1. Setiap orang Islam pastinya teringin untuk melihat wajah Allah
SWT. Bolehkah manusia melihat wajah Allah SWT. Jawabnya boleh. Tetapi bukan semasa di dunia ini melainkan
tatkala manusia berada dalam syurga. Tatkala semua penghuni syurga sedang
menikmati keseronokan dan kelazatan hidup dalam syurga maka Allah SWT memberikan salam kepada
penghuni syurga. Ketika inilah seluruh
penghuni syurga mendongakkan kepala mereka dan melihat wajah Allah SWT
sehinggakan mereka lupa seketika nikmat syurga kerana nikmat melihat wajah
Allah SWT melebihi dari segala-galanya. Dalam konteks ini Allah SWT berfirman dalam Surah Yaasin (36:55)
yang berbunyi:
“Sesungguhnya
penduduk Syurga pada hari itu berada dalam keadaan sibuk leka menikmati
kesenangan.”
(36:56)
“Mereka
dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk
berbaring di atas pelamin.”
(36:57)
“Mereka
beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja
yang mereka kehendaki.”
(36:58)
“(Mereka
juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”
2. Melihat wajah Allah disyurga adalah ibarat melihat bulan
purnama. Ia adalah hadiah paling mulia dan paling tinggi dari Allah untuk seluruh penghuni syurga.
Dalam Surah Yunus(10:26) pula Allah
SWT berfirman yang berbunyi:
“Untuk
orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan
serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak
diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga,
mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.”
3. Apakah yang dimaksud dengan perkataan satu tambahan yang mulia dalam
ayat di atas?. Dalam konteks ini Rasulullah SAW menjelaskan ayat ini dengan bersabda:
“Ketika penduduk syurga telah memasuki syurga,
Allah SWT akan bertanya pada mereka. ‘Wahai hamba-hamba-Ku, apakah kamu semua
bahagia?’. Penduduk syurga akan berkata ‘Ya Allah, kami bahagia.” Allah akan
berfirman: ‘Wahai hamba-hambaKu, apakah ada lagi yang kamu semua inginkan?’
Penduduk syurga akan berkata “Apakah ada lagi yang kami inginkan melebihi ini
ya Allah? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga?’. Kemudian
Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT
akan membuka tabir/hijabnya. Penduduk syurga akan dapat memandang wajah Allah
SWT. Mereka tidak akan merasakan kenikmatan yang lebih baik dan lebih mulia
daripada memandang wajah Allah SWT. Kenikmatan itu melebihi dari kenikmatan dan
kelazatan lain dalam syurga. Dan inilah yang dimaksudkan dengan ‘satu tambahan
yang mulia’ dalam ayat di atas.
4. Ketika memandang wajah Allah yang bercahaya, muka penghuni
syurga akan menjadi berseri-seri dan bercahaya.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qiyamah[Hari
Kiamat](75:22) yang berbunyi:
“Pada
hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri.”
(75:23)
“Melihat
kepada Tuhannya.”
5. Wajah penghuni syurga menjadi bersinar terang kerana memandang wajah Allah.
Perkara ini menunjukkan bahawa memandang
wajah Allah SWT adalah rahmat terbesar yang diberikan kepada penghuni syurga. Wajah
Allah SWT dijelaskan sebagai Dzul jalali wal ikram. Jalal bererti
kebesaran/kehormatan dan ikram berarti kemuliaan. Wajah Allah adalah wajah
kehormatan dan wajah kemuliaan. Sesiapa yang melihat wajah itu telah diberi
kehormatan dan kemuliaan yang tidak dimiliki orang lain.
6. Semasa hidup ini apakah kita ada kemahuan dan pernah berangan-angan
untuk melihat wajah Allah?. Bagaimanakah
agaknya rupa wajah Allah yang sebenar yang tidak menyamai dengan semua makhluk yang
ada di muka bumi. Yang tidak menyerupai
dengan semua perkara yang mampu dibayangkan oleh pemikiran manusia. Jika ada kemahuan itu maka berusahalah,
beramallah dengan amalan yang soleh bagi membolehkan kita menjadi salah seorang
penghuni syurga Allah. Peliharalah iman
dan akidah kita. Jangan sama sekali akidah
kita tergelincir hingga menjadi kafir tanpa disedari.
"Kunci
dunia ialah kenyang manakala kunci akhirat pula adalah lapar". - Mutiara Kata Abu
Sulaiman ad-Darani, ulama sufi.
No comments:
Post a Comment