Friday, 10 February 2017

TUJUH PERKARA TENTANG REZEKI DALAM AL-QURAN


1.   Setiap manusia sangat bersungguh-sungguh mencari rezeki masing-masing untuk hidup. Untuk menjamin kesenangan duniawi.  Malah ada yang sanggup mencari sumber kewangan yang haram seperti berjudi, merompak, makan harta riba, harta anak yatim, menipu, rasuah dan sebagainya.

2.   Daripada Abu Hurairah RA katanya : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi Allah, sesungguhnya orang yang membawa seberkas kayu di atas belakangnya adalah lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang lain sama ada diberi atau pun tidak”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3.   Berkaitan rezeki ini terdapat tujuh (7) perkara tentangnya yang telah Allah SWT firmankan dalam Al-Quran, iaitu;

3.1.   Rezeki yang telah dijamin oleh Allah SWT.  Berkaitan hal ini Allah telah berfirman dalam surah Hud (11:6) yang berbunyi:   
    

“Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

3.2.   Rezeki kerana usaha manusia sendiri.  Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman dalam surah An-Najm[Bintang](53:39) yang berbunyi:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

3.3.   Rezeki kerana bersyukur.  Allah telah berfirman dalam surah Ibrahim (14:7) yang berbunyi:


“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

3.4. Rezeki yang tidak disangka sangka. Dalam surah At-Talaq[Perceraian](65:2) yang berbunyi:


“Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan kesaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).”

(65:3)

“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

3.5.   Rezeki kerana berkahwin.  Allah telah berfirman dalam surah An-Nur [Cahaya](24:32) yang berbunyi:
 

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”

3.6. Rezeki kerana memperolehi anak. Dalam surah Al-Israq[Memperjalankan Waktu Malam](17:31) yang berbunyi:


“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

3.7. Rezeki kerana bersedekah.  Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:245) yang berbunyi:


“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?. Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

4.   Meminta dan bermohonlah kita kepada Allah SWT agar kita dikurniakan rezeki yang halal dan baik olehNya.  Ini kerana dengan rezeki itulah kita gunakan untuk makan/minum bersama pasangan hidup kita yang menjadi darah daging kita.  Dengan rezeki itulah juga kita membesarkan anak-anak kita. 

"Tiada apa yang aku kesalkan dalam sehari ketika terbenamnya matahari, selain daripada umurku menjadi pendek, sedangkan amalanku tidak bertambah " ~~ Mutiara kata Ibnu Mas'ud

Sebahagian kandungan dipetik dari grup watsap MPKM

No comments:

Post a Comment