Saturday, 13 February 2016

AL-QURAN MERAKAMKAN 12 KAUM YANG TELAH ALLAH BINASAKAN (BAHAGIAN 2)


2:21

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”{Petikan dari Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:21)}.

1.    Enam lagi kaum di bawah ini adalah sambungan dari posting bertarikh 11.2.2016. 

2.1.   Ashab Al-Sabt =  Ada pendapat mengatakan kaum ini adalah umat Nabi Musa dan ada pula berpendapat umat Nabi Daud. Mereka adalah segolongan manusia fasik yang melanggar perintah dari Allah SWT. Dikatakan kaum ini tinggal di Kota Eliah, Elat (Palestin). Mereka melanggar perintah Allah untuk beribadah pada hari Sabtu. Allah menguji mereka dengan memberikan ikan yang banyak pada hari Sabtu dan tidak pada hari-hari lain. Mereka akhirnya dibinasakan dengan dilaknat Allah menjadi kera kerana melanggar perintah Allah agar jangan mencari ikan pada hari Sabtu. Kejadian ini Allah khabarkan dalam surah Al-A’araf[Tempat Yang Tinggi](7:163) yang berbunyi:

7:163


“Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik”.

(7:164)

7:164

“Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

(7:165)
7:165


“Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

(7:166)

7:166
“Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

2.2.  Ashab Al-Rass = Rass adalah nama sebuah telaga yang telah kering airnya. Sempena telaga itu  ia dijadikan nama satu kaum, iaitu  Kaum Rass. Sesetengah riwayat mengatakan, nabi yang diutus kepada kaum ini ialah Nabi Saleh. Ada juga yang berpendapat Nabi Syuaib. Kaum al-Rass ini menyembah patung. Ada juga yang menyebutkan, dosa yang mereka lakukan ialah mencampakkan utusan yang dikirim kepada mereka ke dalam sumur sehingga menyebabkan mereka dibinasakan Allah. Firman Allah tentang nasib kaum ini ialah dalam surah Surah Al-Furqan[Pembeza]( 25:38) yang berbunyi:

25:38

“Dan (demikian juga Kami telah binasakan) Aad dan Thamud serta Ashaabur-Rassyi dan banyak lagi dalam zaman-zaman di antara masa yang tersebut itu”.

(25:39)
25:39

“Dan masing-masing, telah Kami berikan kepadanya contoh tauladan yang mendatangkan iktibar, dan masing-masing telah Kami hancurkan sehancur-hancurnya.”
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

2.3.  Ashab al-Ukhdudd = Ashab al-Ukhdud adalah satu kaum yang menggali parit dan mereka mengingkari untuk  beriman kepada Allah, termasuk rajanya. Sekumpulan orang yang beriman telah dicampakkan ke dalam parit yang telah dibakar, termasuklah seorang wanita yang tengah mendukung seorang bayi. Kesah kutukan Allah ke atas kaum ini Allah rakamkan dalam Surah Al-Buruj[Gugusan Bintang](85:4) yang berbunyi:
85:4

“Celakalah kaum yang menggali parit,”

(85:5)
85:5

“(Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran”,

(85:6)
85:6

“(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya”,

(85:7)
85:7

“Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman”.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

2.4. Ashab al-Qaryah = Menurut sebilangan ahli tafsir, Ashab al-Qaryah (suatu negeri) adalah penduduk sebuah negeri bernama Antaqiyah. Mereka telah mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka.  Mereka mengatakan mereka nahas dan malang dengan sebab adanya rasul-rasul Allah itu.  Mereka juga mengancam akan merejam utusan Allah jika tidak menghentikan seruan dakwah ke jalan Allah. Akibatnya Allah telah membinasakan mereka dengan satu pekikan suara yang sangat kuat dan keras dan menyebabkan semua penduduk mati. Peristiwa ini Allah rakamkan dalam firmanNya dalam surah Yaasin (36:29) yang berbunyi:

36:29

“(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi sepi tidak hidup lagi.”
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

2.5.  Kaum Tubba = Mengikut catatan sejarah, Tubaa adalah nama seorang raja bagi bangsa Himyar yang beriman kepada Allah. Peradaban mereka sudah maju. Salah satu darinya ialah kemampuan membina empangan air. Walaupun begitu  kaumnya sangat engkar kepada perintah Allah sehingga melampaui batas. Akibatnya Allah menimpakan azab kepada mereka hingga binasa. Kesah kaum Tubaa ini Allah firmankan dalam surah Ad-Dhukhan[Asap](44:37) yang berbunyi:
44:37

“(Mengapa mereka masih berdegil dalam kekufurannya?). Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum "Tubba'" dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.”
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 
2.6.   Kaum Saba = Kaum Saba hidup di zaman Nabi Sulaiman di Yaman Selatan. Allah telah memberikan pelbagai kenikmatan kepada mereka dengan kepandaian membina empangan. Empangan air yang terkenal bernama Empangan Ma’rib. Dengan empangan air itu mereka berjaya membuat kebun-kebun yang ditumbuhi pokok-pokok yang subur untuk kemakmuran penduduknya. Mereka enggan beribadah kepada Allah kerana kesombongan dengan sedikit nikmat yang Allah kurniakan walaupun sudah diperingatkan oleh Nabi Sulaiman. Akhirnya Allah menghancurkan empangan Ma’rib dengan banjir besar Al-Arim. Kesah ini Allah rakamkan dalam surah khas sempena nama negeri mereka, iaitu Saba’[Negeri Saba](34: 15) yang berbunyi:

34:15

“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.”

(34:16)

34:16

“Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.”

(34:17)
34:17

“Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.”

BEKAS TINGGALAN EMPANGAN MA'RIB
3.  Semoga kita memperolehi pengajaran dari 12 kaum yang telah dibinasakan oleh Allah SWT.  Janganlah sesekali kita mengingkari perintah Allah hanya semata-mata kerana sedikit kekayaan dan kesenangan yang Allah berikan kepada kita.  Kesah-kesah yang  terkandung dalam Al-Quran ini menyakinkan kita bahawa sesungguhnya Al-Quran itu datangnya dari Allah SWT dan bukannya dari Muhammad, Rasulullah.  Ini kerana peristiwa yang dirakamkan itu telah berlaku ribuan tahun sebelum turunnya Al-Quran dari Allah kepada Rasulullah.

"Kebangkitan Islam sekarang telah berlaku di seluruh dunia. Ia tidak boleh disekat, umpama sebiji bola yang ditekan ke dalam air, semakin ia ditekan, semakin ia akan melantung naik... kuatkan hubungan dengan Allah, tahajjud jangan ditinggal, kalau boleh menangis, menangislah di hadapan Allah SWT.” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

No comments:

Post a Comment