Friday, 5 February 2016

BUQA’AWIYYA : 'SAHABAT' RASULULLAH YANG MASIH HIDUP HINGGA KINI


20:23
“Berlakunya yang demikian itu kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar”. {Petikan dari Surah Taha(20:23)}.

1.   Buqa'awiyya adalah sebatang pokok yang dikatakan pernah melindungi Rasulullah SAW dari panas terik matahari.  Dengan izin Allah SWT pokok ini dikatakan masih hidup hingga kini dan sudah berumur ribuan tahun lamanya. Sebab itu ia dipanggil "the only living sahabi" atau "sahabat Nabi yang masih hidup".

2.  Sejarah pokok Buqa'awiyya:

2.1.   Pokok ini terletak di tengah padang pasir bernama Buqa'awiyya di negara Jordan. Dari segi geografi, ia berdekatan dengan kota Bosra di Syria. Kita telah maklumi bahawa Rasulullah SAW telah dua kali tiba di Bosra.  Kali  pertama ketika baginda mengikuti kafilah dagang bersama bapa saudaranya, Abu Talib ketika berusia 12 tahun dan bertemu dengan Rahib Buhaira.  Rahib tersebut telah melihat tanda kerasulan Rasulullah di belakang bahunya sepertimana tercatat dalam kitab Injil tentang tanda kerasulan nabi akhir zaman.

2.2.   Ketika Rasulullah SAW keluar ke Syam bersama Maisarah, iaitu pekerja Sayyidatina Khadijah untuk berniaga, Rasulullah pernah berteduh di bawah pohon ini sebelum sampai ke sana. Semasa Rasulullah berteduh di bawahnya, dahan dan ranting-ranting pokok ini bergerak menaungi baginda daripada cahaya matahari. Seorang paderi yang melihat kejadian ini datang bertemu Maisarah dan menunjukkan kepadanya pokok tempat Rasulullah berteduh itu dengan berkata: "Hanya seorang Nabi sahaja yang berteduh di bawah pohon ini."

3.  Apa yang menariknya ialah selepas dari tanah Tabuk hingga ke Bosra sejauh lebih 500 km. dikatakan kita tidak akan berjumpa dengan pokok seperti itu. Sampai hari ini ia tetap subur walaupun berada di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Tiada tumbuhan hidup sepertinya. Itulah tanda kebesaran Allah yang berkuasa menghidupkannya dengan kehendakNya. Subhanallah.

 
                    Pokok Buqa'awiyya
“Bila kita membeli belah di kedai, kita tukarkan duit dengan barang. Oleh yang demikian kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata.  Sebaliknya, sedarkan kita apabila kita taburkan duit untuk kebaikan, ia seperti kita membeli pahala dengan duit kita.  Walaupun pahala ini benda yang tidak nampak, tetapi itulah duit kita di akhirat.” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin  Nik Mat.

No comments:

Post a Comment