Friday, 27 February 2015

EMPAT GOLONGAN MANUSIA YANG DIRINDUI SYURGA.


1.  Rasulullah SAW mengajarkan supaya setiap orang Islam sentiasa memiliki keinginan untuk menjadikan syurga sebagai tempat kediaman yang kekal abadi. Salah satu doa yang dianjurkan dibaca menjelang berbuka puasa dan dalam setiap munajat di bulan Ramadhan adalah permintaan redha Allah dan syurgaNya. Maksud doa itu ialah: "Ya Allah aku memohon redhaMu dan syurgaMu dan aku bermohon perlindungan dari murka dan azab nerakaMu."

2.  Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:82), Allah SWT telah berjanji kepada orang yang beriman dan beramal soleh dengan firmannya yang berbunyi:


“Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.”

3.  Segala macam keindahan dan kenikmatan syurga telah dibincangkan dalam posting blog ini yang bertarikh 24.12.2014 bertajuk “Gambaran Kenikmatan dan Kebahagian Kekal Abadi Kehidupan Di Dalam Syurga”. Untuk posting kali ini kita sama-sama merenung apakah kelompok manusia yang dirindui oleh syurga. Adakah diri kita ini termasuk dalam kolompok yang dirindui syurga?. Rasulullah SAW telah memberikan jawapan bahawa ada empat kelompok manusia yang dirindukan oleh syurga.  Mereka itu ialah:

3.1.   Pertama - Orang yang sentiasa membaca Al-Quran. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

3.1.1. “Adalah wajar jika syurga merindukan ahli Al-Quran ini kerana sejak di dunia lagi mereka sudah dipilih oleh Allah dengan dikepakkan sayap malaikat yang selalu menaunginya, dicurahkan kasih sayang-Nya, diliputi ketenangan hati, dan selalu diingat oleh-Nya (Hadis Riwayat Bukhari). 

3.1.2. Bahkan, di mata Rasulullah SAW: “Orang terbaik di dunia dan akhirat tidak lain adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3.2.   Kedua - Orang yang sentiasa menjaga lidahnya. Tidaklah keluar lisan dari dari lidahnya kecuali berasaskan kepada rahmat, hikmah dan berakah. Pantang baginya bercakap kotor, angkuh, dan menyakitkan. Bukankah di syurga tidak akan ada kata-kata yang sia-sia dan dusta? Keselamatan hidup, samada di dunia ataupun akhirat, di antaranya ditentukan kerana terjaganya lisan kita. 



3.3.   Ketiga – Orang yang memberi makan orang yang kelaparan. Sesungguhnya, Allah akan membalas walau sekecil mana sekalipun kebaikan kita kepada orang lain. Bila kita memberi minum kepada saudara kita yang kehausan, Allah akan memberi kita minum pada Hari Kiamat nanti pada ketika orang lain sedang merasa dahaga yang dahsyat.
BERBUKA PUASA DI MASJID NABAWI
3.4.  Keempat - Orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan. Di bulan yang mulia dan penuh berkat ini, Allah menjanjikan kepada kita akan pembebasan dari panasnya api neraka bila kita berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat, qiraat dan taqarrub, serta ibadah apa pun dengan hanya mengharap redhaNya. Bahkan, di syurga nanti akan ada satu pintu gerbang sangat indah yang disebut dengan gerbang Ar-Rayyan. Ia hanya disediakan untuk orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan atas dasar iman dan ikhlas kerana Allah SWT.

4.    Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai syurga Allah dengan beramal kepada perkara-perkara di atas selain dari amalan-amalan lain yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.


“Manusia yang paling lemah ialah orang yang tak sanggup cari teman dan yang paling lemah daripada itu ialah orang yang mensia-siakan teman yang telah diperolehinya.” -Imam Al-Ghazali

No comments:

Post a Comment