Tuesday, 21 April 2015

TIDUR DARI PERSPEKTIF ISLAM


1. Dalam Surah Ar-Rum[Kerajaan Rom](30:23), Allah SWT berfirman yang berbunyi:      



“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).”


2.  Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:


"Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."



3. Hadis  di atas menggambarkan kaitan antara rasa mengantuk dan penurunan kualiti serta produktiviti seseorang. Apakah benar kenyataan hadis ini. Ia sememangnya benar. Mengikut kajian, banyak kes-kes kemalangan dilapurkan berpunca dari masalah mengantuk dan kurang tidur. Kerajaan Amerika Syarukat telah menubuhkan Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation) untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana masalah tidur ini  memberikan kesan negatif kepada manusia dan ekonominya. Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan jalan raya dan industri adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1,500 nyawa setahun. (Dr. Stanley Coren; 'Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,' Psychiatric Times, March 1998)


4.  Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah tidur di Amerika Syarikat telah melaporkan bahawa masalah tidur telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian USD $100 - $150 billion setahun. Saintis-saintis dari Universiti Chicago mendapati kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan dan mewujudkan masalah seperti penyakit kencing manis. (Rujukan: Tinker Ready (2000); 'Naps: The Art of Snoozing')


5. Kajian juga mendapati seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman kerana sistem pertahanan badannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilaporkan di dalam majalah perubatan 'Lancet' pada pada bulan Oktober, 1999. (Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function).

6. Islam adalah agama yang lengkap. Dalam konteks tidur ia mengajar sesuatu yang seimbang. Islam ajar umatnya mementingkan tidur dan kerehatan badan agar ibadah dan aktiviti harian dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang dikatakan tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman Al-Farisi, sahabatnya telah menegurnya dengan berkata: "Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Rasulullah SAW mendengar perkataan Salman, Baginda   bersabda: "Benarlah wahai Salman." (Hadis Riwayat Bukhari)


7. Sunah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa -  Ramai yang menganggap tidur siang hari ialah salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SAW ada melakukannya”. 


8.   Imam Al Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' telah berkata:

"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."


9.   Satu hasil kajian telah diiterbitkan dalam Jurnal Nature Neuroscience. Sekumpulan saintis mendapati bahawa tidur pada malam hari sahaja tidak cukup untuk manusia tetapi perlu ada sedikit tidur di siang hari untuk masa yang singkat. Misalnya satu atau satu setengah jam. Mereka mendapati bahawa otak manusia sebenarnya merasa letih di siang hari kerana berfungsi mengumpul pelbagai maklumat yang sampai kepadanya, sehingga prestasi menjadi kurang berkesan dan dengan demikian memerlukan sedikit rehat. Rehat ini membolehkan otak menyusun semula maklumat dan mengatur gelombang-gelombang sel ke arah memantapkan semua maklumat yang diterima. Mereka juga mendapati prestasi otak dan kemampuan mengingati sesuatu bagi orang yang tidur sebentar disiang hari adalah lebih baik. 


10. Semua penemuan saintis dan para pengkaji tentang tidur ini mengesahkan bahawa perintah Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW di atas tentang tidur adalah benar belaka. Subhanallah.


“Nilai seseorang sesuai dengan kadar tekadnya, ketulusannya sesuai dengan kadar kemanusiaannya, keberaniannya sesuai dengan kadar penolakannya terhadap perbuatan jahat dan kesucian hati nuraninya sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan dirinya” – Mutiara Kata Khalifah Ali bin Abi Talib


Sebahagian kandungan dipetik dari detikislam dan salam ukhuwah

No comments:

Post a Comment