1. Agama Islam merupakan agama yang telah diredhai oleh Allah SWT
adalah agama yang paling banyak disalah anggap atau disalah faham oleh orang
bukan Islam. Malah dikalangan orang Islam sendiri pun mungkin timbul salah anggap
ini kerana tidak memahami perkara sebenar yang terkandung dalam ajaran agama Islam.
2. Salah satu sebab kenapa berlakunya perkara ini
ialah kerana peranan media barat yang dikuasai oleh orang bukan Islam. Mereka boleh
buat apa saja yang dikehendaki seperti memberi maklumat yang sama sekali salah,
memberi info diluar konteks sebenar ataupun mungkin melaporkan kenyataan separuh benar.
3. Selain dari itu orang bukan Islam mungkin juga mengadili dan
menghakimi sesuatu melalui cara mereka melihat perbuatan, amalan atau percakapan orang
Islam sendiri. Mereka tidak mengetahui kandungan Al-Quran kerana tidak pernah membaca
terjemahan Al-Quran. Jauh sekali dari mengetahui dan memahami sunah Rasulullah
SAW. Jika kita ambil Malaysia sebagaii contoh, mereka akan menilai keburukan
Islam berdasarkan ramainya penghuni penjara adalah terdiri dari orang
Melayu/Islam. Dikalangan bohsia/bohjan, mat rempet, perzinaan yang membawa kepada pembuangan anak serta kes
perceraian ia melibatkan majoriti orang Melayu/Islam. Malah dikalangan pemimpin orang Islam, mereka jauh lebih buruk akhlaknya berbanding dengan pemimpin orang bukan Islam. Orang bukan Islam berfikir jika Islam itu agama yang benar maka kenapa lebih ramai orang Islam yang melakukan kesalahan bahkan jenayah berbanding dengan orang bukan Islam.
4. Di bawah ini disenaraikan beberapa
pertanyaan orang bukan Islam tentang agama Islam. Pertanyaan ini lahir dari ketidak fahaman
orang bukan Islam terhadap Islam ataupun kerana salah tanggapan mereka tentang
Islam. Diantara contoh contoh itu ialah:
4.1. Orang bukan
Islam tidak faham kenapa orang Islam tidak boleh makan babi.
4.2. Kenapa orang lelaki boleh kahwin hingga maksima empat orang
isteri sedangkan seorang wanita hanya dibenarkan berkahwin dengan seorang lelaki
sahaja. Logik akal bagi mereka ialah, jika lelaki boleh kahwin sampai empat
maka wanita juga sepatutnya boleh kahwin dengan empat orang lelaki.
4.3. Kenapakah Islam menindas wanita. Misalnya hijab (aurat)
bagi lelaki dari pusat kelutut sedangkan wanita seluruh badannya melainkan muka
dan tapak tangan. Bagi mereka ini tidak adil.
4.4. Kenapa Allah takdirkan seseorang dilahirkan dalam
keluarga Islam, kemudian bila mati dapat masuk syurga. Sebaliknya Allah cipta
orang bukan Islam dari keluarga bukan Islam, bila mati masuk neraka. Sepatutnya
jika Allah adil maka semua manusia lahir dalam keluarga Islam dan Allah uji
mereka bagi menentukan samada mereka layak masuk syurga atau tidak. Inilah
baru adil.
4.5. Dalam solat berjemaah, orang lelaki berdiri dalam saf
depan. Perempuan pula dalam saf belakang. Kenapa wanita tidak dibenarkan berada
dalam saf hadapan.
4.6. Kenapa kuasa talak (menceraikan) hanya dimiliki oleh
kaum lelaki (suami) sahaja dan kaum wanita tidak memilikinya.
5. Bersediakah kita, orang Islam untuk
menjawab semua persoalan di atas?. Bagi seseorang yang tidak betul betul kuat
iman dan tidak pula memahami persoalan ini boleh membawa kepada murtad kerana
tidak mampu menjawab persoalan yang mungkin ditanyakan orang bukan Islam kepadanya. Dengan tidak adanya jawapan itu dia mungkin akan merasakan Islam adalah
agama yang lemah lalu timbullah keraguan kepada Islam dan wujud keinginan untuk memeluk agama lain.
6. Sebaik baiknya jawapan yang kita berikan
hendaklah dengan menggunakan hujah hujah yang bernas dan berpandukan Al-Quran dan
disusuli dengan hujah yang lain. Misalnya:
6.1. Kenapa Islam mengharamkan makan daging
babi:
6.1.1. Jawapannya ialah kerana ia adalah perintah dari
Allah dalam Al-Quran yang berbunyi:
“Sesungguhnya Allah
hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang (yang ketika
disembelih) disebut (nama) selain dari Allah…….” {Petikan
dari surah Al-Baqarah [Lembu Betina] (2:173)}
6.1.2. Sebagai orang Islam kita kena yakin Allah yang
mencipta manusia maha mengetahui apa yang baik dan tidak baik untuk dimakan
oleh manusia.
6.1.3. Lepas itu baru kita jelaskan berdasarkan kajian
sains dan lain lain. Misalnya dari satu kajian yang dibuat di USA keatas 23 orang
yang makan babi. 22 orang dari mereka dapat pelbagai jenis penyakit yang berpunca
dari babi. Contoh lain dalam tahun 1998 – 1999 telah berlaku wabak penyakit Japanese Encephalitis (JE) yang dikatakan
berpunca dari babi di negara kita. Lepas wabak ini sudah ada orang Cina yang
tidak makan babi lagi. Babi adalah sejenis binatang kotor yang makan najisnya
sendiri bila lapar, mencari makan ditempat kotor dan suka tinggal ditempat
kotor.
6.1.4. Dalam daging babi dilaporkan ada sejenis cacing pita.
Walaupun ia terkena panas ketika dimasak tetapi cacing itu tidak mati dan ia boleh membahayakan kesihatan manusia.
6.2. Kenapa Islam mengizinkan poligami bagi
lelaki sebaliknya mengharamkannya untuk perempuan :
6.2.1. Istilah
sebenar poligami bermaksud seorang lelaki atau perempuan yang menikahi lebih dari
seorang pasangan hidup. Istilah sebenar bagi lelaki ialah poligini manakala bagi
perempuan ia dinamakan poliandri.
6.2.2. Poligini
tidak diperkenalkan oleh agama Islam. Ia sudah ada dalam agama lain sebelum
kedatangan Rasulullah SAW. Pada masa itu bilangan isteri bukan maksima empat
orang. Ia jauh lebih ramai. Islam hanya datang untuk mengehadkan bilangan isteri,
iaitu empat orang. Poligini bukan wajib. Ia adalah jalan keluar untuk selesaikan
masalah manusia. Sebagai contoh, jika isteri lumpuh, apakah penyelesaiannya
jika bukan kahwin isteri lain dan pada masa sama jaga isteri lama. Dalam agama
lain, kahwin dengam isteri baru dibenarkan jika
isteri lama yang lumpuh itu diceraikan dahulu. Ini sudah tentu
menganiayai isteri lama. Begitu juga jika kahwin tidak dapat anak. Islam
benarkan kahwin lain dan isteri lama dikekalkan. Dalam agama lain pilihannya samada
ambil anak angkat atau cerai isteri pertama sebelum kahwini isteri baru.
6.2.3. Dikebanyakan
negara bilangan wanita melebihi lelaki. Jika poligini tidak dibenarkan kaum
wanita tidak akan dapat merasai perkahwinan.
Sudah tentu ia memberi kesan negatif kepada seorang wanita.
6.2.4. Islam mahu melindungi wanita dari dijadikan objek
memuaskan nafsu lelaki. Di barat lelaki kahwin hanya satu tetapi mereka memiliki
ramai perempuan simpanan. Islam haramkan perempuan simpanan tetapi benarkan
kahwin lebih dari satu dengan syarat boleh berlaku adil. Dengan cara ini wanita
yang dikahwini secara sah itu dapat dilindungi oleh suaminya. Selain dari itu
ibu bapa kepada perempuan itu juga rasa dihormati berbanding jika anak
perempuannya hanya dijadikan perempuan simpanan lelaki. Barat membenarkan perzinaan
melalui perempuan simpanan yang melahirkan anak zina tanpa bapa. Mahukah kita
melihat seorang bayi atau anak yang tidak tahu siapa bapanya?. Fikirkan apakah
kesan psikologi yang anak itu kena tanggung
sepanjang hayatnya.
6.2.5. Poliandri wujud dalam masyarkat suku Maasai dalam
kelompok etnik Nilotic yang tinggal di selatan Kenya dan utara Tanzania. Juga ada di sebuah desa terpencil di Tibet,
sebuah penempatan pendalaman di India dan perkampongan pendalaman di
pergunungan Himalaya.
6.2.6. Jika bilangan bapa hanya satu, kita dapat kenalpasti
siapa bapanya dan siapa ibu. Tapi jika
poliandri, kita tahu ibunya tapi tidak tahu siapa bapa. Jadi anak itu perlu
dibinkan dengan bapa yang mana satu?. Bukankah ia akan memberi kesan psikolgi
kepada anak tersebut apabila dia mungkin diejek oleh kawan kawannya bila sudah
besar. Selain itu hasil dari kajian mendapati anak-anak akan hadapi masalah
trauma mental jika mereka tidak dapat kenalpasti ibu atau bapa mereka. Walaupun
ujian DNA boleh dibuat tetapi kosnya
agak mahal dan tidak mampu dtanggung oleh golongan miskin.
6.2.7.Adalah lebih mudah bagi lelaki menunaikan
tanggungjawab biologi dan fizikal kepada ramai isteri berbanding dengan seorang
wanita yang perlu melayani ramai suami. Perempuan akan mengalami kedatangan
haid yang akan mengakibatkan perubahan emosi, sikap dan mental seorang
wanita. Sukar baginya melayani ramai
suami dalam masa haid.
6.2.8. Kajian dari aspek sains perubatan mendapati jika
wanita mempunyai lebih suami, penyakit melalui hubungan seks lebih tinggi
kemungkinan berlaku dan boleh menjangkiti suami yang lain pula. Tapi bagi kes poligini, penyakit kelamin
sangat sukar berlaku.
6.3. Kenapa Islam menindas wanita:
6.3.1.Barat kata Islam menindas wanita. Kita perlu bandingkan
keadaan wanita sebelum kedatangan Rasulullah, iaitu seperti dalam tamadun Greek, tamadun
Babylon, tamadun Roman, tamadun Mesir dan tamadun pra Arab. Di zaman itu wanita tidak ada hak ke atas harta, wanita
hanya menjadi simbol seks. Jika suami bunuh seseorang, suami ada hak untuk
ambil isterinya sebagai ganti untuk dihukum.
Dalam peradaban Greek mereka anggap semua kejahatan datang dari wanita.
Dalam peradaban Roman pada bila bila masa suami berhak ambil nyawa isterinya.
Dalam masyarakat Arab jahiliah mereka menanam anak perempuan hidup hidup kerana
mendapat anak perempuan dianggap memalukan. Bila Rasulullah diutuskan untuk
membawa agama Islam, semua itu telah dibatalkan dan wanita dinaikan mertabat
mereka.
6.3.2. Satu lagi dikatakan penindasan kerana wanita wajib
memakai hijab untuk menutup aurat mereka. Berkaitan dengan aurat ini perintah
memakai hijab diturunkan kepada lelaki terlebih dahulu, iaitu melalui firman
Allah yang berbunyi:
“Katakanlah (wahai
Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat
Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan”. {Petikan
dari surah An-Nur[Cahaya](24:30)}
Lepas itu barulah
turun ayat perintah hijab untuk kaum wanita yang berbunyi:
“Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang
gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada
perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan;
dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah,
wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.
{Petikan dari surah An-Nur[Cahaya](24:31)}
6.3.3. Sebenarnya maksud hijab tidak terhad kepada pakaian
sahaja. Hijab mempunyai 6 syarat iaitu bagi lelaki dari paras pusat hingga ke
lutut dan untuk perempuan pula seluruh badan melainkan muka dan dua tapak
tangan. Hanya satu syarat ini sahaja yang berbeza antara lelaki dan wanita.
Lima lagi syarat adalah sama iaitu:
(i) Kena pakai baju tebal dan besar supaya tak nampak
bentuk badan.
(ii) Pakaian tidak boleh terlalu jarang hingga nampak kulit badan.
(iii) Tidak boleh kelihatan terlalu cantik dan berwarna
warni pakaiannya hingga menarik perhatian kaum seks yang berbeza.
(iv) Wanita tidak boleh berpakaian seperti lelaki dan
begitulah juga sebaliknya.
(v) Tidak boleh berpakaian seperti orang kafir. Misalnya
jubah yang ada lambing salib didada, baju sami Buddha dan seumpamanya.
Hijab bukan hanya pakaian. Ia termasuk juga tingkah laku,
cara bercakap dan seumpamanya.
6.3.4. Berkaitan dengan perintah pemakaian hijab bagi
wanita ini Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai
perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” {Petikan dari surah Al-Ahzab [Golongan Bersekutu] (33:59)}
6.3.5. Dalam ayat di atas Allah menerangkan dua sebab kenapa
wanita kena tutup aurat mereka, iaitu
bagi membezakan wanita Islam dan bukan Islam serta mengelakkan mereka
dari dicabuli kehormatannya. Kita ambil contoh dua orang gadis kembar seiras
yang cantik. Seorang memakai hijab dan seorang lagi memakai pakaian seksi. Mana
satukah yang akan menjadi mangsa pencabulan?. Begitulah cara Allah memelihara
kehormatan wanita. Kesimpulannya hijab
adalah untuk melindungi wanita dan bukannnya untuk menindas wanita. Satu perkara lagi wanita ibarat barang
berharga yang perlu dlindungi atau ditutup bagi mengelakkan ia dilihat/khianati
oleh orang lain.
6.4. Kenapa Allah tidak
berlaku adil kerana tidak mentakdirkan semua orang lahir dalam keluarga Islam:
6.4.1. Orang
bukan Islam kata tidak adil Allah menjadikan seseorang dari keluarga Islam kerana bila mati boleh masuk syurga. Sebaliknya Allah
menjadikan orang dari keluarga kafir kemudian masuk neraka bila mati. Mereka
bertanya kenapa Allah tidak jadikan semua manusia Islam dan kemudian uji mereka
untuk menentukan layak masuk syurga atau neraka.
6.4.2. Kita perlu menjelaskan bahawa bukan semua orang Islam
akan masuk syurga. Mereka juga perlu melalui ujian. Umpamanya berapa ramai orang
Islam yang telah terkeluar dari Islam tanpa mereka sedar. Tergelincirnya akidah
dan terbatalnya syahadah kerana perbuatan atau amalan yang mensyirikkan Allah
SWT. Contohnya orang Melayu Islam gemar mempercayai tangkal untuk mengubah
nasib mereka, mempercayai bomoh lebih dari janji Allah, tidak lagi menyakini
rezeki itu datang dari Allah tetapi sebaliknya mempercayai dan memakai pelaris untuk
memajukan perniagaan, menyakini kepada tukang tenung nasib yang melihat urat
tapak tangan, percaya dan menyakini kebenaran zodiac atau Bintang 12 dan
sebagainya.
6.4.3. Seperti juga orang bukan Islam, orang Islam turut
diuji oleh Allah. Ia sesuai dengan firman Allah seperti berikut:
“Dialah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan
keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha
Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang
bertaubat)” {Petikan dari surah Al-Mulk[Kerajaan](67:2)}.
6.4.4. Walaupun
dilahirkan dari keluarga bukan Islam, mereka masih berpelung untuk mendengar
dan mengikuti dakwah Islam melalui pelbagai cara. Ia samada melalui keberadaan
mereka dipersekitaran orang Islam, mengikuti ceramah/penerangan tentang agama Islam samada melalui TV, surat khabar, makalah,
media media sosial dan sebagainya. Bagi orang bukan Islam, sebaik mereka memeluk Islam semua dosa dosa mereka sebelum ini terhapus semuanya. Mereka ibarat seperti menjadi bayi yang baru dilahirkan, sedangkan orang Islam perlu membawa dosa dosa mereka sehinggalah mereka benar benar bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Allah
pasti akan memberi pembalasan yang baik kepada orang bukan Islam yang
kemudiannya memeluk Islam. Ia sesuai dengan firman Allah yang berbunyi:
“Sesiapa yang beroleh
hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk
yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang
sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya
juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang
lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun
sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang
salah).{Petikan dari surah Al-Isra’[Perjalanan
Di Malam Hari](17:15)}
6.5. Kenapa hanya lelaki berada di saf depan
dalam solat berjemaah:
Jawapannya ialah kerana wanita itu lebih kuat semangatnya berbanding
lelaki. Wanita tidak mudah terangsang seks jika mereka melihat lelaki. Bayangkan
jika wanita didepan, lebih lebih lagi masa rukuk dan sujud maka sudah tentu ia
akan mengganggu kyusuk solat orang lelaki. Kesimpulannya lelaki berada
dihadapan bukan kerana lelaki lebih tinggi tarafnya berbanding wanita.
6.6. Kenapa hanya lelaki
ada kuasa talak sedangkan wanita tiada:
6.6.1.Talak menjadi hak suami kerana suami yang membayar
mahar perkahwinan, membiayai nafkah isteri dan menyediakan tempat tinggal. Oleh
itu, seseorang suami akan lebih berhati-hati dalam membuat pertimbangan dengan
memikirkan keburukan daripada perceraian dan berfikir lebih jauh untuk
bertindak pada perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.
6.6.2. Kelazimannya kaum wanita lebih terpengaruh dengan emosinya berbanding kaum lelaki. Oleh itu,
jika diberikan kuasa untuk menjatuhkan talak, maka berkemungkinan mereka akan
menjatuhkan talak hanya kerana sebab-sebab yang remeh–temeh dan pada perkara
yang tidak sewajarnya yang boleh meruntuhkan rumah tangga.
6.6.3. Apabila berlaku sesuatu penceraian, maka ia diikuti
oleh beberapa perkara yang berkaitan dengan harta seperti membayar mahar tunai
dan membiayai nafkah semasa ‘iddah. Semua bebanan ini ditanggung oleh pihak
lelaki dan ini akan membuatkannya berfkir panjang sebelum menjatuhkan talak.
7. Semoga penjelasan ini dapat memberikan jawapan
dan merungkai salah tanggapan dikalangan orang bukan Islam terhadap kesucian ajaran
agama Islam. Mudah mudahan orang bukan Islam lebih tertarik untuk mendekati agama
tauhid yang datang dari tuhan yang sebenar, iaitu Allah SWT.
“Bila kita membeli belah di kedai, kita tukarkan duit dengan barang.
Oleh yang demikian kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di
depan mata. Sebaliknya, sedarkan kita
apabila kita taburkan duit untuk kebaikan, ia seperti kita membeli pahala
dengan duit kita. Walaupun pahala ini
benda yang tidak nampak, tetapi itulah duit kita di akhirat.” – Mutiara kata
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian
kandungan dipetik dari ceramah saudara Lim Jooi Soon
No comments:
Post a Comment