"Sesungguhnya
pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu
bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat
dan orang yang banyak mengingati Allah". {Petikan dari Surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:21)}
“Dan
tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi
semesta alam”. {Petikan dari Surah Al-Anbiyaa[Para Nabi](21:107)}.
1. Rasulullah SAW mengajar kita orang Islam untuk makan
menggunakan tangan. Tangan itu pula ialah tangan kanan. Ibn Umar meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu hendak makan, hendaklah kamu makan dengan tangan kanan,
dan apabila hendak minum, minumlah dengan tangan kanan, kerana syaitan makan
dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri.” (Hadis Riwayat Muslim).
2. Berkaitan dengan amalan menjilat jari ini Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud; “Apabila
seseorang dari kamu makan, maka jilatlah jari-jarinya kerana kamu tidak tahu di
bahagian jari manakah keberkatan itu berada.” (Hadis Riwayat Muslim). Kaab
bin Malik berkata; “Aku telah melihat Rasullullah SAW sedang makan dengan tiga
jari dan apabila selesai, Rasullullah menjilat jarinya.”
3. Rasulullah makan menggunakan tiga jari sahaja kerana jenis
makanan Rasulullah mungkin tidak berkuah yang perlu menggunakan semua jari.
Selesai makan pasti baginda akan menjilat jarinya. Bagi kita di Malaysia amalan
menggunakan tiga jari mungkin tidak sesuai bagi jenis-jenis makanan tertentu
yang berkuah.
4. Kebaikan makan menggunakan tangan ini telah saya huraikan dalam
posting bertajuk “Kenapa Islam Ajar Makan Guna Tangan” bertarikh 11.1.2016.
Selain dari mengajar umatnya makan menggunakan tangan kanan, Rasulullah juga turut
mengajar agar menjilat jari selepas makan.
Apakah hikmah atau kebaikannya. Kita tidak mengetahui secara mendalam
selain dari bertujuan agar tidak membazirkan makanan yang merupakan rezeki dari
Allah. Walaupun begitu kita yakin setiap
yang diajar oleh Rasulullah itu wajib ada kebaikannya kerana hakikatnya ia
adalah dari Allah SWT jua. Bukankah Rasulullah diutus oleh Allah untuk menjadi role model kepada umat manusia
seluruhnya.
5. Dikatakan pengkaji dalam bidang sains telah
mengesahkan bahawa pada setiap jari itu mengandungi enzim dan asid yang boleh membantu
untuk menghadam makanan. Ingat lagikah pesan orang tua-tua kita supaya jangan
mengambil makanan dalam periuk menggunakan jari tangan kerana ia dikatakan cepat
basi. Kita diajar mengambilnya
menggunakan sudu ataupun senduk.
6. Jadi kebaikan menjilat jari itu ialah untuk memudahkan penghadaman
makanan. Subhanallah. Islam itu adalah
agama yang serba lengkap. Setiap ajaran
dari Rasulullah pasti ada kebaikannya. Namun kita hari ini malu untuk menjilat
jari kerana takut dikatakan pelahap dan tidak cukup makan. Bukankah mengamalkan setiap sunnah Rasulullah
itu mendapat ganjaran pahala?. Barangkali kita lebih rela tidak mendapat pahala asalkan tidak dilihat pelahap.
Begitukah?.
7. Bagaimana jika kita sama-sama memulakan amalan sunnah
Rasulullah ini setiap kali selepas makan.
Benarkah kita sayangkan Rasulullah?.
Orang yang benar-benar sayang dan kasihkan Rasulullah akan berbuat apa
sahaja perkara yang diamalkan oleh Rasulullah.
"Perbezaan
yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu.
Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar. Binatang ternakan
contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh
mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia,
sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangan dengan lebih meluas." =
Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
No comments:
Post a Comment