Monday, 17 February 2020

NAMA NAMA HARI KIAMAT DALAM AL-QURAN – BAHAGIAN 1



1.      Hari Kiamat menurut bahasa bermaksud hari kehancuran dunia atau alam semesta ini. Perkataan ini diambil dari dari bahasa Arab “Yaum al Qiyamah” yang bererti hari kebangkitan semula manusia. Hari kiamat (kehancuran alam semesta beserta isinya) dalam bahasa Arab sering disebut dengan “As-Saa’ah“.

2.      Ada dua jenis hari kiamat, iaitu:

2.1.   Kiamat sughra atau kiamat kecil. Ia merujuk kepada kejadian atau musibah yang terjadi di alam ini seperti kematian, berlakunya banjir yang besar, angin puting beliung yang dahsyat, meletusnya gunung berapi, berlaku gempa bumi, kemarau yang berpanjangan, peperangan dan seumpamanya.

2.2.   Kiamat kubro atau kiamat besar. Ia bermaksud kehancuran seluruh alam semesta  dan berakhirnya kehidupan alam dunia serta hari mulai dibangkitkan semua manusia yang sudah mati sejak Nabi Adam sampai manusia terakhir untuk menjalani proses kehidupan berikutnya.

3.      Di dalam Al-Quran Allah SWT menggunakan pelbagai nama untuk menyatakan tentang hari kiamat ini. Antaranya ialah:

3.1.   Yaumiddin (Hari pembalasan segala amalan baik atau buruk). Ia difirmankan dalam surah Al-Fatihah [Pembukaan] (1:4) yang berbunyi:


“Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)”.

3.2.   Al Yaumul Akhir (Hari akhirat). Ia difirman dalam surah Al Baqarah[Lembu Betina](2:232) yang berbunyi:


“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ' maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya”.

3.3. Yaumul Qiamah (Hari Kiamat). Ia difirmankan dalam surah An Nisa' [Kaum Wanita](4:87) yang berbunyi:


“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?”

3.4.   Yaumul Hasrah (Hari penyesalan). Ia difirmankan dalam surah Maryam(19:39) yang berbunyi:



“Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman”

3.5. Ad Darul Akhirah (Negeri Akhirat). Ia difirmankan dalam surah Al- Ankabut[Labah-Labah](29:64) yang berbunyi:



“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)”.

3.6. Yaumul Ba'tha(Hari kebangkitan dari kubur). Ia difirmankan dalam surah Ar-Rum  [Bangsa Rom](30:56) yang berbunyi:


“Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: "Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya)".

3.7.   Yaumul Fasli (Hari Allah memberikan keputusan dan balasan kepada hamba hambanya). Ia difirmankan dalam surah As Saffat[Yang Bersaf-Saf](37:21) yang berbunyi:


“(Lalu malaikat berkata kepada mereka): "Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya ".

3.8.   Yaumul Hisab (Hari perhitungan). Ia difirmankan dalam surah Sad (38:53) yang berbunyi:


“Inilah dia balasan yang dijanjikan kepada kamu setelah selesai hitungan amal”

3.9.   Yaumuttalaq (Hari bertemu dengan Allah). Ia difirmankan dalam surah Ghafir [Yang Maha Pengampun](40:15) yang berbunyi:


“Dialah yang maha tinggi darjat kebesaranNya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaanNya); Dia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang telah dipilih menjadi RasulNya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan”

3.10. Yaumuttanad (Hari saling panggil memanggil). Ia difirmankan dalam surah Ghafir [Yang Maha Pengampun](40:32) yang berbunyi:


"Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan)”

3.11. Darul Qarar (Negeri yang kekal). Ia difirmankan dalam surah Ghafir [Yang Maha Pengampun](40:39) yang berbunyi:
 

"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal”.

3.12. As Sa'ah (Hari yang pasti datang). Ia difirmankan dalam surah Ghafir [Yang Maha Pengampun](40:59) yang berbunyi:
 

“Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)”.

"Dalam perjuangan ini, idola kepada para pejuang ialah Rasulullah SAW. Sebagaimana Rasulullah SAW merupakan seorang yang bersifat dengan sifat fatonah (cerdik), demikianlah kita sebagai seorang pejuang, perlu bersifat dengan fatonah. Fatonahnya kita ialah dengan mempelajari semula sejarah Rasulullah SAW dan melaksanakan dalam kehidupan kita pada hari ini.” – Mutiara kata almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment