Wednesday, 22 April 2015

RAHSIA AIR WUDUK

 
BERWUDUK SEKITAR PERKARANGAN  MASJIDIL HARAM, MEKAH
1.   Wuduk dari segi bahasa bererti bersih dan indah. Dari aspek syar’ie pula wuduk bererti membersihkan anggota-anggota wuduk untuk menghilangkan hadas kecil. Wuduk yang sah adalah syarat kepada sahnya solat sesaorang. 

2.   Perintah wajib wuduk untuk solat ini difirman oleh Allah SWT dalam Surah Al-Maidah [Hidangan](5:6) yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

3.      Apakah pula sabda-sabda Rasulullah SAW tentang wuduk:

3.1. “Apabila seorang hamba muslim atau mukmin berwuduk, kemudian dia membasuh wajahnya maka akan keluar dari wajahnya bersama air itu atau bersama titisan air yang terakhir segala kesalahan yang dia lakukan dengan pandangan kedua matanya. Apabila dia membasuh kedua tangannya maka akan keluar dari kedua tangannya bersama air itu atau bersama titisan air yang terakhir segala kesalahan yang dia lakukan dengan kedua tangannya. Apabila dia membasuh kedua kakinya maka akan keluar bersama air atau bersama titisan air yang terakhir segala kesalahan yang dia lakukan dengan kedua kakinya, sampai akhirnya dia akan keluar dalam keadaan bersih dari dosa-dosa.” (Hadis Riwayat Muslim).

3.2. “Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk. Dan tidak ada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah SWT atasnya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

3.3. Barang siapa yang berwuduk dan membaguskan wuduknya, maka akan keluarlah dosa-dosa dari badannya, sampai-sampai ia akan keluar dari bawah kuku-kukunya.” (Hadis Riwayat Muslim).

4.  Apakah rahsia di sebalik air wuduk. Disarankan supaya kita hadir hati semasa wuduk dengan mengamalkan berniat dalam hati tatkala kita mengambil wuduk, iaitu seperti berikut:

4.1. Ketika membasuh tangan kanan dan kiri, berniatlah "Ya Allah, berikanlah catatan amanlanku melalui tangan kananku ini dan janganlah engkau berikan melalui tangan kiriku".

(Penerangan = Ahli syurga diberikan catatan amalnya melalui tangan kanan.  Sebaliknya ahli neraka pula akan menerimanya melalui tangan kiri).

4.2. Ketika berkumur, berniatlah, "Ya Allah,ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".

(Penerangan = Setiap hari kita bercakap benda-benda yang tak berfaedah dan mendatangkan dosa).

4.3. Ketika membasuh muka, berniatlah, "Ya Allah, putihkanlah mukaku di hari akhirat nanti. Janganlah engkau hitamkan mukaku ini".

(Penerangan =  Ahli syurga mukanya putih berseri-seri tetapi sebaliknya ahli neraka muka mereka hitam legam).

4.4.Ketika membasuh kepala, berniatlah dengan, "Ya Allah, lindunganlah aku dari terik panas matahari di Padang Mahsyar dengan ArasyMu".

(Penerangan = Panas di Padang Mahsyar seumpama  matahari berada sehasta di atas kepala).

4.5. Ketika membasuh telinga, berniatlah dengan, "Ya Allah, ampunilah dosa telingaku ini".

(Penerangan = Hari-hari telinga kita mendengar orang mengumpat, memfitnah dan pelbagai cerita buruk lagi).

4.6. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah dengan. "Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim".

(Penerangan = Ahli syurga bakal melintasi titian sirat dengan pantas sekali).

4.7. Ketika membasuh kaki kiri pula, berniatlah dengan, "Ya, Allah, bawakanlah aku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat- tempat maksiat".

(Penerangan = Qada' dan Qadar kita berada dalam kekuasaan Allah SWT).

“Peliharalah iman kamu dengan memperbanyakkan sedekah, bentenglah hartamu dengan mengeluarkan zakat dan tolaklah gelombang bencana bala dengan sentiasa berdoa kepada Allah” – Mutiara  Kata Saidina Ali bin Abi Thalib

(Sebahagian kandungan dari http://www.halaqah.net)

No comments:

Post a Comment