1. Walaupun mencari harta yang halal tidak ditegah dalam Islam
tetapi tahukah kita bahawa Allah SWT telah berfirman dalam dua surah di dalam
Al-Quran bahawa kehidupaan di dunia ini adalah kesenangan yang memperdayakan
manusia. Firman-firman itu ialah seperti
berikut:
1.1. Dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:185) yang berbunyi:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai
mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan
kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga
maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia
ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.
1.2. Dalam Surah Al-Hadid[Besi](57:20) yang berbunyi:
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan)
kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata)
permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga
(bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan,
kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda
dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang
(menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan
tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke
suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning;
akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di
akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan
kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah
(disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah bahawa)
kehidupan dunia ini ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya)
tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya.”
2. Kenapa Allah SWT menegaskan hidup di dunia ini kesenangan yang
memperdayakan?. Allah mengingatkan kita bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah
permainan, melalaikan, perhiasan dan tempat berlumba-lumba. Tidak ada manusia
yang tidak sukakan perhiasan atau kemewahan serta harta. Pada saat kecintaan
manusia kepada perkara-perkara itu meresap dalam hati mereka maka Allah menarik
hingga hilang segalanya apabila datangnya sakratul maut. Kesenangan yang
memperdayakan atau menipu itu bermaksud kehidupan di dunia ini hanyalah
sementara yang boleh hilang bila-bila masa
sahaja sebaik sahaja kita dimatikan oleh Allah SWT. Berbeza dengan
kehidupan di negeri akhirat samada di syurga ataupun neraka yang kekal
selama-lamanya. Infiniti. Bayangkanlah keindahan, kenikmatan, keseronokan dan
kelazatan dalam syurga yang boleh dinikmati selama-lamanya. Untuk
memperolehinya perlulah beramal soleh dan mencari keampunan dari Allah SWT semasa
hidup ini.
3. Ibnu Qatadah mengatakan makna “mata’ ul-ghurur” dalam ayat di
atas adalah kehidupan yang terputus atau kehidupan yang akan ditinggalkan.
Justeru kehidupan ini mesti diisi dengan ketataan kepada Allah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang
bermaksud: “Demi Allah! Kehidupan di dunia ini jika dibandingkan
dengan kehidupan di akhirat bolehlah diibaratkan seperti orang yang mencelupkan
jarinya dalam laut. Cuba perhatikan apa yang melekat pada jari itu. Air yang melekat pada jari itu ialah
nikmat dunia manakala yang tidak melekat
itu ialah nikmat syurga.” Tidaklah
dapat digambarkan betapa besarnya nikmat syurga yang telah Allah sediakan untuk
orang yang beriman kepadaNya. Tidak ada
bahasa untuk menghurai atau menggambarkannya. Nikmat yang tidak pernah dilihat
dengan mata atau tidak pernah dirasai di dunia ini.
4. Jika sekiranya kesenangan dunia ini menjadi matlamat hidup
bagi orang Islam maka sudah tentulah Rasulullah SAW sendiri terlebih dahulu
menunjukkan model kepada umatnya. Apa yang kita semua ketahui ialah
kehidupan Rasulullah dan kelurganya sangat-sangat sederhana. Malah kita pernah mendengar ada hari-hari
tertentu Rasulullah hanya berpuasa sahaja kerana tiada makanan untuk di makan.
Sebaliknya model yang Rasulullah tunjukkan kepada kita ialah model ibadat, mengabdikan
diri serta patuh kepada segala perintah Allah, membesarkan Allah, meninggalkan
semua larangan Allah. Model yang
ditunjukkan kepada kita ialah mengutamakan kehidupan di akhirat berbanding
kehidupan di dunia yang fana.
5. Sabda-sabda Rasulullah SAW dalam konteks kelebihan akhirat
berbanding dengan dunia ini dapat dilihat dalam terjemahan hadis-hadis berikut:
5.1. "Sekiranya
dunia ini ada nilai atau harga di sisi Allah walaupun seberat sayap nyamuk,
maka nescaya Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk
air." (Hadith Riwayat Termizi).
5.2. Satu hari Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah
tidur di atas sebidang tikar. Ketika bangkit dari tidurnya tikar tersebut
meninggalkan bekas pada tubuh baginda. Berkatalah Ibnu Mas’ud, “Wahai
Rasulullah, alangkah baiknya seandainya aku boleh persiapkan untukmu tilam yang
empuk”. Rasulullah menjawab; “Ada
kecintaan apa aku dengan dunia?. Aku di dunia ini tidak lain kecuali seperti
seorang pengembara yang mencari tempat berteduh di bawah pohon, lalu
beristirahat dan kemudian meninggalkannya.” (Hadith Riwayat Termizi).
5.3. Umar
Al-Khattab pernah menangis melihat Rasulullah
yang hanya tidur di atas sebidang tikar tanpa dialasi apapun sehingga terlekat bekas tikar di belakang dan
rusuk baginda. Lalu Rasulullah bertanya Umar; “Kenapa engkau menangis wahai Umar?’. Kata Umar, “Wahai Rasulullah,
sesungguhnya Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Romawi) berada dalam
kemegahannya, sedangkan engkau adalah utusan Allah.” Rasulullah menjawab; “Tidakkah engkau redha mereka mendapat dunia
sedangkan kita memperolehi akhirat?” (Hadith Riwayat Bukhari).
6. Renungkanlah
firman-firman Allah SWT dan hadis Rasulullah SAW di atas. Tanyalah diri
masing-masing dan berikanlah jawapan yang paling ikhlas untuk diri kita. Apakah
sebenarnya keutamaan dalam hidup kita sekarang ini, dunia atau akhirat?. Apakah
kita benar-benar kasih kepada Rasulullah.
Bukankah tanda orang yang kasih kepada Rasulullah itu akan berbuat apa
yang Rasulullah buat dan amalkan?.
7. Ketahuilah bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat
wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari. Andainya manusia sedar hakikat itu,
nescaya mereka tidak akan lalai dari mengingati mati. Ingatlah bahawa
sesungguhnya Malaikat Maut akan mencabut nyawa kita pada bila-bila masa sahaja mengikut ketentuan dan perintah dari Allah.
"Atom yang
begitu kecil itu ada pasangannya. Wayar elektrik pun ada pasangannya yang
disebut sebagai negatif dan positif. Jika dipasang dengan cara yang betul,
lampu akan menyala. Jika tidak, wayar itu boleh terbakar. Begitu juga dengan
lelaki dan perempuan, jika dipasangkan dengan yang tidak baik, dapat anak zina,
lalu anak-anak ini dibuang. Benda ini berlaku kerana pasang tak betul. Islam
datang untuk mengajar bagaimana memasang atau menyatukan manusia dengan cara
yang betul iaitu perkahwinan dengan nama Allah." = Mutiara Kata Almarhum
Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
No comments:
Post a Comment