Sunday, 12 April 2015

CAHAYA ISLAM DI NEGARA MATAHARI TERBIT (JEPUN)


  gunung fuji dan bunga sakura di musim semi, jepang. - gunung fuji potret stok, foto, & gambar bebas royalti
GUNUNG FUJI (FUJIYAMA) YANG MENJADI KEBANGGAAN BANGSA JEPUN
 
1.   Allah SWT telah berjanji untuk memelihara dan menjaga agamanya, Islam yang maha suci. Firman-firman Allah itu ialah dalam surah-surah berikut:

1.1.   Surah As-Shaaf[Barisan](61:9)berbunyi:



“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”

          1.2.   Surah Ar-Ruum[Bangsa Rom]( 30:47) pula berbunyi:



“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.”

2. Selain daripada ayat-ayat Al-Quran di atas, Rasulullah juga turut menceritakan khabar gembira mengenai kemenangan Islam dan umatnya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang berbunyi:

ليبلغن هذا الأمر ما بلغ الليل والنهار ولا يترك الله بيت مدر ولا وبر
الا أدخله الله هذا الدين بعز عزيز أو بذل ذليل عزا يعز الله به

“Pasti akan sampai urusan ini (Islam) ke mana sahaja sampainya malam dan siang. Allah tidak akan tinggalkan satu rumah si kaya mahupun si miskin, kecuali akan dimasukkan oleh Allah agama ini…” (Riwayat Al-Hakim dan al-Baihaqi ; Berkata Al-Hakim : Hadith ini sahih menurut syarat al-Bukhari & Muslim. Ia juga dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi).

3.  Posting kali ini akan membicarakan tentang cahaya Islam di negara matahari terbit Jepun (Nippon). Bangsa Jepun telah ditakdirkan oleh Allah SWT untuk menjadi sebuah bangsa yang maju, hebat dan kuat. Selain itu orang Jepun juga dianugerahkan oleh Allah sebuah negara yang cantik dengan dikelilingi lautan dan terdiri dari ribuan pulau-pulau yang sangat menarik.  Tajuk Islam di Jepun telah dipilih sebagai penghargaan kepada rakyat Jepun.  Ini kerana negara Jepun seolah-olah  “sebuah negara Islam tanpa adanya orang Islam (muslim)”. Kenyataan ini bermaksud kebanyakan ajaran Rasulullah SAW nampaknya dipraktikkan oleh orang Jepun walaupun mereka tidak beragama Islam. Lihat sahaja orang Jepun.  Antara sifat-sifat positif orang Jepun ialah seperti rajin dan tekun bekerja, menjaga kebersihan, bersopan santun, menjaga alam sekitar, menghormati jiran dan tetamu, menjaga kualiti hasil kerja, mentaati orang tua, isteri setia dan taat kepada suami, menepati masa, bersatu padu dan suka bergotong royong, semangat mengekalkan tradisi warisan dan lain-lain lagi. Sifat yang paling terkenal dikalangan orang Jepun ialah menjaga kebersihan. Semua sifat-sifat ini diajarkan oleh Rasulullah tetapi malangnya ia sangat kurang dipraktikkan di negara umat Islam sendiri.  Itulah sebabnya Jepun dikatakan sebagai “sebuah negara Islam tanpa adanya orang Islam (muslim)”.

4.   Dari segi sejarahnya hubungan Islam dengan Jepun adalah agak baru berbanding dengan hubungan agama ini dengan negara-negara yang lain di seluruh dunia. Tidak terdapat rekod yang nyata tentang hubungan antara agama Islam dengan Jepun atau sebarang kesan sejarah tentang Islam di Jepun melalui penyebaran agama, kecuali beberapa hubungan terpencil antara penduduk-penduduk Jepun dengan orang-orang Islam dari negara lain. Agama Islam dikatakan mula diketahui buat pertama kali oleh rakyat Jepun pada tahun 1877 apabila kehidupan Nabi Muhammad SAW mula diterjemahkan dalam bahasa Jepun. Ia telah membantu agama Islam untuk dikenali dikalangan rakyat terpelajar Jepun, tetapi hanya sebagai satu pengetahuan dan sebahagian sejarah budaya sahaja.

5.   Hubungan lain yang dikira penting telah berlaku dalam tahun 1890 ketika Kerajaan Uthmaniyyah Turki menghantar sebuah kapal yang bernama "Ertugrul" ke Jepun untuk tujuan memulakan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara serta untuk saling memperkenalkan orang Islam dan orang Jepun. Kapal itu dikatakan telah tenggelam semasa pulang ke Turki yang mengorbankan ramai penumpangnya. Dua orang Jepun Islam pertama yang diketahui ialah Mitsutaro Takaoka yang memeluk Islam pada tahun 1909 dan menukar nama kepada Omar Yamaoka selepas menunaikan haji di Mekah.  Seorang lagi ialah Bumpachiro Ariga yang telah pergi ke India untuk berniaga dan kemudian memeluk Islam di sana serta menukar nama kepada Ahmad Ariga. Bagaimanapun, kajian akhir-akhir ini telah mendedahkan mungkin orang pertama memeluk Islam ialah  Torajiro Yamada. Beliau memeluk Islam ketika melawat Turki dan menukar nama kepada Abdul Khalil. Beliau juga dikatakan telah menunaikan haji di Mekah.

MASJID KOBE
6.  Kehidupan komuniti Islam yang sebenar hanya bermula apabila tibanya beratus-ratus pelarian Islam dari Turki, Uzbekistan, Tajikistan, Kirghiztan, Kazakhstan dan Tatar Turki yang lain dari Asia Tengah dan Rusia ekoran daripada Revolusi Bolshevik semasa Perang Dunia I. Orang-orang Islam ini yang diberikan perlindungan di Jepun menetap di beberapa bandar raya utama dan menubuhkan komuniti-komuniti Islam yang kecil. Sebilangan orang Jepun memeluk Islam melalui hubungan mereka dengan orang-orang Islam ini. Dengan pembentukan komuniti-komuniti Islam yang kecil ini, beberapa buah masjid telah dibina. Masjid pertama dibina ialah Masjid Kobe yang dibina pada tahun 1935 di alamat 2-25-14, Nakayamate Dori, Chuo-ku, Kobe. Ia dikatakan  Gate of God” atau Gerbang Tuhan. 


7.  Masjid Tokyo atau dalam Bahasa Turki disebut dengan Tokyo Cami, merupakan masjid terbesar dan terindah di Jepun yang berada di kota Tokyo. Ia terletak di Oyama-cho, Shibuya-ku, Tokyo. Masjid megah ini dibangun pertama kali oleh komuniti Islam Turki dari wilayah Kazan (Rusia) pada tahun 1938. Secara rasmi Masjid Jami’ Tokyo ini bernama Tokyo Camii & Turkish Cultural Center namun lebih dikenali dengan nama Tokyo Camii atau Tokyo Mosque. Camii dalam Bahasa Turki secara harfiah bermakna sebagai Masjid Jami’, iaitu masjid masjid kecil atau musolla. Dalam Bahasa Turki ia disebut Mescit.Pembangunan masjid ini pertama kali dilakukan pada tahun 1938 dan dibangun semula oleh pemerintah Turki pada tahun 1998 dan dirasmikan pada tahun 2000. Masjid Tokyo merupakan masjid terbesar dan terindah di Jepun. Ia menjadi penanda hubungan Turki dan Jepun.

BAHAGIAN DALAM MASJID KOBE

                     GAMBAR-GAMBAR DI BAWAH IALAH MASJID CAMII (TOKYO)







 
  Saksikan keindahan Masjid Camii (Tokyo) 
dalam video dibawah


8.   Semasa Perang Dunia II, satu ledakan Islam secara tidak sengaja  telah dimulakan oleh kerajaan tentera di Jepun melalui penubuhan pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan untuk mengkaji Islam dan dunia Islam. Dikatakan pada masa itu lebih dari 100 buah buku dan jurnal mengenai Islam telah diterbitkan di Jepun. Bagaimanapun, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini tidak dikuasai atau dikelolakan oleh orang-orang Islam dan tujuannya bukan untuk penyebaran agama Islam. Tujuan yang sebenarnya ialah untuk melengkapkan tentera Jepun dengan pengetahuan yang diperlukan mengenai Islam dan orang Islam kerana terdapat masyarakat Islam yang besar di kawasan-kawasan yang akan diduduki oleh tentera Jepun di negara China dan Asia Tenggara. Apabila perang dunia kedua tamat, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini hilang begitu sahaja.

9.   Ledakan Islam kedua bermula selepas krisis minyak tahun 1973. Media massa Jepun telah memberikan publisiti yang agak besar tentang dunia Islam secara amnya dan dunia Arab khususnya selepas mereka menyedari kepentingan negara-negara ini terhadap ekonomi Jepun. Dengan publisiti ini, ramai orang Jepun yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang Islam berpeluang untuk menonton ibadat haji di Mekah, mendengar panggilan azan dan bacaan Al-Quran. Selain dari terdapatnya orang Jepun yang memeluk Islam ketika itu secara bersaorangan, terdapat juga banyak upacara pengislaman beramai-ramai orang Jepun. Bagaimanapun, selepas kesan kejutan minyak berakhir, ada orang Islam Jepun yang meninggalkan agama Islam dan kembali semula kepada agama asal mereka.

10.   Jepun sebelum Perang Dunia II cuba memperlihatkan sifat  bersimpati mereka kepada  orang-orang Islam di Asia Tengah dan menonjolkan mereka sebagai sekutu yang anti Soviet Rusia. Pada masa itu, sebilangan orang Jepun yang bertugas dalam bidang perisikan mempunyai hubungan dengan orang-orang Islam di Asia Tenggara. Dikatakan terdapat perisik Jepun telah memeluk Islam selepas perang berakhir. Diberitakan juga juruterbang-juruterbang Jepun yang pergi ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia sebagai tentera semasa Perang Dunia II diajar mengungkapkan "La ilaha illa Allah" jika pesawat mereka ditembak jatuh di kawasan-kawasan ini supaya mereka tidak dibunuh. Sebuah pesawat Jepun dikatakan ditembak jatuh dan juruterbangnya ditangkap oleh penduduk tempatan. Apabila juruterbang itu menjeritkan kata-kata "ajaib" itu, dia berasa hairan kerana penduduk tempatan mengubah sikap mereka terhadapnya dan melayannya dengan baik.
 
11.  Pada tahun 1945 Jepun telah terlibat dalam Perang Dunia Kedua. Serangan Jepun ke atas pelabuhan Pearl Harbour di Hawai telah menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat bertindak menggugurkan dua bom atom di dua bandar di Jepun, iaitu Nagasaki dan Hiroshima. Pada masa itu bandar Kobe juga tidak ketinggalan menerima kesan serangan pengeboman melalui udara walaupun tidak dibom dengan bom atom seperti Nagasaki dan Hiroshima. Boleh dilihat bandar Kobe juga menjadi rata. Akibatnya Jepun telah menyerah kalah. Ketika bangunan di sekitarnya hampir rata, Masjid Islam Kobe tetap berdiri tegap. Masjid ini hanya mengalami keretakan pada dinding luar dan semua kaca tingkapnya pecah. Bahagian luar masjid menjadi agak hitam kerana asap serangan bom. Tentera Jepun yang berlindung di bawah tanah masjid terselamat dari ancaman bom, begitu juga dengan senjata-senjata yang disembunyikannya. Masjid ini kemudian menjadi tempat perlindungan untuk mangsa perang.

12. Selepas pasca perang ini Kerajaan Arab Saudi dan Kuwait telah menyumbang dana yang agak besar untuk pengubahsuaian Masjid Kobe. Kaca-kaca tingkap yang pecah diganti dengan kaca-kaca tingkap baru yang didatangkan khusus dari Jerman. Sebuah lampu hiasan baru digantungkan di tengah ruang solat utama. Sistem pengatur suhu bilik dipasang di masjid ini. Sekolah yang hancur akibat perang kembali diubahsuai dan beberapa bangunan tambahan pun mula dibina. Penduduk Islam kembali menikmati kegiatan-kegiatan keagamaan mereka di Masjid Kobe ini.

13. Kekukuhan Masjid Kobe diuji lagi dengan peristiwa gempa bumi dahsyat yang berlaku tepat pada pukul 5.46 petang Hari Selasa, 17 Januari 1995. Gempa ini bukan hanya menimpa Kobe saja, tapi juga kawasan sekitarnya seperti South Hyogo, Hyogo-ken Nanbu dan lain-lain. Para pengkaji gempa bumi menyatakan bahawa gempa itu disebabkan oleh tiga buah plat yang saling berlanggar, iaitu plat Filipina, plat Pasifik, dan plat Eurasia. Walaupun gempa berlaku cuma 20 saat, namun gempa ini memakan korban orang awam seramai 6,433 orang yang sebahagian besar merupakan penduduk bandar Kobe. Selain itu gempa ini juga mengakibatkan kerosakan besar bandar seluas 20 km. dari pusat gempa. Walaupun terdapat gempa bumi Masjid Kobe tetap berdiri teguh. Inilah salah satu bukti bahawa Allah SWT memelihara rumahnya.

14.  Kini bilangan orang Islam di Jepun telah mencapai angka melebihi 100,000 orang.  Orang Islam Jepun mempunyai 15 buah masjid dan hampir 100 buah musollah (surau) untuk menunaikan solat dan melakukan pelbagai ritual keagamaan lain. Mereka golongan minoriti yang mewakili hanya lebih kurang 0.08% dari seluruh penduduk Jepun. Hampir 90% orang Islam Jepun adalah pendatang dari Turki, Indonesia, Pakistan, Iran, Bangladesh serta Asia Tengah. Sementara 10% selebihnya adalah rakyat asal Jepun. Dengan jumlah penduduk mencapai 128 juta, Jepun merupakan negara yang kesepuluh di dunia yang mempunyai ramai penduduk. Tokyo, bandar raya Jepun kini menampung sekitar 35 juta orang dan merupakan bandar dengan penduduk yang sangat padat serta kos hidup yang termahal di dunia.

15.   Lembaga-lembaga Islam di Jepun telah dibentuk dengan tujuan untuk meluaskan kerjasama di antara sesama warga Islam Jepun dan juga memperbanyakkan koleksi buku-buku agama Islam untuk kegunaan warga Islam serta mengembangkan kebudayaan yang berteraskan Islam. Di Jepun, masjid mempunyai beberapa fungsi. Selain untuk solat berjemaah ia juga menjadi tempat untuk aktiviti-aktiviti keagamaan, sosial, pertemuan bahkan tempat untuk membincangkan perkara berkaitan ekonomi. Salah satu masalah utama yang dihadapi warga Islam Jepun adalah kurangnya buku-buku fiqh dan hadis yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun. Selain itu mereka juga menghadapi kesulitan untuk mendapatkan produk makanan yang halal.
ABDULLAH TAKI TAKAZAWA

16.  Salah seorang Islam terkenal di Jepun hari ini ialah Abdullah Taki Takazawa. Beliau warga asal Jepun dan pernah bekerja sebagai tukang pembuat tatto yakuza. Sebelum memeluk Islam pada tahun 2006 beliau banyak mengkaji pelbagai agama. Menunaikan haji di Mekah pada tahun 2008 atas jemputan Kerajaan Arab Saudi. Orang yang bertanggungjawab membawanya kepada Islam ialah Sheikh Niamatullah yang kemudiannya telah melantik beliau sebagai imam di sebuah musolla di alamat 1 Chome-3-10 Kabukicho, Shinjuku Tokyo.

17.  Masjid lain di Jepun ialah Masjid Otsuka yang dibina pada tahun 1999.  Ia dikelolakan oleh Japan Islamic Trust.


18.  Masjid Dar Al-Arqam (Asakusa) di Tokyo didirikan pada tahun 1998 yang mempunyaia 4 tingkat.
.


19. Balai Indonesia - SRIT (Sekolah Republik Indonesia Tokyo) dikelolakan oleh orang Islam Indonesia di Jepun. 


20.  Masjid Fukuoka.  Ia telah dirasmikan pada 12.4.2009.  Inilah satu-satunya masjid yang ada di Pulau Kyushu.


21.    Masjid Al-Noor, Otaru, Hokkaido.  Pembinaannya bermula pada Jun 2008 dan siap pada Februari 2009. Pembinaannya dibiayai oleh Tetuan Shafeeq Mohammad, Anjum Chughtai, Shaukat Minhas.  Juga dengan bantuan penduduk Islam bandar Otaru seperti Shafqat Ali Khan, Mohammad Abid, Qamar Shahid, Ashraf Khan, Mohammad Asghar, Ijaz Ahmad, Haji Yousaf, Ashraf Mughal, Abdul Razzaq, Mohammad Iltaf, Iftikhar Shah, Umair Shafeeq dan Mughal Waqar Ahmad. 


22.  Perkahwinan pada 2 Januari 2015 di bawah ini ialah di antara seorang lelaki Jepun yang baru masuk Islam dan seorang wanita Islam Jepun di Masjid Niihama. Perkahwinan cara Islam mestilah senang, selesa dan memudahkan seperti perkahwinan di bawah ini. Berdoalah untuk pasangan baru ini. Semoga Allah memberkati perkahwinan mereka.






BarakAllahu lakuma wabaraka 'alaikuma wajama'a baina kuma bilkhair.

「アッラーが(あなたの結婚において)あなたに祝福を与え、降り注いでくれますように。そしてあなた方二人をよきものにおいて、縁結びして下さいますように。」


Semoga Allah memberkati kamu dan pasangan kamu, dan semoga Dia menyatukan kamu berdua dalam kebaikan.

 バーラカッラーフ ラカ、ワ バーラカ アライク。ワ ジャマア バイナクマー フィー ハイル

23.  Di bawah ini ialah gambar-gambar cantik dan mempesonakan di negara matahari terbit, Jepun yang tidak dimiliki oleh negara umat Islam.


                                              MUSIM CHERRY BLOSSOM DI JEPUN
           
POKOK MAPLE

TAMAN NEGARA NIKKO 
TAMAN SUIZENJI DI KUMAMOTO 
SUNGAI AZUSA-GAWA, KAMIKOUCHI
                                           GADIS-GADIS JEPUN BERKIMONO, CANTIKNYA

SHINJUKU, TOKYO
SHINKENSEN MELEWATI TOKYO
    BANDARAYA TOKYO
HOTEL NIKKO, TOKYO

18.  Benarlah sabda Rasulullah SAW di mana sampainya malam dan siang ke sesuatu tempat itu pasti Islam akan tiba ke sana.  Selayaknya orang Jepun menjadi Islam kerana mereka memiliki sifat-sifat dan akhlak yang diajar oleh Rasulullah berbanding dengan penduduk dunia yang lain. Semoga Islam akan terus bersinar dan berkembang pesat di bumi matahari terbit ini. Insyaallah.

"Gantunglah cita-citamu di tempat yang tinggi supaya ia tidak dapat dimusnahkan oleh orang lain kerana cita-cita itu adalah sumber kekuatan perjuangan yang tidak terhingga dari segi zahir dan batinnya" – Mutara Kata Imam Abu Hanifah

12 comments:

  1. saya seronok baca blog saudara... sangat menarik , walaupun saya belum berkesempatan untuk pergi melawat negara matahari terbit yang sejak kecil lagi saya timpian saya untuk pergi ..konon nyauntuk belajar di sana ,tapi tak kesampaian... cuma hak yg nak blh pun ...kumpul duit, tempah tikat flight naik flight ..pi jln2 sekitar tokyo ke yokohama kan...saya tak sangka di jepun ada org rakyat tempatan yg beragama islam.... dan menarik sgt cerita zaman perang dunia ke 2 di manaorg jepun sendiri pun blh respect dgn org islam... saya cuma mengagak...agak nya patut di tanah melayu jepun blh rapat dgn org melayu ..mungkin sbb beragama islam kot...sbb dlm blog saudara, saudara kata ada perisik yg mengetahui tntng islam itu sendiri... menarik..ini yg tidak diceritakan kepada mata masyarakat yg dok anggap jahat sgt kah org jepun mai tanah melayu dulu...datuk saya dulu pun , kenal dgn 3 org jepun ,askar tu sebab nak minta makanan (nasi) , lepas dpt makanan mereka terus balik (merayau) dan tak disangka mereka bertiga dtg balik naik basikal jumpa datuk saya.. dan yg mnarik salah sebuah basikal mereka bertiga di berikan pada datuk saya. datuk saya juga blh sedikit bercakap jepun serta fasihnya bahasa ingerris sudah pasti...subhanAllah...sy sgt3 seronok baca ...saya terbayang oh indah sgt dunia nie..kalaulah negara matahari terbit ini rakyat jelatanya beragama islam dan secara majoriti kerana mereka budaya amalan ..org melayu kita pun ada yg susah nak buat kan.... sgt2 menarik info kat atas...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih banyak kerana meluangkan masa melayari blog saya.

      Delete
    2. Assalamualaikum Tuan Mohamed,

      Saya amat berminat membaca blog tuan, terutamanya mengenai kehidupan islam di sana. Seronok dan kedamaian islam di Jepun. Impian kalau lah ada wanita islam jepun sekitar 38thn - 45thn yg nak menikahi Orang Melayu, saya duda yang amat sudi, kalau diizinkan Allah.

      Delete
  2. Wahh sangat menarik info ni saya yang baru berusia 15 tapi saya harap dapat pergi ke negara jepun tempat pertama saya nak pergi mestilah masjid kobe...saya amat tertarik. Dengan ciptaan tuhan yang menciptakan pemandangan yang tidak terkata..tapi saya suka juga orang jepun semua baik belaka hahaha...sangat menarik info ni👍

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga saudara beroleh manfaat dengan melayari blog saya. Saya doakan satu hari nanti saudara boleh sampai ke Kobe untuk melihat masjid pertama di Jepun. Insyaallah.

      Delete
  3. saya nak sangat berbakti kepada orang jepun untuk memahami dan memeluk islam.orang jepun kan cantik,lagi cantik kalau diorang jadi umat nabi muhammad.

    ReplyDelete
  4. saya ingin nak menolong orang islam di jepun dan memahamkan orang jepun tentang cahaya islam

    ReplyDelete
  5. saya ingin sangat nak menolong orang islam di jepun dan berkawan rapat dengan orang jepun sehingga mereka ingin memeluk islam.

    ReplyDelete
  6. saya nak sangat berbakti kepada orang jepun untuk memahami dan memeluk islam.orang jepun kan cantik,lagi cantik kalau diorang jadi umat nabi muhammad.

    ReplyDelete
  7. Pengolahan y menarik dan fakta baru y didapati. Mukin sy dapat idea tentang bagaimana ruh islam boleh berada di jepun walaupun negaranya bukan negara islam.. Allah mengangkat agamanya dengan cara y dia kehendakki.. Walaupun tujuannya untuk memudahkan penguasaan terhadap negara yang bakal dijajah kerana ramai org islam, akhirnya kesan dasar itu meresap kejiwa rakyatnya y akhirnya membentuk modal insan yang mengamalkan gaya hidup islam, dan menjadi bukti bahawa ajaran yang terdapat didalam islam membawa kepada kejayaan..

    ReplyDelete
  8. Pengolahan y menarik dan fakta baru y didapati. Mukin sy dapat idea tentang bagaimana ruh islam boleh berada di jepun walaupun negaranya bukan negara islam.. Allah mengangkat agamanya dengan cara y dia kehendakki.. Walaupun tujuannya untuk memudahkan penguasaan terhadap negara yang bakal dijajah kerana ramai org islam, akhirnya kesan dasar itu meresap kejiwa rakyatnya y akhirnya membentuk modal insan yang mengamalkan gaya hidup islam, dan menjadi bukti bahawa ajaran yang terdapat didalam islam membawa kepada kejayaan..

    ReplyDelete
  9. Pengolahan y menarik dan fakta baru y didapati. Mukin sy dapat idea tentang bagaimana ruh islam boleh berada di jepun walaupun negaranya bukan negara islam.. Allah mengangkat agamanya dengan cara y dia kehendakki.. Walaupun tujuannya untuk memudahkan penguasaan terhadap negara yang bakal dijajah kerana ramai org islam, akhirnya kesan dasar itu meresap kejiwa rakyatnya y akhirnya membentuk modal insan yang mengamalkan gaya hidup islam, dan menjadi bukti bahawa ajaran yang terdapat didalam islam membawa kepada kejayaan..

    ReplyDelete