1. Sejarah telah merakamkan bahawa peristiwa Israq dan Mikraj Rasulullah
SAW telah terjadi pada 27 Rejab tahun ke12 kerasulan baginda. Tarikh ini
bersamaan dengan tahun 622 Masihi iaitu ketika Rasulullah berumur 52 tahun. Ia berlaku setahun sebelum hijrah Rasulullah dan sahabat dari Makkah ke Madinah. Dalam peristiwa tersebut Rasulullah
telah ditunjukkan oleh Allah SWT pelbagai perkara aneh yang semuanya mempunyai
maksud tertentu. Salah satu darinya
ialah Rasulullah telah di bawa melihat syurga dan neraka.
2. Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dalam hadis-hadis berikut tentang kaum wanita yang dikatakan lebih ramai menghuni neraka:
2.1. Dari Ibnu Abbas bahawa dalam khutbah yang
disampaikan Rasulullah ketika terjadi gerhana matahari, Rasulullah SAW telah bersabda
yang bermaksud: “Aku melihat neraka, dan
aku melihat sebahagian besar penghuninya adalah wanita.”
2.2. Dari Abu Said al-Khudri pula katanya Rasulullah
SAW telah bersabda yang bermaksud: “Wahai
kaum wanita, bersedekahlah kerana aku telah melihat bahawa kamu (wanita)
merupakan sebahagian besar penduduk neraka.” Mereka bertanya, “Kenapa jadi begitu
wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Kerana
mereka terlalu banyak mengumpat dan tidak berterima kasih atas
kebaikan-kebaikan yang telah diberikan kepada mereka.”
2.3. Dari Usamah ibn Zaid bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Aku berdiri di depan
pintu neraka dan melihat sebahagian besar orang yang masuk ke dalamnya adalah
wanita.”
2.4. Dari ‘Imran ibn Hushain bahawa Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Sedikit sekali
jumlah wanita yang menjadi penduduk syurga.”
3. Adakah sabda Rasulullah ini bertentangan dengan kenyataan bahawa
setiap lelaki di syurga akan mempunyai lebih dari seorang isteri. Jawabnya tidak bertentangan. Ini kerana apa yang dimaksud dengan wanita merupakan majoriti penduduk neraka adalah
wanita-wanita dari keturunan Adam, sedangkan wanita-wanita yang menjadi isteri-isteri
lelaki di syurga adalah terdiri dari wanita-wanita dari kalangan al-hur al-‘ain
(bidadari).
4. Imam Al-Qurthubi dalam kitabnya berjudul Al-Tazkirah I, muka
surat 369 telah menulis; “Jumlah wanita yang menjadi penduduk syurga
sedikit kerana pada umumnya kaum wanita lebih menggemari kesenangan yang terus
dapat mereka nikmati dalam kehidupan di dunia ini. Mereka kurang bijak dan kurang mampu mengingati
akan adanya hari kiamat kelak. Mereka lemah untuk menghadapi hal itu, dan lebih cenderung
kepada kehidupan di dunia ini. Kaum wanita juga merupakan faktor paling kuat di
dunia ini untuk mengalihkan perhatian kaum lelaki dari mengingati hari
kiamat. Ini kerana kaum lelaki lebih gemar
menyangangi mereka padahal mereka kurang peduli dengan hari kiamat. Mereka
cepat terpengaruh dan mengikuti orang yang menyeru mereka untuk berpaling dari
Islam serta enggan mengikuti orang-orang soleh yang menyeru mereka untuk
mengingat hari kiamat dan melakukan amal-amal baik.”
5. Walau pun demikian masih terdapat wanita beriman yang berada
dalam batas-batas yang ditetapkan oleh Allah SWT seperti mematuhi hukum-hukumNya, mentaati perintah
Allah dan RasulNya. Wanita seperti ini pasti akan masuk syurga. Malah ada di kalangan
mereka yang lebih tinggi mertabatnya
daripada lelaki samada dari segi keimanan mahu pun mengerjakan amalan yang baik. Di
antara wanita yang beriman itu mereka mendapat darjat yang tinggi ketika
melakukan amal-amal kebaikan kepada Allah. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan
amal-amal kebaikan yang dilakukan oleh seseorang samada lelaki atau perempuan.
Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran](3:195) yang berbunyi:
“Maka
Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak
akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada
lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari
setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan
ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang
disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang
berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam
perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan
sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah
pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.
6. Allah SWT tetap tidak membezakan wanita dengan lelaki. Bagi
wanita solehah mereka tetap mendapat keampunan dan pahala dariNya seperti
firman Allah dalam Surah Al-Ahzab[Perang
Ahzab](33:35) yang berbunyi:
“Sesungguhnya
orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan
orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan
orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan
orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan
orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan
orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang
perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang
bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki
yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki
yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara
kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak
serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah
menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
7. Dua firman Allah di atas membuktikan bahawa Allah tidak menganiayai
sedikitpun kaum wanita. Setiap amal baik dan buruk mereka akan diadili dengan
seadil-adilnya. Seorang wanita solehah pasti akan berusaha untuk mendapatkan syurga
seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
Mereka sekali-kali tidak akan melebihkan dunia berbanding akhirat yang
kekal abadi.
8. Sabda-sabda Rasulullah di para 2.1. hingga 2.4 di atas
sewajarnya selalu menjadi peringatan kepada kaum wanita agar mereka tidak
tergelincir masuk ke dalam neraka. Nauzubillah himinzalik. Mereka perlu
melakukan amalan soleh lebih banyak jika mahu menjadi ahli syurga.
Peliharalah iman
kamu dengan memperbanyakkan sedekah, bentenglah hartamu dengan mengeluarkan
zakat dan tolaklah gelombang bencana bala dengan sentiasa berdoa kepada Allah –
Mutiara Kata Saidina Ali bin Abi Thalib
Sebahagian kandungan dipetik dari lampuislam.org
Sebahagian kandungan dipetik dari lampuislam.org
No comments:
Post a Comment