Friday, 30 October 2015

LAPAN KUMPULAN MANUSIA YANG TERBAIK (BAHAGIAN 2)

1.   Empat lagi kumpulan manusia yang terbaik dari perspektif Allah SWT dan Rasulullah SAW.  Mereka adalah terdiri dari orang-orang yang:

1.1.   PALING BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN 

1.1.1. Seorang Islam yang paling beruntung dan bertuah ialah orang yang hidupnya di dunia ini sentiasa memberi manfaat dan faedah kepada orang lain. Perbuatan, ucapan, nasihat, aktiviti, tulisan dan pandangan kumpulan ini semuanya membawa kebaikan dan dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Mereka terdiri dari kumpulan orang sentiasa memanjangkan tangan untuk bersedekah dan memberi bantuan kepada mereka yang lebih miskin dan memerlukan, lebih-lebih lagi anak yatim yang sangat dihormati dan dikasihi oleh Rasulullah.  Kumpulan ini sangat menyedari akan firman-firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

(a) Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:220) yang berbunyi:





Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

(b) Surah An-Nisa’[Kaum Perempuan](4:2) yang berbunyi:





“Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar”.

1.1.2. Kita lihat pula apakah pesanan Rasulullah dalam sabdanya tentang manusia yang bermanfaat kepada orang lain:

(a) Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW  bersada yang bermaksud: "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim)

(b) Jabir r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis dihasankan oleh Al-Albani di dalam Shahihul Jami’. No. 3289)

1.2.  MEMBERI HUTANG DAN MUDAH UNTUK MEMBAYAR HUTANG.

1.2.1. Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:245), Allah SWT telah berfirman tentang hutang yang berbunyi:




“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”.


1.2.2. Orang yang membantu saudaranya yang susah dengan cara memberi hutang adalah satu perbuatan yang mulia di sisi Allah SWT. Memberi hutang dibolehkan dalam kerana Rasulullah sendiri pernah berhutang dengan sahabatnya. Memberi hutang lebih besar pahalanya daripada bersedekah.

1.2.3. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Pada malam aku diisra’kan (Mikraj) aku melihat tulisan di atas pintu syurga, ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda‘. Aku bertanya Jibril kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah?. Jawab Jibril, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Al-Baihaqi).

1.2.4. Sesiapa yang berhutang kerana keperluan hidupnya sedangkan dalam hatinya berniat untuk membayar balik hutangnya maka hutangnya akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Dalam konteks ini Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya." ( Hadis Riwayat Bukhari)

1.2.5. Abu Hurairah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik dalam membayar hutang.” (Muttafaqun ‘alaih)


1.3.  MEMBERI MAKAN KEPADA FAKIR MISKIN.

1.3.1. Salah satu sifat orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah ialah gemar membantu golongan yang miskin dan memerlukan bantuan. Mereka tidak akan keberatan untuk memberi makan kepada fakir miskin. Kumpulan ini amat menyedari akan firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

(a) Al-Insan[Manusia](76:8) yang berbunyi:




“Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.”

                   (b) Al-Hajj[Haji](22:28) yang berbunyi:





“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

1.3.2. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa memberi makan orang lapar, Allah akan memberinya makanan dari buah-buahan syurga. Barang siapa memberi minuman kepada orang haus, Allah pada hari kiamat nanti akan memberinya minuman syurga yang amat lazat (ar-rahiq al-makhtum), dan barang siapa memberi pakaian orang yang telanjang, Allah akan memberinya pakaian syurga yang berwarna hijau (khudhr al-jannah).” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

1.4.  MENJADI SUAMI/BAPA YANG PALING BAIK TERHADAP KELUARGANYA.

1.4.1. Dalam Surah Al-Tahrim [Mengharamkan](66:6), Allah berfirman yang berbunyi:




“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

1.4.2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”

1.4.3. Seseorang yang berlemah lembut dan menunaikan kewajipan terhadap ahli keluarganya adalah adalah ciri-ciri suami yang baik. Suami yang bertanggung jawab akan menjadi teladan kepada isteri dan anak-anaknya dalam menjalani kehidupan seharian. Contoh terbaik sebagai suami dan bapa ketika bersama-sama ahli keluarganya ialah Rasulullah SAW sendiri.

1.4.4. Saiyidatina Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik dari kamu adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis Riwayat Termidzi).

2.   Alangkah beruntung dan bertuahnya kita jika termasuk dalam kalangan lapan kumpulan yang di katakan oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik manusia. Mereka mengikut ajaran Rasulullah SAW dengan beramal soleh dan melakukan amal kebajikan.  Mereka adalah terdiri dari kumpulan manusia yang berjaya serta berbahagia di dunia dan juga akhirat.

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

No comments:

Post a Comment