Sunday, 19 April 2015

HIKMAH PERINTAH MENUTUP AURAT UNTUK WANITA



1.  Perintah kepada wanita-wanita Islam supaya bertudung/berjilbab dan menutup aurat telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah-surah berikut:

          1.1.   Dalam Surah An-Nur[Cahaya](24:31) yang berbunyi:


“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”


1.2.   Dalam Surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:59) pula berbunyi:
 

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

1.3.   Dalam surah Al-A’raf[Tempat Tinggi](7:26) berbunyi:


“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

2.   Dalam konteks berjilbab ini, apakah pula sabda Rasulullah SAW:

2.1.   "Para wanita yang berpakaian tetapi (pada hakikatnya) telanjang, lenggang-lengkok kepala mereka seperti bonggol unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak mencium semerbak harumnya (Hadis Riwayat Abu Daud) 

2.2    "Tidak diterima solat wanita dewasa kecuali yang memakai khimar (tudung).” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Termizi dan Ibnu Majah).

2.3.   Wanita itu adalah aurat, jika mereka keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya.” (Hadits Riwayat Termizi, Ibnu Khuzaimah dan Ath-Thabrani).


3.  Apakah dia jilbab. Di dalam kamus dijelaskan bahawa jilbab adalah pakaian wanita (baju kurung panjang, sejenis jubah) iaitu sejenis baju yang menutup seluruh tubuh dan juga termasuk tudung kepala serta kain yang melapisi di luar baju seperti kain selimut. Syeikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di berkata: “Yang dimaksud jilbab adalah pakaian yang berada di luar lapisan baju iaitu berupa kain seperti selimut, tudung, selendang & seumpamanya.” Imam Ibnu Katsir menjelaskan jilbab adalah selendang yang dipakai di luar tudung. 

4.  Sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah SWT kita wajib mempercayai dan menyakini sunguh-sungguh bahawa apa jua perintah dan arahan dari Allah SWT dalam Al-Quran itu pasti ada kebaikan dan hikmahnya. Allah SWT tidak akan menceritakan segala-galanya dalam Al-Quran kerana Al-Quran itu bukan buku cerita, melainkan ia adalah kitab peringatan kepada manusia sejagat.

5.   Kajian ilmiah telah mendapati perempuan yang tidak bertudung atau berpakaian tetapi ketat berkemungkinan akan mengalami pelbagai penyakit kanser di bahagian anggota tubuhnya yang terbuka dan yang dikenakan pakaian ketat. Majalah Perubatan Britain mengeluarkan hasil kajian ilmiah ini dengan mengutip beberapa fakta, antaranya penyakit kanser milanoma pada usia awal dan semakin bertambah dan merebak sehingga di kaki.  Sebab utama penyakit kanser ini dikatakan berpunca dari pakaian ketat yang dikenakan oleh perempuan di bawah terik matahari dalam waktu yang panjang selepas bertahun-tahun. Sarung kaki nilon yang mereka kenakan tidak bermanfaat untuk menjaga kaki mereka dari kanser.

6. Penyakit ini merupakan akibat dari pancaran matahari yang mengandungi ultra violet dalam waktu yang panjang disetiap pakaian yang ketat seperti pakaian pantai. Pakaian pantai biasa dipakai orang-orang bukan Islam ketika berjemur di pantai. Penyakit kanser ini boleh merebak seluruh badan dan dengan kadar yang berbeza-beza. Tanda awal penyakit ini adalah seperti adanya bulatan berwarna hitam agak lebar. Kadang-kadang berupa bulatan kecil saja, kebanyakan di kawasan kaki atau betis dan di kawasan sekitar mata.  Ia  kemudian merebak ke seluruh bahagian badan dan  disertai pertumbuhan di kawasan yang biasa dilihat. Ia juga boleh terkena pada limpa dan juga boleh menyerang janin di dalam rahim ibu yang sedang mengandung. Orang yang menderita kanser ini tidak akan hidup lama.

7.  Berdasarkan perkembangan terbaru ini jelaslah bahawa pakaian yang sederhana, bersopan dan menutupi aurat adalah yang paling baik untuk wanita agar tidak terkena penyakit seperti di atas. Malah wanita berjilbab dengan sempurna juga kelihatan lebih cantik dan menawan. Sekali lagi perintah Allah SWT ternyata benar.

“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali sumur agar saudaranya masuk ke dalamnya, maka ia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya”.- Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Ash-Shodiq

(Sebahagian sumber dari www.detikislam.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment