Monday, 12 October 2015

HIDUP YANG DIPENUHI UJIAN KEIMANAN DARI ALLAH SWT

1.  Sesungguhnya kita perlu menyakini bahawasanya kehidupan kita di dunia ini akan dipenuhi dengan ujian dan dugaan dari Allah SWT. Ujian ini tidak lain melainkan untuk Allah mengetahui manakah hamba-hambanya yang benar-benar beriman dan berserah kepada qada’ dan qadarNya dan mana yang tidak. Ini adalah kriteria penting untuk melayakkan seseorang itu masuk syurga Allah. Kita hanyalah manusia biasa sahaja di sisi Allah SWT.  Para nabi dan rasul pilihan Allah pun diuji dengan ujian keimanan yang hebat, terutamnya para ulul azmi (nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad).  Justeru apakah kita boleh lari dari ujian ini. Ujian kepada manusia ini telah Allah telah difirmankan dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:214) yang berbunyi:


“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”.

2.  Apabila manusia diuji oleh Allah, lazimnya manusia akan bertanya beberapa soalan. Berikut ini ialah beberapa persoalan tentang ujian keimanan dari Allah SWT dan penyelesaiannya yang telah Allah sediakan dalam Al-Quran:

2.1.  KENAPAKAH AKU DIUJI?

Lazimnya orang yang diuji akan bertanya kenapakah aku yang diuji?.  Kenapa tidak orang lain.  Jika terkena orang lain bukankah bagus. Perlu disedari bahawa setiap dari manusia akan diuji oleh Allah SWT.  Tujuan ujian ialah untuk mengetahui tahap keimanan sesoramg manusia kepada Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Ankabut[Labah-Labah](29:2) yang berbunyi:


“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?.”

(29:3)


“Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

2.2.  KENAPA BERATNYA UJIAN YANG AKU TERIMA.

Kecenderungan orang yang diuji ialah untuk bertanya. Kenapakah beratnya ujian ini?. Rasa tidak mampu menanggungnya. Ketahuilah bahawa Allah SWT itu tidak sama sekali menzalimi hamba-hambanya. Ujian itu pastinya setimpal dengan kemampuan hambanya untuk menghadapinya. Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:286), Allah berfirman yang berbunyi:


“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

2.3.  KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU HAJATKAN?

Janganlah kita bersedih kerana hajat yang diingini tidak kesampaian.  Yakinlah bahawa Allah mengetahui apa yang baik dan buruk untuk kita, apa yang layak dan serasi untuk kita dan apa pula yang tidak. Bukankah Allah yang mencipta kita?. Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:216), Allah berfirman yang berbunyi:


“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

2.4.  KENAPA AKU MERASA LEMAH DAN BERSEDIH HATI?

Adalah menjadi kelaziman bagi orang yang diuji oleh Allah SWT untuk berasa lemah, putus harapan dan bersedih hati. Allah SWT telah memberikan semangat dan dorongan kepada orang yang diuji seperti firmanNya dalam surah-surah berikut:

2.4.1. Ali Imram[Keluarga Imran](3:139) yang berbunyi: 
 

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.

                   2.4.2.  Az-Zumar[Rombongan](39:53) yang berbunyi:


Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

          2.5. BAGAIMANAKAH HARUS AKU HADAPI UJIAN INI?

Bagi memujuk manusia yang diuji agar bersabar dengan ujianNya, Allah SWT telah berfirman dalam surah-surah berikut:

2.5.1.          Al-Baqarah [LembuBetina](2:45) yang berbunyi:
  

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk". 

2.5.2. Ali Imran[Keluarga Imran](3:200) yang berbunyi:


"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

2.6.  KEPADA SIAPAKAH AKU PERLU BERHARAP?

Tidaklah salah untuk kita mengharapkan pertolongan sesama manusia ketika dalam kesusahan. Ia tidak ditegah dalam agama.  Namun sebaik-baiknya ialah memohon pertolongan dari Allah SWT. Jika hati kita telah bulat berserah kepada Allah, insya Allah, Allah akan memberikan kedamaian dan ketenteraman kepada jiwa dan emosi kita. Dalam Surah At-Taubah[Pengampunan](9:129) Allah SWT berfirman yang berbunyi:

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakal."
 
2.7. APAKAH BALASAN ALLAH SWT KEPADA HAMBA-HAMBANYA YANG SABAR?

Ganjaran besar yang menanti orang yang bersabar dengan ujian Allah SWT tidak lain melainkan syurga yang kekal abadi  selama-lamanya. Apakah kita tidak berhajat kepada syurga?.  Lihatlah jaminan Allah SWT seperti dalam firmanNya dalam Surah AtTaubah[Pengampunan](9:111) yang berbunyi:


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar”.

3.  Seorang mukmin sejati tidak akan mudah goncang dengan ujian dari Allah SWT. Mereka percaya sepenuhnya rukun Islam yang enam, terutamanya tentang percaya kepada qada’ dan qadar Allah. Mereka sentiasa bersikap berbaik sangka (husnul zan) terhadap takdir Allah SWT kerana menyakini setiap kejadian itu mengandungi hikmah dan kebaikan yang tidak dapat difikirkan oleh akal manusia.

 “Orang yang paling aku sukai adalah orang yang menunjukkan kesalahanku”. ~ Mutiara kata Khalifah ‘Umar Al Khattab

No comments:

Post a Comment