1. Setiap orang yang beriman tentunya berharap dan bercita-cita
untuk menjadi hamba Allah SWT yang paling baik, beriman dan bertaqwa kepadaNya.
Namun demikian tidaklah mudah untuk mencapainya. Ini kerana penilaiannya
bukanlah dari sudut pandang manusia melainkan penilaian dari Allah SWT yang
diberitahu sendiri oleh kekasihNya, Rasulullah SAW. Terdapat lapan kumpulan
manusia yang terbaik seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Kumpulan-kumpulan itu ialah orang-orang yang:
1.1. BELAJAR
AL-QURAN DAN MENGAJARKANNYA.
1.1.1.
Al-Quran adalah qalam Allah SWT. Mengapakah
belajar dan mengajar Al-Quran akan mendapat kedudukan yang mulia di sisi
Allah SWT?. Jawabnya ialah kerana tidak ada kitab yang paling lengkap dan
sempurna di atas muka bumi ini untuk menjadi panduan hidup manusia melainkan
Al-Quran. Al-Quran yang merupakan kitab suci telah diturunkan oleh Allah SWT kepada
Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril. Di dalamnya terkandung semua hukum
hakam dan panduan untuk kehidupan manusia. Allah telah berjanji untuk
memberikan pahala kepada pembacanya. Sesiapa
yang membaca satu huruf darinya akan mendapat ganjaran pahala 10 kali ganda.
1.1.2.
Al-Quran bukan sekadar sebuah kitab panduan.
Ia juga merupakan kitab petunjuk, kitab peringatan, kitab kemuliaan,
kitab kerahmatan, kitab kebenaran, kitab kemenangan, kitab penyembuhan, malah
kitab kesatuan. Al-Quran bukan seperti mana-mana buku yang ditulis oleh manusia
bahkan ia terlalu agung untuk disamakan dengan mana-mana karya manusia, betapa
hebat manapun manusia itu.
1.1.3. Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia mengesa/mentauhidkan Allah SWT.
Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan alam oleh Allah dan bagaimana alam
yang sangat kompleks ini ditadbirkan oleh penciptaNya yang maha agung. Dengan
memahami Al-Quran manusia mampu mengenali sifat-sifat Allah yang maha mulia. Al-Quran turut memuatkan
contoh teladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya
Al-Quran dan pada masa Al-Quran diturunkan. Dengan itu manusia mendapat
pengajaran dan panduan bagi mengharungi kehidupan sebagai seorang Islam sejati.
1.1.4. Apakah yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW tentang kelebihan membaca
Al-Quran:
(a) “Orang yang mahir dengan Al-Quran akan
bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam
keadaan kepayahan dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan).”(Hadis
Riwayat Muslim)
(b) “Bacalah Al-Quran kerana ia akan datang pada
hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat
Muslim)
(c) “Sebaik-baik
kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
1.2. MENUNTUT ILMU DAN PALING BAIK AKHLAKNYA
1.2.1.Dalam Surah Az-Zumar[Rombongan](39:9), Allah SWT telah menegaskan adanya perbezaan antara orang yang menuntut ilmu dan tidak. Firman Allah itu berbunyi:
“Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih
beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan
berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat
Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan
orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah
yang dapat menerima pelajaran.”
1.2.2. Kita lihat pula apakah sabda
Rasulullah SAW tentang dua perkara ini:
(a) “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut
ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu
kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah
dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun
kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka
di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)
(b)
Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud:“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik akhlaknya dan jika mereka
menuntut ilmu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
(c) Abu
Darda berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari
kiamat daripada husnul khulq (akhlak yang baik).” (Hadis Riwayat Tirmidzi).
(d) Saiyidatina
Aisyah berkata, Aku telah mendengar
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Sesungguhnya
seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu
sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam'.” (Hadis
Riwayat Abu Daud)
1.2.3. Akhlak yang mulia adalah gambaran atau
pancaran dari iman yang sempurna. Iman yang tidak disertai oleh akhlak yang
baik adalah tidak bernilai.
1.2.4. Menuntut ilmu pula adalah satu kewajipan
setiap mukmin. Sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu dia seolah-olah sedang berjalan
menuju ke syurga Allah.
1.3. PANJANG USIA DAN BAIK AMALANNYA.
1.3.1.
Manusia selalu bermohon kepada Allah SWT supaya dipanjangkan usianya. Usia panjang
adalah merupakan kurniaan dari Allah. Orang yang paling bertuah ialah orang
yang dikurniakan usia yang panjang dan hidup dalam keadaan sentiasa mentaati
perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Usianya ialah usia yang diberkati
Allah. Sebaliknya orang yang paling celaka ialah orang panjang usia tetapi
hidupnya dalam keadaan berbuat maksiat dan dosa kepada Allah, melanggar
perintahNya. Orang seperti ini seolah-olah sedang menempah tiket untuk masuk
neraka Allah. Orang seperti ini perlu ingat bahawa kelebihan dirinya yang
berusia panjang, banyak harta dan sihat tubuh badan adalah merupakan istidraj
(kemurkaan) daripada Allah. Jika sampai saatnya Allah akan cabut nyawanya dalam
keadaan berbuat dosa. Matinya mati su'ul
khatimah. Waliyya zubillah.
1.3.2. Abdullah bin Busr berkata bahawa ada
seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah
sebaik-baik manusia?.” Rasulullah menjawab: “Siapa
yang paling panjang usianya dan baik amalannya.” (Hadis riwayat Tirmidzi).
1.4. PALING DIHARAPKAN KEBAIKANNYA DAN SANGAT KURANG KEBURUKANNYA.
Orang yang seperti ini dijelaskan oleh
Allah SWT dan juga Rasululah SAW seperti berikut:
1.4.1. Dalam Surah Az-Zumar[Rombongan](39:10) Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang
beriman. bertakwalah kepada Tuhanmu". Orang-orang yang berbuat baik di
dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya
hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.
1.4.2.
Berkaitan dengan kebaikan seseorang ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang Allah menghendaki
kebaikan kepadanya, nescaya Dia akan menjadikannya faham dalam agama."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dengan kefahaman dalam hal agama yang Allah
berikan ini, seseorang itu akan dapat melakukan amal soleh. Hal ini sudah pasti
memberi kebaikan kepadanya kerana hidupnya akan diisi dengan ibadat kepada
Allah SWT.
1.4.3.
Dalam hadis lain, Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW berdiri di hadapan
beberapa orang, lalu bersabda: “Mahukah
kamu aku beritahukan sebaik-baik dan seburuk-buruk orang dari kamu?.” Mereka
terdiam dan Rasulullah bertanya seperti itu tiga kali, lalu ada seorang yang
berkata: “Ya, kami mahu wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami
sebaik-baik dan seburuk-buruk kami.” Rasulullah
bersabda: “Sebaik-sebaik kamu adalah
orang yang diharapkan kebaikannya sedangkan keburukannya terjaga…” (Hadis
Riwayat Tirmidzi).
1.4.4. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa beriman dengan Allah dan hari
kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa
beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya,
sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang
baik ataupun diam”. (Hadis Riwayat Muslim).
2. Alangkah bahagianya hidup kita ini sekiranya kita termasuk
dalam 4 kumpulan manusia yang telah di kategori oleh Rasulullah SAW sebagai
orang yang terbaik mengikut perspektif Allah dan Rasulullah. Justeru, apa yang perlu
kita buat. Berusahalah setakat yang kita
mampu untuk termasuk dalam kumpulan pilihan ini. Mudah-mudahan syurga akan
menjadi tempat kediaman kita nanti.
“Syaitan lebih suka untuk menyesatkan orang yang alim daripada
orang jahil kerana orang alim apabila sesat maka dia akan turut menyesatkan
orang lain dengan kejahilannya sedangkan orang jahil tidak begitu” – Mutiara
Kata Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad al-Husaini
No comments:
Post a Comment