronchitis, dypteria, tubercolose, tussisconsulviva, batuk rejang (pertussis), influenza, pneomonia (radang paru-paru). Virus dan bakteria di atas dapat ditanggal dengan air wuduk.

6.2.   Dr. Rashid Magomedgadjiev Magomedov berkhidmat di Lembaga Kesihatan Umum dan Ekologi, Daghestan State Medical Academy, Republik Daghestan.  Dalam satu kajiannya yang dimuatkan dalam artikel bertajuk Muslim Rituals and Their Effect on The Person Health telah merumuskan bahawa wuduk dapat merangsang aura tubuh secara semula jadi. Rangsangan ini muncul pada seluruh tubuh, khususnya kawasan yang disebut Biological Active Spots (BASes) atau titik aktif biologi. BASes hampir sama dengan titik-titik refleksologi ala Cina. Biasanya bagi memberikan kesan urutan itu ia memerlukan tekanan atau tusukan jarum. Walaupun berwuduk hanyalah sekadar usapan dan sapuan lembut tetapi ia sebenarnya mencukupi untuk memberikan kesan kepada BASes ini. Ini kerana, walaupun terdapat 700 BASes dibadan manusia tetapi 65 daripadanya akan memberi kesan refleksi yang cepat. Tempat ini dikenali sebagai drastic spot. Menurutnya lagi, sapuan muka yang didalam perubatan moden dipanggil sebagai hidromassage akan memberi kesan positif pada ginjal dan sistem saraf ataupun pada organ genital. Disamping itu, wuduk juga berkesan mencegah daripada masuknya kuman penyakit melalui kulit. Ini kerana kulit adalah organ terbesar tubuh kita. Kulit yang membungkus tubuh kita memiliki berat 10 paun, seluas dua meter persegi dan ketebalan satu perpuluhan empat hingga empat milimeter. Setiap hari, hampir 10 juta sel kulit mati. Sel-sel kulit yang mati ini ialah kotoran daki. 

Kulit juga berfungsi untuk menutup seluruh tubuh serta melindungi daripada pelbagai jangkitan kuman, racun, bahan kimia berbahaya dan sinar radiasi. Antara fungsi lain kulit adalah mengatur suhu tubuh, melakukan fungsi perkumuhan dengan membuang zat-zat yang tidak berguna melalui liang-liang peluh. Kulit juga adalah media komunikasi antara sel-sel saraf bagi rangsangan haba, sentuhan serta tekanan. Melalui berwuduk kita menyapu permukan tujuh bahagian anggota badan kita yang tidak dilindungi oleh pakaian secara minimum sebanyak 15 kali dengan air bersih. Ini juga anggota tubuh yang paling banyak terdedah kepada persekitaran luar. Oleh itu, kulit mempunyai paling banyak populasi mikro organisma. Berwuduk bertindak mengurangkan mikro organisma serta menurunkan risiko kewujudan bakteria di dalam tubuh kita. Dalam kajian yang lain, dibuktikan bahawa berwuduk membantu proses regenerasi kulit, iaitu pengantian sel-sel lama dengan yang baru. Kestabilan kulit ditentukan oleh nilai pH iaitu keasidan dan kelembapan kulit. Kulit yang terlalu kering juga merbahaya bagi kesihatan kulit. Ini memudahkan ianya dijangkiti kuman. Melalui amalan membasuh tangan ketika berwuduk kita dapat mengawal daripada terkena wabak penyakit dan sebagainya. Ini kerana melalui telapak tanganlah kita banyak berinteraksi seperti bersalaman, menggengam, menyentuh ataupun memetik jari. Dengan tangan juga kita bersentuhan dengan segala benda sekeliling kita. Bahkan lebih daripada 70% penyakit berjangkit seperti cacing disebabkan oleh kontaminasi melalui sentuhan tangan. Amalan membasuh tangan di awal berwuduk sebenarnya menepati kaedah standard yang diamalkan di dalam bidang perubatan. Misalnya sebelum pekerja perubatan mula bekerja mereka perlu mencuci tangan dan membilasnya dengan sabun, terutamanya apabila hendak melakukan pembedahan. 

6.3. Perbuatan Istinsyaq ataupun menghirup air ke dalam hidung adalah perbuatan yang mungkin tidak pernah dilakukan oleh seseorang melainkan ketika berwuduk. Menurut pakar bedah tumur Dr Bahar Azwar, apabila terdapat tumur yang tersembunyi di dalam hidung, aliran air ke dalam hidung yang menyapu bahagian nasopharyng merangsang pendarahan pada tumur itu. Melalui perbuatan istinsyaq ini dapat membantu dalam pengesanan awal tumur di bahagaian nasopharyng yang tersembunyi. Begitu juga melalui istinsyaq kita berupaya membersihkan selaput lendir hidung yang mungkin bercampur dengan udara kotor dan kuman. Ini kerana hidung adalah organ terbuka dan di dalam rongga hidung juga mungkin terdapat kuman-kuman. Satu ketika dahulu apabila penyakit SARS merebak ke seluruh Asia termasuk Malaysia ia merebak melalui titisan air yang keluar di udara semasa penghidapnya bersin ataupun batuk. Melalui istinsyaq ia akan dapat mencegah jangkitan SARS diperingkat awal lagi. Di sini jelas bahawa perbuatan berwuduk membawa faedah yang banyak. 
PROFESSOR ROLF EHRENFELS
6.4.   Professor Leopold Werner von Ehrenfels, seorang psikiateri dan neurologis dari Austria telah menemui sesuatu yang menakjubkan dari amalan wuduk. Beliau mengemukakan satu fakta yang sangat mengejutkan. Katanya pusat-pusat saraf yang paling peka dari tubuh manusia  berada pada bahagian dahi, tangan dan kaki. Pusat-pusat saraf tersebut sangat sensitif terhadap air segar. Dari sini dia menemui hikmah di sebalik wuduk yang membasuh pusat-pusat saraf di kawasan tersebut. Malah dia mencadangkan agar wuduk bukan hanya diamalkan oleh orang  Islam tetapi untuk manusia  keseluruhannya. Dengan sentiasa membasuh air segar pada pusat-pusat saraf tersebut, bererti sesaorang akan memelihara kesihatan dan keselarasan pusat sarafnya. Setelah menyakini kebaikan perintah Islam dalam berwuduk ini akhirnya beliau memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Baron Omar Rolf Ehrenfels.
 
7.  Wuduk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu mencegah seseorang daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar kerana wuduk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas. Sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana sembahyang yang sempurna boleh memadamkan (kafarah) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.

8.  Bukti sains menjelaskan kepada kita kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Marilah kita beramal dan melazimkan diri dengan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk walaupun bukan untuk mengerjakan sembahyang.


“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali sumur agar saudaranya masuk ke dalamnya, maka ia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya”.- Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Ash-Shodiq

1 comment: