Monday, 1 February 2016

KEBENARAN NASIHAT RASULULLAH TENTANG TIDUR


"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah". {Petikan dari Surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:21)}.

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. {Petikan dari Surah Al-Anbiyaa[Para Nabi](21:107)}.

1.  Betapa sempurna dan lengkapnya agama Islam itu dapat dinilai berdasarkan sabda-sabda Rasulullah hingga sampai kepada perkara  menutup lampu apabila tidur pun diajarkan. Sabda-sabda itu ialah seperti berikut:

1.1.   Dari Ibnu Umar, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meninggalkan api yang menyala ketika kamu tidur.” (Hadis Riwayat Bukhari).

1.2.   Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Matikanlah lampu-lampu di waktu malam jika kamu hendak tidur dan tutuplah pintu-pintu, bejana serta makanan dan minuman kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.    Dua hadis di atas diperkuatkan oleh penafsiran Imam Al-Qurthubi yang mengatakan bahawa bila seseorang tidur bersendirian sedangkan api masih menyala hendaklah ia mematikannya terlebih dahulu sebelum tidur. Demikian pula apabila terdapat beberapa orang di dalam sesebuah rumah, hendaklah orang terakhir yang memadamkannya.

3.   Rasulullah memang tidak menghuraikan kelebihan tidur dalam gelap dari segi kesihatan. Tetapi tahukah kita bahawa kajian secara saintifik kini membuktikan bahawa tidur dalam gelap seperti nasihat Rasulullah telah terbukti faedahnya dari segi kesihatan. Kebenaran sabda Rasulullah telah tersingkap selepas lebih dari 1,400 tahun.  Subhanallah.

PROFESOR JOAN E.ROBERTS
UNIVERSITI FORDHAM, NEW YORK

4.   Orang yang telah mengkaji perhubungan antara lampu dan kesihatan (dalam konteks tidur) ini ialah Professor Joan E. Roberts. Beliau ialah professor bidang kimia, Jabatan Sains Asli, Universiti Fordham, New York. Kajiannya bermula dengan  membuat penelitian perlakuan haiwan percubaan yang dikurung dalam tempat yang dinyalakan lampu buatan sepanjang malam. Kadar hormon melatonin di dalam badan haiwan tersebut didapati makin berkurangan dan diikuti dengan penurunan daya tahan badannya terhadap serangan penyakit. Beliau merumuskan bahawa cahaya lampu (termasuk pancaran dari layar television) boleh menyebabkan  penurunan kadar hormon melatonin di dalam badan manusia juga yang akan membawa kepada penurunan daya tahan badan terhadap penyakit.  Seterusya badan menjadi lemah.

5. Apakah fungsi hormon melatonin?.  Hormon melatonin (N-acetyl-5-metoksitriptamin) ialah hormon utama yang berfungsi seumpama jam dalam badan manusia yang mengatur rasa mengantuk untuk tidur dan bangun. Hormon ini dihasilkan sebahagian besar oleh kelenjar pineal dan sebahagian kecil lagi dihasilkan pada retina mata. Tidur dalam keadaan tanpa lampu dan gelap di waktu malam akan menjadikan tidur lebih nyenyak kerana hanya dalam keadaan benar-benar gelap badan kita mudah terangsang untuk menghasilkan hormon melatonin. Hormon ini sensitif kepada cahaya. Jika cahaya gelap, pengeluaran melatonin akan meningkat. Sebaliknya, jika cahaya terang pengeluarannya akan menurun. Kebiasaannya kadar melatonin akan mulai meningkat di pertengahan malam dan mulai menurun menjelang pagi.   Seseorang yang kurang tidur akan memiliki kadar melatonin yang rendah sehingga mengalami gangguan perasaan (mood) seperti mudah marah, cepat gelisah serta mudah letih.

6.  Satu kajian telah dimuatkan dalam  The Journal Sleep Research pada tahun 1995 menyatakan bahwa kafein yang terdapat dalam kopi, teh hitam, minuman bersoda, dan coklat dapat menurunkan kadar hormon melatonin di dalam badan manusia hingga 50% dari kadar biasanya dan ia dapat bertahan selama 6 jam. Oleh yang demikian, janganlah  minum minuman tersebut apabila dekat dengan waktu tidur.

7.   Apakah kesan buruk lain jika hormon melatonin tidak normal?. Beberapa gejala yang mungkin timbul ialah  sukar tidur (insomnia),  sakit kepala, penurunan daya fokus minda dan keletihan.

8.   Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman tentang tidur dalam surah-surah berikut:

8.1.   Al-An’am [Binatang Ternakan](6:60) yang berbunyi:


“Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan, kemudian kepada Allahlah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan”.

8.2.   Al-Anfal[ Harta Rampasan Perang](8:11) berbunyi:



“(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki(mu)”. 

8.3.   Naba’ [Berita Besar]( 78:9) pula berbunyi:


 “Dan Kami jadikan tidurmu untuk beristirehat.”

9.   Sesungguhnya maha benarlah sabda Rasulullah, utusan Allah kepada umat manusia.  Setiap apa jua yang datang dari lidah Rasulullah itu tidak lain melainkan ia adalah wahyu dan petunjuk dari Allah SWT, pencipta alam dan seluruh isinya. Maka berbahagialah orang yang sentiasa mengikuti  sunah Rasulullah dan berada di atas jalan kebenaran yang di bawa olehnya. Sebaliknya rugi besarlah orang yang meremeh dan meninggalkan sunah Rasulullah serta membelakangkan ajarannya.

“Kita pergi ke kedai minum air dan makan nasi, tiba-tiba enggan untuk bayar. Nescaya kita akan dimarahi tuan kedai kerana mahu makan percuma. Itu baru air dan nasi.  Apa kata pula jika kita sebagai manusia duduk di dunia, bernyawa dengan udara yang Allah cipta, melihat dengan mata yang Allah beri, mendengar dengan telinga serta bercakap dengan mulut yang Allah anugerahkan, tiba-tiba kita mahu semuanya dengan percuma tanpa buat kerja untuk Allah SWT.” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment