Sunday, 16 October 2016

TUJUH GAYA HIDUP SIHAT RASULULLAH SAW

BAJU RASULULLAH

"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah". {Petikan dari Surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:21)}

 

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. {Petikan dari Surah Al-Anbiyaa[Para Nabi](21:107)}.

1.  Berdasarkan dua firman dari Allah SWT di atas jelas membuktikan bahawa pada diri Rasulullah itu adalah sebaik-baik dan semulia-mulia contoh, teladan, panduan dan pedoman untuk diikuti oleh manusia yang mengharapkan keredhaan Allah.  Contoh teladan dari Rasulullah yang akan diulas dalam posting kali ini ialah dalam konteks gaya hidup sihat Rasulullah.  Gaya hidup sihat Rasulullah memanglah banyak, tetapi untuk posting ini hanya disenaraikan 7 sahaja, iaitu seperti berikut:

1.1.  BANGUN SEBELUM SUBUH

Antara amalan Rasulullah SAW ialah bangun awal sebelum masuk waktu subuh bagi menunaikan solat sunat tahajjud dan kemudiannya diikuti cengan solat subuh secara berjemaah. Amalan ini pastiya memberikan kebaikan yang sangat besar seperti limpahan pahala dari Allah SWT.  Selainnya ialah boleh menikmati  kesegaran udara pada waktu subuh yang baik untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

1.2.  MAKAN BILA LAPAR DAN BERHENTI SEBELUM KENYANG

1.2.1. Sabda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih).

1.2.2. Dalam perut manusia ada tiga ruang untuk tiga benda. Satu pertiga ialah untuk udara, satu pertiga lagi untuk air manakala bakinya satu pertiga lagi ialah untuk makanan.

1.2.3.  Kenapa Rasulullah mengamalkan makan yang sedikit?.  Jawabnya ialah kerana salah satu sumber penyakit datangnya dari perut, iaitu makanan yang manusia makan. Amalan pemakanan yang tidak betul, tidak seimbang dan berlebihan boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam darah yang kemudiannya boleh memudaratkan badan kita. Oleh sebab itulah juga Islam mewajibkan amalan berpuasa di bulan Ramadan kerana ia boleh menjadi terapi untuk merehatkan perut bagi menyihatkan tubuh badan kita.

1.3.  MEMENTINGKAN KEBERSIHAN

Rasulullah sentiasa kelihatan bersih dan rapi. Setiap hari Khamis dan Jumaat, Rasulullah akan mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa, demikian pula menggosok gigi dan memakai harum-haruman.”(Hadis Riwayat Muslim).

1.4.   BERFIKIRAN POSITIF DAN MENJAGA HATI

Bagi menjaga kebersihan hati dan kesihatan jiwa, kita perlulah menjauhi diri daripada sifat iri hati atau dengki dengan kejayaan dan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Banyakkanlah berdoa: “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

1.5. MELAKUKAN AKTIVITI FIZIKAL & SENAMAN

1.5.1. Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid, pasar dan mengunjungi rumah-rumah sahabat baginda. Apabila berjalan kaki peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan dengan lancar. Ia penting untuk mencegah penyakit jantung. Jauh berbeza dengan amalan kita hari ini yang gemar berkenderaan walaupun tempat yang dekat. Malah jika boleh mahu meletakkan  kenderaan betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita tuju.

1.5.2. Rasulullah juga menganjurkan sukan berkuda dan memanah sebagai salah satu aktiviti untuk kesihatan tubuh badan.

1.6.  SENTIASA MEMAAFKAN

Memaafkan kesalahan dan kesilapan orang kepada kita adalah sebaik-baik amalan untuk membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sifat mudah memaafkan kesalahan orang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa.  Sekiranya kita marah, maka marah itu akan melekat pada hati. Oleh itu jadilah seorang yang pemaaf kerana ia boleh menyumbang kepada kesihatan badan.

1.7.  MENGELAK DARI SIFAT MARAH

1.7.1. Satu hari Rasulullah bertanya sahabat2nya siapakah orang yang paling kuat dikalangan kamu.  Sahabat pun menjawab dengan memberi nama-nama orang yang gagah perkasa dan berbadan sasa. Namun Rasulullah memberikan jawapannya orang yang paling kuat ialah orang yang mampu bersabar walaupun kemarahannya telah sampai ke kemuncaknya. 

1.7.2. Ada pendapat mengatakan salah satu cara yang baik untuk menahan perasaan marah ialah dengan mengubah posisi ketika marah, iaitu jika berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk,  perlu berdiri ataupun berbaring. Kemudian membaca ta’awwudz kerana marah itu adalah dari syaitan. Lepas itu segeralah mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan kemarahan.

2. Jadilah umat Rasulullah yang sentiasa mahu mencontohi amalan Rasulullah dalam hidupnya.  Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan oleh Rasulullah itu sudah pasti baik untuk kesihatan manusia.  Ini kerana apa yang dilakukan oleh Rasulullah adalah atas perintah dari Allah juga.

                                   SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW
“Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya”. ~ Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah
Sebahagian kandungan dari detikislam.com

No comments:

Post a Comment