Wednesday, 1 April 2015

KUTUB UTARA : APAKAH ADA CAHAYA ISLAM DI SANA?


1.  Allah telah berjanji untuk memelihara dan menjaga agamanya, Islam yang maha suci. Firman-firman Allah itu ialah dalam surah-surah berikut:

1.1.   Dalam Surah As-Shaaf[Barisan](61:9)berbunyi:


“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”

          1.2.   Dalam Surah Ar-Ruum[Bangsa Rom]( 30:47) pula berbunyi:


“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.”

2.   Selain daripada ayat-ayat Al-Quran di atas, Rasulullah juga turut menceritakan khabar gembira mengenai kemenangan Islam dan umatnya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang berbunyi:
ليبلغن هذا الأمر ما بلغ الليل والنهار ولا يترك الله بيت مدر ولا وبر
الا أدخله الله هذا الدين بعز عزيز أو بذل ذليل عزا يعز الله به

“Pasti akan sampai urusan ini (Islam) ke mana sahaja sampainya malam dan siang. Allah tidak akan tinggalkan satu rumah si kaya mahupun si miskin, kecuali akan dimasukkan oleh Allah agama ini…” (Riwayat Al-Hakim dan al-Baihaqi ; Berkata Al-Hakim : Hadith ini sahih menurut syarat al-Bukhari & Muslim. Ia juga dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi).

3.  Bila bercakap tentang Kutub Utara semua orang akan membayangkan kehidupan yang dipenuhi salji dan kesejukan.  Penduduknya pula tinggal dalam igloo (rumah diperbuat dari ais) serta penduduknya beragama Kristian. Sebenarnya agama Islam telah tersebar keseluruh dunia. Tahukah kita  bahawa Islam telah berkembang di Kutub Utara.  

KEDUDUKAN INUVIK DALAM DAERAH NORTHWEST TERRITORIES
4. Beberapa dekad kebelakangan ini masyarakat Islam semakin berkembang di utara Kanada yang masuk dalam kawasan Artik. Masyarakat Islam di wilayah ini menghuni tiga kawasan utama seperti Nunavut, Yukon dan Northwest Territories. Pendatang Islam dari negara Timur Tengah dan Asia terus bertambah di beberapa wilayah di Amerika Utara sehingga menjadikan agama Islam ikut tersebar hingga ke Kanada Utara, termasuk wilayah Artik. Di wilayah yang mempunyai suhu mencapai bawah 40 darjah selsius ini dan jauh dari pusat penyebaran Islam di Timur Tengah, terdapat suku asli artik yang telah mengenali Islam sejak sekian lama.

5.  Salah seorang dari mereka ialah Maatalii Okalik-Syed, seorang wanita suku Inuit yang tinggal di wilayah Pangnirtung, Nunavut, Kanada Utara. Beliau adalah seorang penyelidik dari Universiti Carleton, Ottawa Kanada. Maatalii adalah satu-satunya orang Islam asli Inuit yang mempelajari asal usul Islam Inuit. Hingga kini tidak diketahui bagaimana agama Islam boleh sampai dan dianuti oleh beberapa suku asli pribumi Amerika Utara. Tetapi beberapa catatan mengatakan umat Islam peribumi wujud dan semakin berkembang seperti yang terbukti adanya Masjid di Ottawa-Gatineau. Mereka belum mempunyai organisasi Islam yang rasmi seperti di beberapa kawasan lain di Amerika. Penduduk asli Islam Artik terdiri dari suku Inuit dan Cree (Indian arktik). Di tiga wilayah Artik, iaitu Northwest Territories, Yukon, dan Nunavut terdapat sekitar 4,000 orang penduduk. Penduduk Islam di Northwest Territories, khususnya di Inuvik sekitar 100 orang sahaja.

RUMAH ALLAH PERTAMA DI KUTUB UTARA, DI INUVIK
6. Pada bulan September 2011 sebuah masjid pertama di Kutub Utara, Artik telah dibina. Luas masjid yang digelarkan The Midnight Sun Mosque (Masjid matahari tengah malam) ini ialah 473 meter persegi.  Pembinaannya ditaja oleh Zubaidah Tallab Foundation, sebuah yayasan amal Kanada yang berpejabat di Manitoba. Penggerak utama dari yayasan ini untuk membina masjid ialah Hussain Guisti dan isterinya, Dr. Susan Ghazali. Hussain Guisti ialah Pengurus Besar Zubaidah Tallab Foundation. Masjid ini dibina di Manitoba kerana dengan cara itu dikatakan kosnya lebih murah berbanding dengan jika ia dibina di Inuvik. Bangunan masjid yang telah siap kemudiannya dibawa melalui jalan laut dan darat sejauh melebihi 4,000 km. untuk didirikan di Inuvik, wilayah Northwest Territories, Barat Laut Kanada. Pada 10 November 2011 orang Islam Inuvik telah menyempurnakan solat pertama di masjid ini. "Ini adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh orang Islam yang berada di Inuvik. Hari ini penduduk Inuvik sangat gembira dan beremosi," kata seorang penerbit filem Islam bernama Nulifer Rahman.
DR.SUSAN GHAZALI DAN HUSSAIN GUISTI 
7.  Subhanallah.  Barangkali inilah masjid yang dibawa paling jauh di dunia sebelum dapat didirikan.  Jauhnya dikatakan 4,000 km.  Betapa bersungguhnya mereka yang cintakan Islam demi menegakkan syiar Islam di bumi Kutub Utara. Semoga Allah menganugerahi mereka dengan ganjaran pahala yang besar kerana mendaulatkan agamaNya. Kita yang tidak perlu melalui apa-apa halangan ini, apakah sumbangan kita kepada Islam. Janganlah kita mati sebelum kita menyumbangkan sesuatu untuk agama Allah, Islam yang maha suci.
MASJID DIBAWA MELALUI JALAN LAUT DARI MANITOBA 

KETIKA MELINTASI JAMBATAN

KETIKA MELALUI JALAN DARAT
 

 
HUSSEIN GUISTI DALAM MASJID

JEMAAH SEDANG SOLAT DI DALAM MASJID

DISELAPUTI SALJI 
PEMANDANGAN KUTUB UTARA, KAWASAN PALING UTARA DI DUNIA

“Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada mereka yang menjaga lidahnya. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar”. ~ Mutiara kata Saidina Umar Al-Khattab

No comments:

Post a Comment