Friday, 25 March 2016

CAP JARI MANUSIA : ANTARA TANDA KEKUASAAN ALLAH SWT

 
                                             

1.   Dalam Surah Al-Qiyamah[Hari Kiamat](75:3), Allah SWT berfirman yang berbunyi

75:3
“Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?”.

(75:4)

75:4 
“Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain)”.

2.    Firman-firman Allah di atas menjelaskan bahawa Allah akan  menyusun kembali jari-jari manusia yang dihidupkan semula dari kematiannya. Ia menunjukkan bahawa urat-urat jari manusia yang tidak sama antara satu sama lain mampu disusun kembali oleh Allah. Begitulah kehebatan dan kebijaksanaan Allah.

3.   Seorang sahabat bernama Adi bin Rabiah bertanya kepada Rasulullah. “Wahai Rasulullah, ceritakanlah kepada kami tentang hari kiamat, bila ia akan terjadi?”. Lalu Rasulullah memberikan penerangan kepadanya.  Kemudian Adi bin Rabiah berkata; “Seandainya aku menyaksikan hari itu dengan mata kepalaku, tentu aku tidak akan percaya kepadamu dan tidak akan mengimaninya.  Apakah Allah akan menghidupkan kembali tulang belulang yang sudah hancur ini”.  Selepas peristiwa itu, Allah menurunkan ayat diatas.

SIR FRANCIS GALTON

4. Hasil daripada catatan pengetahuan awal tentang urat jari, kemudiannya lahirlah beberapa orang ahli sains Barat dalam bidang kajian cap jari.  Misalnya pada akhir abad ke-19 seorang saintis bidang Antropologi dan Sosiologi dari England bernama Sir Francis Galton telah menulis secara terperinci berkenaan cap jari. Francis Galton dilahirkan pada 16.2.1822 di Birmingham, West Midlands, England. Beliau meninggal dunia pada 17 Januari 1911 di Haslemere, Surrey, England ketika berusia 88 tahun. Pada tahun 1892 beliau telah menghasilkan sebuah buku berjudul “Fingerprint”. Beliau telah mewujudkan satu sistem pengkelasan yang melibatkan kesemua sepuluh jari. Pada awal abad ke 20 pula penggunaan cap jari telah diguna pakai secara meluas bagi kes-kes pendakwaan jenayah di Britain dan Amerika Syarikat. Sistem pengkelasan ini dipanggil sistem Galton. Hasil kejayaan ini cap jari telah mula digunakan untuk tujuan pengenalan seseorang.

5.   Pada tahun 1902, institut pengesanan dan penyelidikan jenayah Britain yang dikenali Scotland Yard telah mengiktiraf cap ibu jari sebagai tanda pengenalan seseorang individu. Ia kemudiannya diikuti pula oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat pada tahun 1903. 

 
6.  Bentuk urat cap jari boleh dibahagi kepada tiga jenis, iaitu gegelung (Loops), lingkaran (Whorls) dan lengkungan (Arches). Daripada kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat dianggarkan seramai 60-65% penduduk mempunyai cap jari jenis Loops, 30-35% jenis Whorls dan hanya 5% mempunyai bentuk Arches pada cap jari mereka.

 
  
7.  Pada abad ke-21, penggunaan cap jari mula dipraktikkan secara meluas di serata dunia untuk urusan pemeriksaan paspot, keluar masuk pejabat kerajaan serta aspek keselamatan. Alat yang dinamakan biometrik dicipta untuk mengesan cap jari manusia.

8.  Subhanallah. Maha Berkuasa Allah yang mencipta cap jari manusia. Tidak ada manusia yang mempunyai cap jari yang sama walaupun mereka mungkin merupakan kembar siam sekalipun. Itulah antara tanda kebijaksanaan dan kekuasaan Allah SWT.

“Para Nabi tidak diutus untuk mengajar manusia membangunkan bumi ini semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk menyelamatkan diri di akhirat kelak...” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment