“Sejahat-jahat perkara (yang mereka
lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan
mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa
Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang
dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan
sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan
orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan”. {Petikan dari surah Al-Baqarah[Lembu
Betina](2:90)}
1. Dalam posting sebelum ini bertarikh
13.8.2016, saya telah menjelaskan sebahagian tanda-tanda Allah sayang/cinta
kepada manusia. Bagi posting kali ini sama-sama kita ikuti pula apakah
tanda-tanda Allah benci kepada manusia. Kita perlu mengetahuinya supaya kita
dapat menjauhkan diri dari melakukannya.
Tanda-tanda itu ialah:
1.1. SYIRIK KEPADA ALLAH SWT
1.1.1. Dalam
surah An-Nisa’[Kaum Wanita](4:48) Allah
berfirman yang berbunyi:
“Sesungguhnya
Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu
apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan
Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa
yang besar”.
1.1.2. Dosa syirik adalah sebesar-besar dosa. Dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah
SWT. Bagi dosa-dosa lain selain darinya,
walau betapa besar sekalipun ia, jika pelakunya benar-benar bertaubat nasuha,
pasti ia akan diampunkan Allah.
1.2. LUPA DAN MALAS BERZIKIR PADA ALLAH:
“Wahai
Musa, jika Aku membenci seorang hamba, Aku jadikan juga dua tanda kepadanya”.
Nabi Musa bertanya: “Wahai RabbKu, apakah kedua tanda itu?”
Allah SWT berfirman : “Aku
akan melupakannya berzikir kepada Ku. Aku akan melepaskan ikatan antara dirinya
dan jiwanya, agar dia terjerumus dalam
lautan murkaKu dan merasakan azab pedihKu.”
Alangkah celakanya hidup ini jika tidak pernah berzikir dan
membesarkan Allah sedangkan ungkapan zikir itu terlalu mudah dan tersangat
ringan menyebutnya. Itulah natijahnya apabila hati telah mati dari mengingati
Allah.
1.3. HIDUP SENANG-LENANG TANPA MENDAPAT UJIAN
BERAT YANG MEMBOLEHKAN SESEORANG
MENGINSAFI DIRI DAN TAKUT PADA ALLAH.
1.3.1. Dalam
sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Kalau
Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya, maka akan disegerakan hukumannya di
dunia, kalau mengkehendaki kepada hambaNya keburukan, maka ditahan (siksanya)
kerana dosanya sampai penuh nanti di hari kiamat.” (Hadis Riwayat
Tirmizi).
1.3.2. Jangan
kita tersilap perkiraan mengatakan Allah sayang kepada kita kerana tidak pernah
merasai kesakitan dan kesusahan.
Sebaliknya terus menerus menikmati kesenangan dan keseronokan dengan
kekayaan dunia. Ingatlah itu adalah
istidraj namanya. Itulah nasib yang Allah telah timpakan kepada firaun yang
mati lemas secara tiba-tiba dalam Laut Merah sedangkan semasa hidup tidak
pernah merasai sedikit kesusahan atau kesakitan.
1.4. BANYAK MELAKUKAN MAKSIAT DAN KEMUNGKARAN
SECARA TERANG-TERANGAN TANPA RASA BERSALAH ATAU MALU.
1.4.1.
Inilah sebahagian dari sifat manusia akhir zaman. Mereka tidak lagi ada rasa malu apabila
melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada perintah Allah. Apa yang lebih diutamakan ialah memuaskan
hawa nafsu mereka. Soal dosa, pahala,
syurga atau neraka sudah tidak menjadi perhitungan lagi. Seolah-olah hidup ini hanyalah setakat di
dunia ini sahaja.
1.4.2. Perhatikan firman Allah SWT dalam surah-surah
berikut tentang kemaksiatan manusia dan kemurkaaan Allah:
“Kemudian
apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk
melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan
(binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan”. {Petikan dari surah Al-Baqarah[Lembu
Betina](2:205)}.
“Dan
janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri
mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu
melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa”.{Petikan dari surah An-Nisa[Kaum
Perempuan](4:107)}.
“Tidakkah
engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud
kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan
bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan
binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di
antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan
maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak
akan beroleh sesiapa pun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap
melakukan apa yang dirancangkanNya”.{Petikan
dari surah Al-Hajj[Haji](22:18)}.
1.5. MENGENGKARI PERINTAH ALLAH.
1.5.1. Dalam firman-firman berikut Allah SWT telahpun
memberikan amarannya akan adanya manusia yang akan mengengkari perintahNya:
“Dan
tidaklah layak bagi orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan, apabila
telah ditetapkan oleh Allah S.w.t dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa dia
membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan
RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia
telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata.” {Petikan dari surah Al-Ahzab[Tentera
Ahzab](33:36)}
“Dan
hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka,
dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang
telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan
menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah bahawa Allah mahu menyeksa mereka
dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari
umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.” {Petikan dari surah Al-Ma’idah[Hidangan](5:49)}.
1.5.2. Saidina Umar Al-Khattab r.a berkata, “Kita
dimuliakan Allah dengan Islam dan barang siapa yang mencari kemuliaan selain
dari Islam, maka dia akan dihinakan.” (Ibnu Abdil Birr dalam kitab
Al-Mujalasah wa Jawahiril Ilmi, juz II, halaman 273).
1.5.3. Manusia di akhir zaman ini sangat ramai yang
mengengkari perintah Allah. Mereka gagal melaksanakan amal makruf dan nahi
mungkar. Tidak ada rasa malu lagi untuk
membuatkan kemaksiatan kepada Allah di depan orang ramai. Perkara yang diharamkan seolah-olah sudah
menjadi halal.
1.6. CINTA KEPADA DUNIA MELEBIHI CINTA KEPADA
ALLAH DAN RASULNYA.
1.6.1. Hayatilah firman Allah berikut tentang manusia yang mencintai dunia melebihi
Allah dan RasulNya:
“Katakanlah:
Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu,
harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya,
dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai
daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka
tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi
petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.”{Petikan dari surah
At Taubah[Pengampunan](9:24)}.
“Dengan
yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang
menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh
Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula
atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas
penglihatannya?. Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk
kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)?. Oleh itu,
mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”
{Petikan
dari Surah Al
Jatsiyah[Orang Yang Berlutut](45:23)}.
1.6.2. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Tidak
(sempurna) iman seorang daripada kamu sehingga aku (Muhammad) lebih disayangi
daripada hartanya, anaknya dan orang lain.” (Hadis Riwayat Bukhari).
1.7. JIWA TIDAK TENANG DAN RESAH GELISAH KERANA
DUNIA.
1.7.1. Dalam
surah Al-An’am[Binatang Ternakan](6:125)
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Maka sesiapa yang
Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk
kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima
Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya
sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit
(dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang
yang tidak beriman”.
1.7.2. Apabila
dunia menguasai pemikiran dan membentuk peribad seseorang, nescaya sentiasa
akan resah gelisahlah jiwanya selagi mana apa yang dihajati didunia ini tidak
diperolehi. Orang seperti ini pula tidak
akan puas dengan pemberian dari Allah.
Mereka akan terus mencari dan memburu dunia walaupun telah menjadi kaya
raya. Mereka sesungguhnya mewakili
akhlak dan pemikiran Qarun dalam mencari harta dunia yang akan ditinggalkan.
1.8. MEMILIKI SIFAT SOMBONG (TAKABBUR).
1.8.1. Sombong adalah salah satu sifat mazmumah yang
dibenci oleh Allah. Allah memberi peringatan
tentang sifat ini dalam firman-firmanNya berikut:
“Dan hendaklah kamu
beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua;
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan
anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan
jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar,
dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”{Petikan dari surah An-Nisa[Kaum
Perempuan](4:36)}
"Dan janganlah
engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah
tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. {Petikan dari surah Surah Luqman (31:18)}.
1.8.2. Berkaitan dengan sifat sombong ini Rasulullah SAW
telah bersabda yang bermaksud:
“Mahukah
kamu aku beritahu tentang penduduk neraka? Mereka semua adalah orang-orang
keras lagi kasar, tamak lagi rakus, dan takabbur (sombong).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
“Tidak
akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar
biji sawi.” Seorang sahabat bertanya Rasulullah, “Bagaimana dengan seorang
yang suka memakai baju dan selipar yang bagus?.” Rasulullah menjawab, “Sesungguhnya
Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan
merendah-rendahkan orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim).
1.8.3. Imam Adz-Dzahabi rahimahullahu berkata, “Kesombongan
yang paling buruk adalah orang yang menyombongkan diri di hadapan manusia
dengan ilmunya, merasa dirinya besar dengan kemuliaan yang dia miliki. Bagi
orang seperti ini tidak bermanfaat ilmunya untuk dirinya. Orang yang menuntut
ilmu kerana akhirat maka ilmunya itu akan menimbulkan hati yang khusyuk serta
jiwa yang tenang. Mereka akan terus mengawasi dirinya dan tidak bosan untuk
terus memerhatikannya. Orang yang menuntut ilmu untuk membanggakan diri dan
meraih kedudukan, memandang remeh kepada orang lain serta memperbodoh dan
merendahkan mereka, maka itu adalah kesombongan yang paling besar. Tidak akan
masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya
sebesar biji sawi.
2. Di atas disenaraikan lapan tanda-tanda
kebencian Allah kepada manusia. Ia adalah sebahagian dari banyak lagi tanda-tanda
kemurkaan Allah kepada manusia. Ringkasnya, jika tanda-tanda Allah sayang/cinta
perlu diketahui maka tanda-tanda benci dan kemurkaan Allah juga wajib diketahui agar ia dapat dijauhi.
3. Sebagai seorang yang mengaku beriman kepada
Allah dan bercita-cita pula untuk menjadi penghuni syurga Allah, sewajarnyalah
kita berusaha menjadi hamba Allah yang sentiasa disayangi Allah. Sebaliknya berikhtiarlah supaya kita tidak dibenci olehNya. Sentiasalah berdoa kepada Allah supaya kita mati dalam keadaan
husnul khatimah. Ketahuilah bahawa Malaikat Maut akan menjenguk setiap manusia
70 kali dalam sehari. Justeru, milikilah sifat takut kerana kita tidak tahu bilakah Allah akan
memerintahkan Malaikat Maut mencabut nyawa kita.
Bacaan Al-Quran surah Al-Waqiah (Hari Kiamat)
“Saya berpesan kepada semua
pemimpin masyarakat umat Islam. Jagalah tiga perkara ini. Pertama – jangan
merokok. Kedua - solat berjemaah. Lazimilah ke masjid ataupun surau. Ketiga - jika ada pertemuan dengan masyarakat
seperti majlis ceramah dan sebagainya, adakanlah pada waktu solat agar dapat
solat bersama dengan masyarakat. Contohnya, jika ceramah lepas waktu Isyak,
tunaikanlah solat Isyak berjemaah dan teruskanlah program. In sha Allah, perjuangan kita akan diiringi
dengan keberkatan dari Allah” ~~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Sebahagian
kandungan dipetik dari blog peribadirasulullah.wordpress.com
No comments:
Post a Comment