Thursday, 12 February 2015

HIKMAH DISEBALIK PERGERAKAN DALAM SOLAT




1.  Perintah Allah untuk mengerjakan solat ini banyak kali disebutkan dalam AlQuran. Antaranya ialah:

1.1.  Dalam Surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2:43) berbunyi:


“Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

(2:110)



“Dan dirikanlah oleh kamu akan solat dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.”

1.2. Dalam Surah An-Nisa [Kaum Perempuan](4:103) yang berbunyi:


“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

1.3.   Dalam Surah Ta Ha (20:14) yang berbunyi:

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.”

(20:132)


“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

          1.4.   Dalam Surah Al-'Ankabut [Labah-Labah](29:45) yang berbunyi:




“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

1.5.   Dalam Surah Luqman (31:17) pula berbunyi:
 

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

2.    Rasulullah SAW juga banyak kali bersabda kepada sahabatnya tentang kewajipan bersolat ini.  Antaranya ialah seperti berikut:

2.1.   "Perintahkanlah anak-anakmu mengerjakan solat apabila mereka sudah berumur 7 tahun, dan pukullah mereka kalau mereka meninggalkannya apabila umur mereka sudah sampai 10 tahun ". (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Hakim).

2.2.   Dari ‘Abdullah bin ‘Umar, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Islam itu terdiri atas lima rukun. Mengakui bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadan. (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim).

3.   Solat adalah ibadah yang paling baik untuk kesihatan tubuh badan manusia. Dari sudut kajian ilmiah, solat berupaya untuk mengubat pelbagai jenis penyakit. Kita sama-sama lihat kebaikan yang ada pada setiap pergerakan atau perbuatan semasa solat.

3.1.   Semasa Takbiratul Ihram:


3.1.1.  Perbuatannya ialah berdiri tegak, mengangkat kedua tangan sejajar telinga, lalu melipatnya di depan perut atau dada bahagian bawah. 

3.1.2. Manfaat bagi pergerakan ini ialah melancarkan aliran darah, limfa dan kekuatan otot lengan. Posisi jantung yang terletak di bawah otak memungkinkan darah mengalir lancar ke seluruh tubuh. Ketika mengangkat kedua-dua tangan, otot bahu meregang sehingga aliran darah yang kaya dengan oksigen berjalan dengan lancar. Kemudian kedua-dua tangan didakapkan di depan perut atau dada bahagian bawah. Keadaan ini menghindarkan dari pelbagai gangguan persendian, khususnya pada tubuh bahagian atas.

          3.2.   Semasa Rukuk:


3.2.1.  Rukuk yang sempurna ialah keadaan tulang belakang yang lurus sehingga bila diletakkan segelas air di atas belakang ia tidak akan tumpah. Kedudukan kepala adalah lurus sama dengan tulang belakang. 

3.2.2. Manfaat bagi kedudukan ini ialah ia menjaga kesempurnaan kedudukan dan fungsi tulang belakang (corpus vertebrae) sebagai penyangga tubuh dan pusat saraf. Posisi jantung sejajar dengan otak yang membolehkan aliran darah maksimum dapat dialirkan pada tubuh badan bahagian tengah. Tangan yang bertumpu di lutut berfungsi untuk merehatkan otot-otot bahu hingga ke bawah. Selain itu, rukuk adalah latihan yang baik untuk mengelakkan gangguan pada prostat bagi orang lelaki.

3.3.   Semasa Iktidal:

3.3.1. Apabila bangun dari rukuk atau sujud, tubuh kembali tegak setelah mengangkat kedua tangan setinggi telinga.

3.3.2.  Gerakan berdiri selepas rukuk dan  sujud merupakan latihan pencernaan yang baik. Organ-organ pencernaan di dalam perut mengalami urutan dan pelonggaran secara bergantian. Kebaikannya ialah sistem pencernaan menjadi lebih lancar.



3.4.   Semasa Sujud:


3.4.1. Kedudukan menungging dengan meletakkan kedua tapak tangan, lutut, hujung kedua jari kaki dan dahi pada lantai. 

3.4.2. Posisi jantung di atas otak menyebabkan darah kaya dengan oksigen boleh mengalir maksimum ke otak. Aliran ini boleh mempengaruhi daya fikir seseorang. Oleh itu, lakukan sujud dengan tuma'ninah, jangan tergesa gesa agar darah yang cukup boleh sampai ke otak. Postur ini juga menghindarkan gangguan buasir. Bagi kaum wanita khususnya, rukuk mahupun sujud memberi manfaat besar untuk kesuburan dan kesihatan organ kewanitaan.

3.4.3. Dari sudut kesihatan/perubatan, berikut adalah kebaikan yang boleh diperolehi dari perbuatan sujud ketika solat:

(a) Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit daripada tempat asalnya.

(b) Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

(c) Melegakan sakit hernia.

(d) Melegakan paru-paru daripada ketegangan.

(e) Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa. Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang badan.

(f) Meringankan bahagian pelvis.

(g) Memberi dorongan supaya mudah tidur.

(h) Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika sujud dan bangun daripada sujud. Pergerakan ini akan menjadikan otot lebih kuat dan elastic secara semula jadi dan ia juga akan memastikan kelancaran perjalanan darah. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik,mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

(i) Sujud juga mampu mengurangkan kegemukan.

(j) Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin. Organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).

(k) Organ terpenting iaitu otak kita juga akan menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

(l) Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

(m) Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta, sekali gus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.

(n) Sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan ingatan seseorang. 

3.5.   Semasa Duduk:

3.5.1.  Duduk ada dua jenis, iaitu  iftirasy (tahiyyat awal) dan tawaruk (tahiyyat akhir). Perbezaannya terletak pada posisi telapak kaki. 

3.5.2. Posisi ini menghindarkan sakit pada pangkal paha yang sering menyebabkan penderitanya tidak mampu berjalan. Duduk tawarruk sangat baik bagi lelaki sebab tumit menekan aliran pundi kencing (urethra), kelenjar kelamin lelaki (prostat) dan saluran vas deferens. Jika dilakukan dengan betul, postur ini boleh mencegah seorang laki-laki dari menghadapi masalah cepatnya keluar air mani ketika bersetubuh. Posisi tapak kaki pada kedudukan iffirosy dan tawarruk menyebabkan seluruh otot kaki turut meregang dan kemudian relaks kembali. Gerak dan tekanan harmonis inilah yang menjaga kelenturan dan kekuatan organ-organ pergerakan kita.

3.6.   Semasa Memberi Salam:

3.6.1. Memusingkan kepala ke kanan dan ke kiri secara maksimum. 

3.6.2. Semasa perbuatan ini berlaku kelonggaran otot sekitar leher dan kepala yang menyempurnakan aliran darah di kepala. Gerakan ini mencegah sakit kepala dan menjaga kekedutan kulit muka. 

4.    Subhanallah, Maha Suci Allah SWT yang maha mengetahui apa yang baik untuk manusia ciptaanNya.  Setiap perintah Allah pasti akan ada kebaikan kepada manusia yang melakukannya. Bersolatlah secara berterusan kerana selain dari menyuburkan iman ia juga mempunyai banyak kebaikan dari segi kesihatan dan perubatan.  


“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

No comments:

Post a Comment