Wednesday, 17 February 2016

HARTA KEKAYAAN DUNIA BUKAN UNTUK BERMEGAH-MEGAH

1. Dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:14) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:

3:14


“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”.

2.   Firman di atas menjelaskan bahawa salah satu dari perkara yang sangat diminati manusia ialah harta benda untuk kesenangan dunia. Walau bagaimanpun perlulah  dingati bahawa matlamat hidup bagi orang Islam bukanlah hidup di dunia ini melainkan akhirat.  Sesungguhnya dunia ini hanyalah jambatan untuk kita mencapai akhirat. 

3.   Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-banga kepada orang lain, untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama, walaupun dengan cara yang halal, dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT akan sangat murka terhadapnya. Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal bertujuan supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk mencari rezeki kepada ahli keluarga dan supaya dia mampu melakukan kebajikan kepada jiran tetangga, maka pada hari kiamat dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan wajahnya bercahaya seperti bulan purnama." (Hadis Riwayat Al-Baihaqi).

4.  Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa bekerja dan berusaha untuk mencari kekayaan dunia yang halal tidak di larang oleh agama malah ia dikira sebagai ibadah.  Namun tujuan kekayaan yang diperolehi itu bukan untuk bermegah-megah dan berbangga bagi mendapat nama dan pujian. Sesungguhnya sifat bermegah-megah ini adalah sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah SWT.

5.   Allah melarang manusia bermegah dengan kekayaannya. Dalam Surah Al-Qashah [Kesah-Kesah](28:76) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:
 28:76

“Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)”.

6.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi daripada sifat takbur" (Hadis Riwayat Muslim). Dalam hadis yang lain, dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka”. (Hadis Riwayat Bukhari).

7.   Selagi manusia tidak memiliki sifat qanaah dan bersyukur, mereka tidak akan cukup dengan harta yang berlimpah ruah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka. Abdullah bin Zubair berkata Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Kalaulah anak Adam ini diberi satu lembah daripada emas, nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang kedua. Dan sekiranya diberi lembah kedua nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang ketiga. Dan sentiasa tidak akan merasa cukup perut anak Adam ini kecuali dipenuhi dengan tanah (iaitu setelah mati). Namun satu rahmat Allah terhadap hambaNya, dari mencintai harta dunia kepada mencintai Allah (Dengannya didunia ini Allah memberi ketenangan dan memelihara dari sifat tamak dan rakus dari mengumpul harta)”. (Hadis Riwayat Bukhari).

8.  Semua harta yang diperolehi adalah amanah dari Allah SWT. Di dalamnya terdapat hak-hak orang lain yang perlu ditunaikan. Ia perlu diinfakkan dijalan Allah SWT seperti untuk kegiatan dakwah, pembinaan masjid, sekolah agama, di sedekahkan kepada fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan. Harta yang diperolehi pula perlu dibersihkan dengan cara membayar zakat jika telah cukup nisab dan haulnya.

9.  Marilah kita muhasabah diri masing-masing.  Bersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah seperti riak, sombong, takabur.  Jika tidak berhati-hati dibimbangi akhlak kita akan rosak dengan sifat suka bermegah-megah dengan harta benda dunia yang sementara. 

"Ilmu itu tumpang menumpang, murid menumpang ilmu guru, guru juga turut menumpang kebijaksanaan muridnya. Itulah dia 'taawun' iaitu saling mengambil manfaat antara satu sama lain" = Mutiara Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment