Thursday, 11 February 2016

AL-QURAN MERAKAMKAN 12 KAUM YANG TELAH ALLAH BINASAKAN (BAHAGIAN 1)



2:21
 
“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”{Petikan dari Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:21)}.

1. Al-Quran adalah kitab yang nyata dan sahih datangnya dari Allah SWT, tuhan pencipta alam dan seluruh isinya.  Ia bukannya rekaan mana-mana manusia. Ini terbukti dengan penjelasan kesah-kesah kaum–kaum terdahulu yang telah dibinasakan oleh Allah SWT kerana kejahatan dan keengkaran mereka mematuhi perintahNya. Kesah-kesah ini telah berlaku ribuan tahun sebelum turunnya Al-Quran kepada Muhammad, Rasulullah SAW.  Adalah mustahil sama sekali bagi Rasulullah untuk mengetahui peristiwa ribuan tahun sebelumnya jika ia bukan datangnya dari Allah SWT.

2.  Untuk posting kali ini, disenaraikan secara ringkas firman-firman Allah dalam Al-Quran tentang kesah enam kaum terdahulu yang telah Allah binasakan.  Enam lagi kesah akan dimuatkan dalam posting berikutnya:
BEKAS KESAN BAHTERA NABI NOH DI BUKIT JUDI
2.1. Kaum Nabi Nuh (Lebih kurang tahun 3,993 Sebelum Masihi hingga 3,043 SM) = Mengikut catatan sejarah Nabi Nuh telah berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun. Tetapi yang beriman kepada Allah hanyalah sekitar 80 orang sahaja. Kaumnya telah mendustakan dan mempermain-mainkan dakwah Nabi Nuh. Hinggakan isteri dan anaknya sendiri menolak dakwah yang dibawanya. Akibatnya Allah telah mendatangkan banjir yang besar yang menenggelamkan semua kaumnya yang engkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh. Kesah ini Allah rakamkan dalam Surah Al-Ankabut[Labah-Labah](29:14) yang berbunyi: 
29:14

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)”.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


2.2.   Kaum Nabi Hud (Lebih kurang tahun 2,450 hingga 2,320 SM)= Nabi Hud diutus untuk kaum ‘Aad. Mereka mendusta dan menolak dakwah Nabi Hud. Akibatnya Allah telah mendatangkan angin yang sangat kencang dan dahsyat yang disertai dengan bunyi guruh menggegar. Akibatnya kaumnya tertimbun dalam pasir dan akhirnya binasa. Kesah ini Allah firmankan dalam  Surah-surah  Al-Qamar (54:18), Fussilat (41:13), An-Najm(53:50), Qaf (50:13) dan At-Taubah (9:70). Dalam Surah Al-Qamar[Bulan](54:18), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
54:18

“(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu!”.
  ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
PERKAMPUNGAN PURBA MADAIN SALEH,ARAB SAUDI
2.3. Kaum Nabi Saleh (Lebih kurang tahun 2,150 SM hingga 2,080 SM) = Nabi Saleh diutuskan oleh Allah kepada kaumnya, Tsamud. Allah telah menganugerahkan Nabi Saleh mukjizat.  Beliau boleh mengeluarkan seekor unta betina dari celah batu. Namun, kaumnya membunuh unta betina tersebut sehingga Allah menimpakan azab kepada mereka.  Kesah ini Allah rakamkan dalam Surah Al-Hijr (15:80), Hud (11:68), Qaf (50:12). Dalam Surah Hud(11:68), Allah berfirman yang berbunyi: 

11:68

“(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.”
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KESAN BEKAS PERKAMPONGAN UMAT NABI LUTH
2.4.   Kaum Nabi Luth  (Lebih kurang tahun 1,950 hingga 1,870 SM)= Kaum Nabi Luth tinggal di kawasan yang bernama Sodom, dekat Laut Mati. Sejarah telah merakamkan kejahatan umat Nabi Luth ialah perlakuan jahat mengadakan hubungan seks sesama jenis atau perbuatan homoseks/sodomi. Perkataan sodomi itu berasal dari perkataan Sodom. Walaupun mereka telah diberikan amaran oleh Nabi Luth, mereka tetap dengan perbuatan hina  dan terkutuk itu dan tidak mahu bertaubat. Akhirnya Allah datangkan  azab kepada mereka.  Ia  berupa gempa bumi yang amat dahsyat dengan disertai angin kencang dan hujan batu.  Akibatnya hancur dan binasalah rumah-rumah mereka. Kaum Nabi Luth ini akhirnya tertimbun di bawah runtuhan rumah mereka sendiri.  Peristiwa dahsyat ini Allah SWT rakamkan dalam firmanNya dalam Surah-surah Al-Syu’ara (26:172 dan 173), An-Naml (27:54).  Dalam Surah Al-Syu’ara [Permuafakan](26:172), Allah berfirman yang berbunyi:


26:172




“Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut)”.

          (26:173)

 26:173

“Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran”.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KAWASAN LEMBAH PENEMPATAN NABI SYUAIB

2.5. Kaum Nabi Syuaib (Lebih kurang tahun1,600 hingga 1,490 SM) = Allah mengutuskan Nabi Syuaib kepada kaum Madyan. Kaum ini telah dihancurkan oleh Allah kerana mereka suka melakukan penipuan dan kecurangan dalam urusan jual beli dan perdagangan. Apabila membeli, mereka minta dilebihkan dan apabila menjual mereka selalu menguranginya. Allah menurunkan azab kepada mereka berupa cuaca panas yang teramat sangat. Walaupun mereka berlindung di tempat yang teduh, namun ia tidak mampu menghilangkan rasa panas. Akhirnya, mereka telah dibinasakan oleh Allah. Peristiwa ini Allah rakamkan dalam firmanNya dalam surah-surah At-Taubah (9:70) dan Al-Hajj(22: 44). Dalam surah At-Taubah [Pengampunan] (9:70), Allah berfirman yang berbunyi: 
 
 9:70


“Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan?. (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
MUMIA JASAD FIRAUN YANG TERSIMPAN DI MUZIUM MESIR
2.6.   Firaun dan Kaum Bani Israel =  Allah telah mengutuskan Nabi Musa  (Lebih kurang tahun 1,527 hingga 1,407 SM) untuk memberi peringatan kepada Firaun akan azab Allah. Firaun telah mengengkarinya malah mengaku pula sebagai tuhan serta mencabar Nabi Musa. Firaun dan pengikutnya yang kufur kepada Allah telah ditenggelamkan dan mati di Laut Merah. Kejadian ini Allah khabarkan dalam surah Al-Baqarah (2:50) dan Yunus (10:92). Dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:50), Allah berfirman yang berbunyi:
 2:50

“Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya”.

"Bila sebut Allah, Allah itulah yang buat langit yang kita junjung, bumi yang kita pijak dan udara yang kita gunakan. Allah itu jugalah yang buat bangsa-bangsa yang ada di dunia ini, tujuannya untuk berkenalan-kenalan antara satu sama lain bukannya untuk bermegah-megah dengan darah keturunan kita..." = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment