1. Untuk posting kali ini kita
akan dapat sama-sama mengikuti 5 lagi kaedah untuk mencari cinta dan kasih
sayang Allah SWT. Ia adalah merupakan
sambungan dari posting yang lepas. Lima lagi kaedah itu ialah:
1.1. MENILAI KEBAIKAN, NIKMAT
& KURNIA ALLAH YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA KITA
Sesungguhnya
tidak ada seorang makhluk pun di dunia ini yang mampu memberikan kurnia dan
kenikmatan hakiki selain dari Allah SWT.
Yang dikatakan nikmat itu pula ialah samada nikmat lahir ataupun batin. Sifat semulajadi manusia seharusnya mengingati
dan menghargai jasa dan pertolongan seseorang kepada kita. Begitulah juga kita dengan Allah, pemberi
pertolongan hakiki untuk semua manusia.
Allah semestinya selalu dekat dengan diri kita kerana dari Allahlah
datangnya semua kenikmatan seperti kesihatan, ketenangan jiwa, kesenangan harta
benda seperti wang, rumah, kereta dan sebagainya. Sebesar-besar nikmat itu
tentulah Islam dan iman. Dan jangan juga kita lupa kepada nyawa yang kita
miliki ini adalah barangan pinjaman dari Allah SWT. Bersyukurlah kepada Allah
setiap kali bangun dari tidur kerana Allah masih memberikan nyawa kepada
kita. Ucapkanlah:
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
(Ertinya
: Segala
puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada
Allah akan dibangkitkan).
1.2. SELALU BERBUAT BAIK DAN SUKA
MENOLONG SESAMA MANUSIA
1.2.1.
Seseorang yang membuat kebajikan sesama manusia lain amat dikasihi oleh Allah
SWT.
Hakikat ini sesuai dengan firmanNya dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:93) yang berbunyi:
“Tidak ada dosa bagi orang-orang yang
beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan
dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh,
kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan
berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalannya.”
1.2.2.
Dalam konteks yang sama Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud; “Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari
penderitaan-penderitaan dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya
penderitaan-penderitaan hari kiamat. Barang siapa memudahkan urusan yang sulit
nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa
menutup aib seorang muslim lain maka Allah akan menutup aibnya di akhirat.
Allah akan sentiasa menolong seorang hamba selama hamba itu menolong
saudaranya.” (Riwayat Riwayat Muslim).
1.3.
BERSABAR DENGAN UJIAN ALLAH SWT
1.3.1.
Manusia pada umumnya tidak sabar dengan ujian dari Allah. Mereka kadang-kadang menjadi orang yang tidak
dapat menerima takdir qada’ dan qadar Allah. Bukankah qadar’ dan qadar itu
salah satu dari rukun Islam yang wajib dipercayai, diyakini dan diimani setiap
orang Islam?. Jangan resah gelisah apabila menerima sedikit ujian dari Allah. Ingatlah selalu bahawa para nabi/rasul yang merupakan kekasih-kekasih Allah tetap diuji, malah dengan ujian keimanan yang jauh lebih hebat dari kita manusia biasa.
1.3.2.
Bukankah Allah telah berfirman bahawa Dia akan menguji setiap hambaNya untuk
mengetahui tahap keimanannya?. Lihat
firman Allah dalam surah Al-Baqarah[Binatang
Ternakan](2:214) yang berbunyi:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti
yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?. Mereka
telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta
digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan
Allah?. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu
bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”.
1.3.3.
Allah sangat mengasihi orang-orang yang sabar. Termasuklah sabar menghadapi
ujian dariNya. Dalam surah Al-Imran[Keluarga Imran](3:146), Allah
SWT berfirman yang berbunyi:
“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu)
telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah,
maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada
jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu
tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang
yang sabar.”
1.4. MENGIKUTI AJARAN RASULULLAH SAW.
Ikutlah
ajaran yang telah ditunjukkan dan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sebagai
bukti tanda kecintaan kita kepada baginda.
Ia adalah jalan paling senang untuk mendapat kasih sayang dari Allah
SWT. Dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:31), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika
benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.”
1.5. BERTAKWA
DAN BERLAKU ADIL.
1.5.1. Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan
mengerjakan segala perintahNya dan sebaliknya meninggalkan laranganNya. Orang yang bertaqwa amat dicintai Allah. Dalam surah At-Taubah[Pengampunan](9:7), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Bagaimanakah dapat diakui adanya
perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik
(sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah
mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi
mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap
mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa”.
1.5.2. Sifat lain yang juga di kasihi Allah
SWT ialah berlaku adil dalam semua perkara, terutamannya dikalangan pemerintah
ataupun orang berkuasa. Dalam surah Mumtahanah[Perempuan Yang Duji](60:8),
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Allah tidak melarang kamu daripada
berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu
kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.
2. Apakah ini sahaja sifat atau akhlak yang dicintai Allah SWT. Sebenarnya banyak lagi jika mahu disenaraikan. Namun untuk tujuan posting kali ini sama-sama
kita berusaha untuk beramal dengan lima perkara yang dsenaraikan di atas dan
lima perkara yang telah disenaraikan dalam posting pada 9.9.2016 lalu. Semoga kita beroleh kebaikan dan manfaat
darinya. Carilah cinta dan kasih sayang Allah
SWT. Cinta dan kasih sayang kekal abadi hingga akhirat. Ingatlah selalu kepada Allah kerana Allah ialah tuan punya dan
pemilik syurga di negeri akhirat
nanti yang kekal abadi buat selama-lamanya. Infiniti.
“Hiduplah sesuka hatimu, sesungguhnya kamu pasti mati. Cintai
siapa saja yang kamu senangi, sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya.
Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, sesungguhnya kamu akan memperolehi balasannya.
Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan” –
Mutiara Kata Ibnu Abbas
No comments:
Post a Comment