Saturday, 4 April 2015

BUKTI SAINTIFIK MANUSIA DICIPTA DARI TANAH


1.  Bagaimana penjelasan tentang kejadian manusia dari sudut ilmu biologi?. Mungkin ramai orang yang bertanya “Apakah mungkin Nabi Adam yang merupakan manusia pertama di atas muka bumi dicipta dari tanah?”.

2.      Semenjak turunnya Al-Quran kepada Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu Allah SWT telah pun menjawab persoalan ini. Allah SWT telahpun menjelaskan kepada manusia bahawa manusia pertama bernama Adam adalah dicipta dari tanah. Firman-firman Allah dalam Al-Quran untuk membuktikan hakikat ini ialah seperti dalam surah-surah berikut:

2.1.   Surah Ghafir [Orang Mukmin](40:67) yang berbunyi:


“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari ketul daging kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan) dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan)”.

2.2.   Surah Al-An’am[Binatang Ternakan](6:2) berbunyi:


“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu disisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat) dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan)”.

2.3.   Surah Al-Mukminun [Orang Beriman] (23:12) pula berbunyi:


Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;” 

PROF. LAWRENCE M. KRAUSS

3.   Apakah pula sandaran kajian secara saintifik yang mengesahkan fakta dalam Al-Quran ini.  Dalam konteks ini kita boleh mengambil hasil kajian oleh seorang saintis yang terkenal dari Amerika Syarikat, iaitu Profesor Lawrence Maxwell Krauss.  Prof. Lawrence lahir pada 27 Mei 1954 di New York tetapi dibesarkan di Toronto, Kanada.  Beliau memperolehi ijazah kelas pertama dalam bidang matematik dan fizik dari Universiti Carleton, Ottawa Kanada pada tahun 1977.  Memperlehi ijazah Ph.D dalam bidang fizik dari Institut Teknlogi Massachusetts, Amerika Syarikat dalam tahun 1982.  Beliau ialah seorang ahli fizik kosmologi Amerika.  Menjadi professor dalam bidang Pengajian Bumi dan Eksplorasi Angkasa Lepas di Universiti Arizona, Amerika Syarikat. Antara buku-buku terkenal yang beliau tulis ialah “The Physics of Star Trek” dan “A Universe from Nothing”.

4.  Beliau telah mendedahkan satu penemuan hasil kajian yang sungguh menakjubkan. Beliau berkata:

“Every atom in your body came from a star that exploded. And, the atoms in your left hand probably came from a different star than your right hand. It really is the most poetic thing I know about physics: You are all stardust. You couldn’t be here if stars hadn’t exploded, because the elements - the carbon, nitrogen, oxygen, iron, all the things that matter for evolution and for life - weren’t created at the beginning of time. They were created in the nuclear furnaces of stars, and the only way for them to get into your body is if those stars were kind enough to explode.”

Terjemahan : "Setiap atom dalam badan anda adalah berasal dari bintang yang telah meletup. Dan atom di tangan kiri anda mungkin datang daripada bintang yang berlainan daripada atom di tangan kanan. Anda semua adalah debu dari letusan bintang.  Anda tidak akan wujud di sini jika bintang-bintang tidak meletup, kerana kesemua unsur-unsur  di dalam badan anda seperti karbon, nitrogen, oksigen, dan sebagainya tidak dicipta pada awal waktu. Ia diwujudkan di dalam relau nuklear di dalam bintang-bintang, dan satu-satunya cara bagi unsur-unsur tersebut untuk masuk ke dalam badan anda adalah apabila bintang-bintang tersebut meletup”.

5. Kenapa beliau berkata begitu?. Kerana ahli-ahli astronomi tahu bagaimana bintang berfungsi dan mereka mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan mereka. Apabila bintang meletup maka akan bertaburanlah segala isinya di ruang angkasa. Dari sisa letupan bintang tersebut maka terciptalah planet-planet. Bumi kita juga adalah tercipta dari sisa letupan bintang yang telah berlaku sejak mungkin berjuta tahun yang lalu (hanya Allah SWT sahaja yang tahu tarikh sebenarnya). Tanah di bumi mengandungi pelbagai jenis mineral seperti karbon, oksigen, nitrogen, hidrogen dan sebagainya hasil daripada sisa letupan bintang. Berlakunya kejadian ini berjuta tahun lalu adalah atas kehendak Allah SWT yang sesuai dengan firmanNya dalam surah surah berikut:

5.1. Surah Yaasin (36:82) yang berbunyi:


"Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki  sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya: "Jadilah! Maka jadilah sesuatu itu".

 5.2. Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:30) yang berbunyi:


"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup?. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? "

DR.FRED KAVLI
6. Para saintis dalam bidang biologi dari Institut Kavli, Nano science kini telah membuktikan asal usul kehidupan manusia di mana tanah liat membentuk hidrogel yang akhirnya terbentuklah DNA. Tanah liat hidrogel selama berjuta tahun bertindak balas dengan bahan kimia hingga menghasilkan protein bagi sel kehidupan. Institut Kavli ditubuhkan pada tahun 2004 di Jabatan Nanoscience, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Delfy Belanda.  Ia diasaskan oleh Fred Kavli, seorang ahli  fizik kelahiran Norway.  Kavli dilahirkan di Eresfjord, Norway pada 20.8.1927. Beliau kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat dan menetap di Santa Barbara, California. Meninggal dunia pada tahun 2013 ketika berusia 86 tahun. 

7.   Saintis hari ini mengesahkan bahawa tisu badan manusia mengandungi 26 elemen.  Enam dari 26 elemen yang biasa (common) itu ialah karbon, hidrogen,  oksigen, nitrogen, fosferus dan sulfur.  Disahkan bahawa 95% dari tisu manusia adalah terdiri dari 6 elemen tersebut.  Keenam-enam  elemen ini ada pada tanah.  Saintis moden kini mengesahkan kebenaran firman Allah dalam ayat-ayat Al-Quran seperti di atas.

8.   Manusia seluruhnya wajib menyakini bahawa apa jua yang dijelaskan oleh firman Allah SWT dalam Al-Quran adalah benar belaka.  Maha Suci Allah yang Maha Agung lagi Maha Tinggi.



“Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.” – Mutiara kata Sayidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment