Sunday, 15 February 2015

HUKUMAN SEBAT PEMINUM ARAK : PENEMUAN SAINTIFIK



1.   Di dalam Surah Al-Maidah [Hidangan] (5:90)  Allah SWT berfirman yang berkaitan dengan larangan meminum arak yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

2.   Walaupun Allah tidak memberikan perincian tentang hukuman ke atas peminum arak namun penerangannya diberikan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya ataupun kisah yang diceritakan mengenainya. Misalnya:

2.1.   “Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

2.2.   “Rasulullah SAW telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu Rasulullah telah menyebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali.” (Riwayat Muslim).

2.3.   “Sesungguhnya Rasulullah SAW merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu. Kemudian Abu Bakar AsSiddiq di zaman pemerintahannya juga menyebat dengan 40 kali sebatan. Ketika pemerintahan Umar AlKhattab, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampung dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman bin Auf berkata: Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazaf) maka Umar AlKhattab membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan.” (Riwayat Muslim dan Abu Daud).

2.4.   “Berkata Saidina Ali Abi Talib, Rasulullah SAW menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai.” (Riwayat Muslim).

2.5.   Imam As-Syafi’e berpendapat sebatan itu adalah 40 kali sebatan. Pendapat ini didasarkan kepada hadis Riwayat Muslim bahawa Saidina Ali merotan Al-Wahid bin Uqbah sebanyak 40 kali rotan kemudian beliau berkata: Rasulullah SAW telah merotan 40 kali rotan, Abu Bakar pula merotan 40 kali rotan dan Umar 80 kali rotan, semuanya berdasarkan sunnah, dan saya lebih menyukai ini (40 kali rotan).

3.    Hukuman rotan bagi peminum arak seperti di atas adalah salah satu dari hukuman yang telah diamalkan di zaman Rasulullah lebih 1,400 tahun lalu. Ramai orang yang memperlekehkan hukuman ini, samada orang bukan Islam malah dari kalangan orang Islam sendiri.  Mereka memandang hukuman ini ketinggalan zaman dan tidak sesuai lagi diamalkan kini. Sesungguhnya kita manusia sama sekali tidak akan mengetahui kebaikan dan kelebihan dari setiap perintah Allah melainkan apabila kajian dibuat mengenainya. 


4. Kajian dan penyelidikan perbuatan merotan ke atas peminum arak telah dilakukan oleh sekumpulan pengkaji yang di ketuai oleh  Dr. Sergei Speransky, Pengarah Kajian Biologi di Institut Perubatan Novosibirsk, Siberia Rusia.  Beliau sendiri mengaku pernah dirotan bagi mengatasi masalah tekanan yang dihadapinya. Katanya penagih arak mengalami masalah kekurangan hormon endorphins yang dikenali juga dengan ‘hapiness hormons’ dalam badan. Dengan merotan akan menyebabkan rasa sakit. Rasa sakit inilah yang akan merangsang otak untuk merembeskan (release) endorphins ke dalam badan dan akan menjadikan pesakit berasa lebih gembira. Dengan kaedah ini rasa ketagihan arak akan dapat dikurangkan. Beliau juga mendakwa hukuman rotan ke atas punggung tanpa berlapik adalah penawar untuk setiap penyakit daripada tekanan perasaan sehinggalah kepada membuang tabiat meminum arak, ketagihan dadah atau seks. Beliau memberitahu lagi, rawatan kaedah ini lebih berkesan jika pesakit dirawat oleh doktor yang berlainan  jantina.

5.   Beliau merupakan perintis kaedah rawatan menggunakan rotan. Baginya rawatan menggunakan kaedah ini terbukti berkesan. Ia tidak kejam kerana tujuannya untuk merawat pesakit. Beliau menambah, pesakit berpendapat rawatan itu berjaya memulihkan mereka selepas rawatan lain gagal. “Saya bukanlah kejam tetapi saya mengesyorkan ia adalah  cara terbaik untuk merawat ketagihan,” katanya kepada akhbar The Siberian Times.

PROFESSOR MARINA MERAWAT PESAKIT
6.  Teori yang diasaskannya itu kini diteruskan oleh pakar psikologi, Dr.Herman Pilipenko dan Profesor Marina Chukhrova yang mendakwa sudah merawat lebih 1,000 orang pesakit. Mereka mendakwa hampir semua pesakit yang mereka rawat berjaya mengatasi masalah ketagihan masing-masing. Untuk satu sesi rawatan, pesakit dikenakan bayaran 3,000 rouble (RM275.00). Pesakit perlu menjalani rawatan rotan itu dua kali seminggu selama tiga bulan dan rawatan susulan setiap empat minggu pada tahun berikutnya. Penagih tegar, termasuk penagih heroin, biasanya dirotan 60 kali sementara penagih arak dan penagih lain dirotan 30 kali. Dahan pokok biasanya digunakan untuk tujuan itu kerana ia mudah lentur dan tidak menyebabkan berdarah. Pesakit akan menjalani ujian elektrokardiogram terlebih dulu untuk memastikan sebatan itu tidak akan menyebabkan mereka diserang sakit jantung. Menurut kedua-dua pakar perubatan itu, beberapa pelanggan mereka terdiri daripada selebriti dan warga asing sudah mula datang ke Siberia untuk menjalani rawatan itu. Rawatan itu mungkin dilihat kejam tetapi kedua-dua pakar itu menegaskan, ia bukan hukuman untuk memalukan pesakit.
DR.HERMAN SEDANG MERAWAT PESAKIT


7. Kini, terapi yang kelihatan pelik ini telah diisytiharkan sebagai pencapaian terbaru dalam bidang rawatan psikologi ke atas penagih-penagih arak, rokok dan sebagainya.

8.   Sesungguhnya hanya Allah yang lebih mengetahui apakah penyelesaian terbaik kepada masalah yang dihadapi manusia yang diciptaNya.  Keberkesanan kaedah ini mengesahkan kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh rasul Allah, Muhammad Rasulullah SAW. Al-Quran telah menjelaskannya lebih 1400 tahun lampau.  Allah akan menunjukkan kebenaran ajaran agamanya satu persatu supaya manusia berfikir untuk segera kembali kepada Islam.  Jangan sama sekali kita  memperlekehkan hukuman Hudud dari Allah SWT kerana itulah sahaja penyelesaian hakiki masalah manusia ciptaanNya di dunia ini.

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

No comments:

Post a Comment