Thursday, 30 July 2020

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA 2020





Dalam surah As-Saffat[Yang Bersaf-saf](37:102), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


"Manakala Ismail telah besar sedikit, Ibrahim berkata kepada anaknya itu " Hai anakku, bahawasanya aku bermimpi agar aku menyembelihmu, maka fikirkanlah, apa pendapatmu?." Ismail menjawab: "Wahai bapaku, perbuatkanlah apa yang diperintahkan, engkau akan dapati  InsyaAllah aku dari orang-orang yang sabar" . 

(37:103)

“Maka ketika keduanya telah menyerah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah Allah)”.

(37:104)

Lalu Kami panggil dia, “Wahai Ibrahim!”

(37:105)


“Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah  Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat  baik”.


Allah SWT telah merakamkan di dalam Al-Quran kisah yang sangat hebat ini. Ia adalah tentang perintahNYA agar Nabi Ibrahim menyembelih anak kesayangannya, Ismail sebagai tanda mematuhi dan mentaati perintah Allah. Upacara penyembelihan ini telah menjadi salah satu syariat dalam agama Islam apabila datangnya 10 Zulhijjah setiap tahun. Umat Islam diseluruh dunia digalakkan mengorbankan binatang ternakan sebagai simbolik mematuhi perintah Allah SWT sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim.

===================================================

1.      Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha (Hari Raya Haji) kepada semua penjengok blog saya, terutamanya yang beragama Islam tanpa mengira di mana anda berada.

2.      Hari Raya Eidul Adha atau juga dikenali dengan panggilan Hari Raya Haji/Korban disambut umat Islam diseluruh dunia pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun.  Di Malaysia ia akan dirayakan pada hari esok, 31 Julai 2020. Hari raya ini juga mempunyai kaitan dengan  ibadat haji di Mekah yang merupakan rukun Islam yang kelima.

3.      Korban  terhadap binatang ternakan seperti lembu, kerbau atau unta yang dilakukan pada hari raya haji setiap tahun adalah bersempena umat Islam memperingati peristiwa Nabi Allah Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail.  Nabi Ibrahim melakukannya  kerana semata mata mentaati perintah Allah SWT.

4.      Ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan amat dituntut dalam Islam dan mendapat ganjaran pahala yang besar disisi Allah SWT. Bagi orang orang yang berkemampuan mereka berkesempatan menunaikan haji di tanah suci Mekah.

5.   Bagi yang belum berkemampuan kerana kekangan kewangan, sentiasalah mentaati perintah Allah SWT serta berusaha melakukan yang terbaik sesuai dengan ajaran agama Islam. Semoga kita diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk bertemu lagi dengan Eidul Adha pada tahun tahun mendatang.

6.       Bila datangnya hari raya, samada hari Raya Eidul Fitri ataupun Eidul Adha maka berkemundanglah di semua masjid dan surau di seluruh dunia bertakbir memuji kebesaran, kemulian dan keagungan Allah SWT.  Lafaz takbir raya dan maknanya ialah seperti di bawah:





                               Salam Eidul Adha dan Maaf Zahir Batin.
 
Berhati hati di jalan raya
Biar lambat asalkan selamat 
Selamat Hari Raya Eidul Adha  
Kepada semua muslimin dan muslimat

Apabila terjaga di pagi hari
Lihat semua berlawan sakan
Eidul Adha berkunjung lagi
Marilah sama kita raikan


"Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus lakukan dosa. Tanpa adanya keyakinan seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka."  ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment