Tuesday, 23 February 2016

SAMI BUDDHA BERTEMU HIDAYAH ALLAH SELEPAS 30 TAHUN KAJI PELBAGAI AGAMA


“Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. {Petikan dari Surah Al-Anam[Binatang Ternakan](6:125)}.

1.  Seorang sami Buddha berusia 66 tahun yang telah mengkaji pelbagai agama di dunia hampir 30 tahun telah membuat keputusan untuk memeluk agama Islam. Sami tersebut berasal dari Johor dan enggan identitinya di dedahkan.  Beliau dikatakan berpengalaman menjadi sami Buddha selama 28 tahun di Taiwan. Peristiwa pengislamannya dilakukan di dalam satu majlis ringkas di sebuah masjid di Negeri Melaka.  

2.  Mengikut Lim Jooi Soon, Presiden Persatuan Cina Islam Malaysia Cawangan Melaka (MACMA), sepanjang menjadi sami di Taiwan, lelaki berkenaan banyak menghabiskan masa mengkaji setiap agama di dunia ini. Dalam pengkajian itu, dia mendapati hanya Islam sahaja satu agama yang paling lengkap dan sempurna. Sami tersebut telah berjumpa Encik Lim dan dia telah diterangkan dengan menggabungkan bagaimana logik, sains dan hujah dapat dikaitkan dengan pencipta alam ini.  Setelah itu sami tersebut tertarik untuk memeluk Islam.

3.  Pengislamannya telah disempurnakan oleh penaung MACMA, Tan Sri Abdul Rahim bin Tamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka). Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin dan Mufti Negeri Melaka, Datuk Dr. Mohadis Yasin.

 

 

 

 
4.   Encik Jooi Soon berkata, kini tugas MACMA ialah untuk membimbingnya agar dapat mengetahui ajaran Islam dengan lebih mendalam. Oleh kerana bekas sami berkenaan tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris, Bahasa Mandarin perlu digunakan untuk membimbing beliau.

"Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya. Jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah." = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Sebahagian kandungan dari blog taotauajer

No comments:

Post a Comment