"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku". [Petikan Surah Ta-Ha (20:14)]
1. Semakin hari usia kita menjadi semakin tua. Badan pula semakin lemah dan kurang bermaya. Semakin hari juga semakin dekatlah kita dengan saat kematian dan penghidupan di alam barzakh (kubur). Setelah kita semua menginsafi kenyataan yang sedang dan bakal berlaku ini, eloklah kita sama-sama berusaha untuk menunaikan tanggung jawab amal makruf dan nahi mungkar. Berusahalah untuk menyucikan diri kita dari dosa dan noda dengan banyak beristighfar dan memohon keampunan dari Allah SWT. Berikut ini ialah beberapa amalan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT:
1.1. Kita semua hanyalah manusia biasa yang tidak
bertaraf nabi ataupun rasul. Justeru itu iman kita ibarat air laut yang
sentiasa ada pasang surutnya. Kadangkala
iman kita mungkin meningkat dan ada pula masanya ia menurun. Kadangkala kita melakukan
dosa, samada disedari ataupun tidak. Oleh itu wajarlah sangat sentiasa bermohon
keampunan dari Allah SWT. Berusahalah mengikis sifat-sifat mazmumah yang
tercela di sisi Allah. Berikhtiarlah
untuk menjadi seorang Islam yang baik pada pandangan dan penilaian Allah dan
Rasulullah.
1.2. Memiliki sifat cepat marah adalah salah satu
sifat yang negatif. Memang ramai orang yang tidak mampu mengawalnya. Oleh itu apabila perasaan mahu marah itu
datang, bersegeralah mengambil wuduk. Ini kerana panasnya marah itu dapat
disejukkan dengan air. Salah satu dari keseronokan syaitan itu ialah apabila
melihat orang yang digodanya hilang pertimbangan lantaran kemarahannya. Justeru ia akan menjurus kepada perbuatan
yang mengikut hawa nafsu. Allah mengasihi orang yang dapat mengawal kemarahannya
dengan memohon perlindungan dan pertolongan dariNya. Di hari kiamat nanti orang
yang dapat mengawal kemarahan dirinya di dunia akan terselamat dari kemurkaan
Allah SWT.
1.3. Lazimilah mengamalkan doa dan munajat kepada
Allah SWT. Kita manusia adalah makhluk
yang serba lemah dan penuh dengan kekurangan. Selepas kita berusaha dan
berikhtiar maka jalan terakhir ialah memohon pertolongan dari Allah. Setiap
sesuatu yang kita kerja dan usahakan tidak akan mendapat kejayaan tanpa adanya
pertolongan dari Allah. Ingatlah bahawa
doa kita kepada Allah mampu merubah qada’ dan qadar Allah SWT. Bukankah kita yakin bahawa setiap permintaan
dari Allah pasti akan ditunaikannya, cuma samada di dunia ataupun di akhirat
nanti. Daripada Salman Al-Farisi katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
:“Sesungguhnya Allah itu hidup dan Maha
Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangan kepadaNya lalu Dia
mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong
serta rugi.” (Hadis Riwayat Tirmidzi). Bagi menjamin doa dimakbulkan Allah,
pastikan terlebih dahulu kita tidak melakukan perkara-perkara berikut:
1.3.1.Memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum
keluarga. Jangan tidak bertegur sapa
selama 3 hari.
1.3.2.
Menderhakai kepada kedua ibu bapa.
1.3.3.
Pastikan makanan dan minuman yang masuk dalam perut kita adalah yang halal.
Termasuk juga dalamnya sumber rezeki yang diperolehi untuk membeli makanan dan
minuman mesti dari sumber yang halal. Jauhkan makanan dan minuman yang difikirkan
syubhah.
1.4. Jika boleh berdoalah kepada Allah sehingga kita
menitiskan air mata kerana dosa dan kesalahan kita kepada Allah SWT serta takut
kepada azabNya. In sha Allah, Allah akan mengampunkan dosa kita dan kita bakal
termasuk dalam golongan orang yang akan mendapat perlindungan Allah di hari kiamat
nanti.
1.5. Beribadahlah kepada Allah SWT dengan hati
yang penuh kyusuk dan tawadduk. Pahala solat kita akan dtentukan berdasarkan
tingkatan khusyuk kita kepada Allah. Fokuskanlah hati dan jiwa sepenuhnya
kepada Allah SWT seperti seolah-olah kita sedang melihat Allah SWT.
1.6. Jauhilah sama sekali dari sifat suka membuka
keaiban saudara seagama, sifat suka mengadu domba, mengumpat dan memfitnah.
Jika kita tinggalkan perbuatan tercela
ini nescaya Allah akan menutup keaiban
kita dihari akhirat kelak dan kita akan dijauhi dari azab api neraka. Salah
satu sebab yang boleh membawa kita kepada neraka Allah ialah kerana gagal menjaga lidah ketika didunia.
1.7. Jadilah orang yang dermawan. Pergunakanlah
harta yang Allah pinjamkan kepada kita untuk berzakat, bersedekah dan beramal
jariah. Bersedekah adalah salah satu dari amalan Rasulullah. Amalan mulia ini
akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam. Bersedakahlah
kerana Allah. Ia ibarat menghulur dengan tangan kanan tetapi tangan kiri
tidak mengetahinya.
1.8. Allah sentiasa memandang mulia kepada orang yang elok akhlak
dan budi pekertinya, sentiasa merendahkan diri dan sabar di atas musibah yang
menimpa diri dan keluarga.
2. Sebahagian dari amalan-amalan mulia untuk mendekatkan diri dengan Allah telah dibentangkan. In sha Allah sama-samalah kita mempraktikkannya sementara roh masih dikandung badan.
“Jika memandu kita
perlukan lesen, menggunakan senjata api perlukan lesen, maka hidup di dunia
juga tentulah perlukan lesen. Lesen itu ialah Islam. Hidup di dunia dengan
menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen.” = Mutiara Kata Almarhum Tuan
Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Sebahagian kandungan dari blog lampuislam.blogspot.com
Sebahagian kandungan dari blog lampuislam.blogspot.com
No comments:
Post a Comment