Friday, 19 February 2016

PENENTUAN JANTINA BAYI DALAM KANDUNGAN : KEBENARAN AL-QURAN




1. Dalam Surah An-Najm[Bintang](53:45), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
53:45

“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan,"

(53:46)
53:46

“Dari (setitis) air mani ketika dipancutkan (ke dalam rahim)”.

2.   Pernahkah kita terfikir bagaimanakah jantina bayi dalam kandungan ibu dicipta?. Apakah jantina ini ditentukan oleh benih lelaki ataupun perempuan ?. Ratusan tahun yang lampau manusia percaya bahawa jantina bayi ditentukan oleh benih dari perempuan. Oleh sebab itulah lazimnya  perempuan akan dipersalahkan jika pasangan gagal memperolehi anak lelaki atau anak perempuan yang dikehendaki.

3.  Tahukah kita bahawa melalui firman Allah dalam ayat 46 di atas lebih 1,400 tahun lalu, Allah yang mencipta manusia dalam kandungan seorang perempuan telahpun memberitahu manusia bahawa yang menentukan jantina itu ialah benih dari lelaki. Firman tersebut jelas menyatakan ia ditentukan oleh nuthfah.  Apakah itu nuthfah?. Nuthfah ialah bahasa arab yang mengikut tafsiran yang sahih bermaksud air mani yang sedikit. Mengikut Imam Al-Qartubi didalam kitabnya “Al-Jamik li Ah Kamil Quran”, nuthfah bermaksud “air mani lelaki. Ia dinamakan nuthfah disebabkan jumlahnya yang sedikit, iaitu airnya yang sedikit.” Dalam air yang sedikit inilah terkandungnya benih yang dipanggil sperma.

4.   Walaupuan air mani yang keluar dari zakar lelaki mungkin agak banyak semasa persetubuhan, tetapi jumlah yang diperlukan untuk persenyawaan hanyalah sedikit sahaja, iaitu sperma dalam setitik air mani. Di dalam kamus Hans Wehr: A Dictionary of Modern Written Arabic, perkataan nuthfah diterjemahkan sebagai a drop of sperm iaitu setitik sperma. 

5.  Fakta dalam Al-Quran ini  selari dengan penemuan sains moden kini. Sains moden hari ini mengesahkan bahawa secara amnya rupa bentuk seseorang bayi ditentukan oleh 46 kromosom. Dua dari 46 kromosom ini adalah kromosom jantina(seks) bayi. Kromosom seks inilah yang menentukan samada seseorang bayi  itu lelaki atau perempuan.
KROMOSOM

BAHAGIAN-BAHAGIAN KROMOSOM

KROMOSOM XX (KIRI) DAN XY (KANAN)

6. Apakah kromosom?. Kromosom berupa benang-benang halus yang tersusun dari asid nukleik, seperti DNA dan RNA. Kromosom berasal dari kata chrome ertinya berwarna dan soma ertinya badan. Oleh itu, kromosom bolehlah dikatakan badan yang menyerap warna. Kromosom terdapat pada nukleus (inti sel) setiap sel. Kromosom kelihatan seperti batang yang mengandungi struktur yang terdiri daripada benang-benang tipis melingkar-lingkar. Di sepanjang benang-benang inilah terletak secara teratur struktur yang disebut gen. Tempat gen dalam kromosom dipanggil lokus gen.

7.  Benih lelaki iaitu sperma, mempunyai kromosom seks ‘XY’ manakala benih wanita iaitu telur (ovum), mengandungi kromosom seks ‘XX’. Ketika proses persenyawaan berlaku antara benih lelaki dan perempuan, kromosom seks lelaki akan berpisah menjadi X dan Y manakala kromosom seks wanita pula berpisah menjadi X dan X. Salah satu daripada kromosom seks lelaki akan bercantum dengan salah satu daripada kromosom seks perempuan untuk membentuk jantina seseorang bayi. Oleh kerana kedua-dua kromosom seks wanita adalah sama iaitu X dan X, sedangkan kromosom seks lelaki adalah berbeza iaitu X dan Y, maka yang menentukan samada seseorang bayi menjadi lelaki ataupun perempuan adalah kromosom lelaki.

8. Sekiranya kromosom X lelaki bercantum dengan kromosom X perempuan, maka jantina bayi ialah perempuan. Sebaliknya jika  kromosom Y lelaki bercantum dengan kromosom X perempuan, maka bayi itu menjadi lelaki. Dengan penemuan saintifik ini maka benarlah firman Allah yang mengatakan kejadian lelaki dan perempuan ditentukan oleh nuthfah atau sperma lelaki. 

9.  Dalam Surah Al-Insan[Manusia](76:2), Allah SWT berfirman lagi yang berbunyi:

76:2

“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”

10. Dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:6) pula Allah berfirman yang berbunyi:

3:6

“Dialah yang membentuk kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana dikehendaki-Nya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
 
11.  Subhanallah.  Maha suci Allah, zat yang mencipta manusia, lelaki dan perempuan. Tatkala tidak ada seorang pun manusia mengetahui tentang penciptaan manusia dalam rahim ibu dan tidak juga memahami kejadian lelaki dan perempuan, Allah telah menjelaskannya dengan nyata dalam qalamNya, Al-Quran Nul Qarim.

12.  Berdasarkan penemuan ini, nyatalah bahawa agama Islam adalah agama benar yang datangnya dari Tuhan yang mencipta manusia. Rasanya mungkin tidak ada kitab agama lain di atas muka bumi ini yang menjelaskan tentang penciptaan manusia dan jantina seorang bayi dalam kandungan ibu. Kenapakah orang kafir masih lagi engkar untuk menerima kebenaran agama Islam yang datangnya dari Tuhan yang SEBENAR?. 

"Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus lakukan dosa. Tanpa adanya keyakinan seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka." = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment