Thursday, 8 October 2015

PANTUN DUA KERAT - "BILA KITA INGATKAN MATI"

SENTIASALAH MENGINGATI 'ISTANA' INI YANG PASTI MENJADI MILIK KITA SATU HARI NANTI
 



“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”. Petikan dari Surah Al-Imran[Keluarga Imran](3:185)

 
1. Takut dan merasa gerunlah kepada azab saat sakratul maut kerana ia adalah benar. Sesungguhnya azab kubur, pengadilan di Padang Mahsyar,  mizan, titian siratal mustaqim, balasan syurga dan neraka itu adalah benar. Permulaan kepadanya ialah kematian.  Oleh kerana kematian ini perkara yang sangat besar maka Allah telah berfirman tentang mati dalam Al-Quran sebanyak 37 kali.  Firman-firman itu ialah dalam surah-surah Al-Baqarah (surah ke 2: ayat 19, 28, 95, 132,161, 180 dan 243), Ali Imran (3:102, 145, 168 dan 185), An-Nisa’ (4:78), Al-An’am (6:2, 61, 93 dan 122), Yunus (10:49), Al-Hijr (15:99), Al-Anbiyaa (21:34 dan 35), Al-Mukminun (23:15, 90 dan 100), Luqman (31:34), As-Sajadah (32:11), Al-Ahzab (33:16),  Az-Zumar (39:30 dan 42), Ad-Dhukhan (44:35), Muhammad (47: 20 dan 27), Al-Waqiaah (56:60), Al-Jumaah (62:7 dan 8), Al-Munafiqun (63:10 dan 11) dan Al-Haqqah (69:27).

 
2.  Rasulullah SAW juga banyak bersabda tentang kematian ini. Salah satunya ialah yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingat kematian. Seorang hamba yang banyak mengingat mati maka Allah akan menghidupkan hatinya dan diringankan baginya akan sakitnya saat kematian”. (Hadis Riwayat Ad-Dailami).

3.   Di bawah ini saya ingin berkongsi pantun dua kerat berkaitan kematian dengan para pembaca blog saya.  Semoga kita beroleh kebaikan darinya:

Bila kita ingatkan mati
Tiada lagi hasad dan dengki

Bila kita ingatkan mati
Kita tidak pentingkan diri

Bila kita ingatkan mati
Kita boleh buangkan benci

Bila kita ingatkan mati
Semua orang kita ampuni

Bila kita ingatkan mati
Kita selalu insafi diri

Bila kita ingatkan mati
Kita bersedekah banyak lagi

Bila kita ingatkan mati
Kita akan saling menasihati

Bila kita ingatkan mati
Kita telah menghidupkan hati

Bila kita ingatkan mati
Fakir miskin pasti dicari

Bila kita ingatkan mati
Tiada lagi kesedihan dihati

Bila kita ingatkan mati
Kita berlumba untuk berbakti


Bila kita ingatkan mati
Kita akan saling mencintai

Bila kita ingatkan mati
Hidup menjadi lebih bererti

Bila kita ingatkan mati
Kita beribadat sepenuh hati

Bila kita ingatkan mati
Tiada lagi caci mencaci

Bila kita ingatkan mati
Masjid surau pasti dipenuhi

Bila kita ingatkan mati
Amalan jahat tentu dibenci

Bila kita ingatkan mati
Insan lain akan dihormati

Bila kita ingatkan mati
Sumber pahala pasti dicari

Bila kita ingatkan mati
Lailatul Qadar tentu dinanti

Bila kita ingatkan mati
Rasulullah pasti akan diingati

Bila kita ingatkan mati
Pasti merindui para bidadari

Bila kita ingatkan mati
Dunia tidak berseri lagi.
 
4.   Kenapa mati perlu diingati?. Kerana ia adalah pasti. Ia sedang menanti. Orang Islam wajib menyakini sepenuh hati bahawa kehidupan di akhirat jauh lebih baik dari dunia yang sementara ini. Persiapkanlah diri kita masing-masing bagi menghadapi saat sakratul maut yang pasti datang pada bila-bila masa.  Carilah bekalan untuk alam akhirat sebanyak mungkin kerana perjalanan kita selepas ini teramat jauh. Ia tidak ada penghujungnya lagi. Infiniti.

"Setiap orang di dunia ini adalah seperti seorang tetamu dan hartanya adalah pinjaman. Tetamu ini pasti akan pergi samada cepat atau lambat dan pinjaman itu haruslah dikembalikan kepada tuannya". ~ Mutiara Kata Ibnu Mas’ud
Sebahagian kandungan dari grup watsap MPKM

No comments:

Post a Comment