1. Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam
(Hijrah). Ia termasuk dalam “Asyhurul Hurum”, iaitu salah satu dari empat bulan
mulia yang Allah SWT haramkan untuk berperang di dalamnya, kecuali dalam keadaan
membela diri atau terdesak. Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:2), Allah SWT
berfirman yang berbunyi:
“Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai
syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan haram,
dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan
mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang
menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan
mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan
ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka
bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum
kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong
kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan
dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah
Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.
Bulan yang termasuk dalam Asyhurul
hurum (bulan-bulan haram) itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
2. Esok ialah 22 hb. Julai 2020 yang bersamaan dengan 1 hb.
Zulhijjah 1440. Pada sepuluh hari
pertama dalam bulan Zulhijjah itu terdapat kemuliaan dan barakah padanya. Dalam
surah Al-Fajr[Waktu Fajar](89:1),
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
"Demi
waktu fajar.”
(89:2)
“Dan
malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”
Adapun yang dimaksudkan dengan
“layaalin asyrin” (malam yang
sepuluh) itu ialah sepuluh malam pada permulaan bulan Zulhijjah. Pendapat ini
dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair,
Mujahid dan beberapa ulama salaf lain. Menurut riwayat Al-Bukhari dari
Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada amal-amal soleh yang lebih disukai Allah melebihi hari-hari itu".
3. Bulan Zulhijjah ialah bulan bagi umat Islam menunaikan rukun
Islam yang kelima, iaitu fardhu haji di Mekah dan juga bulan yang terdapat di
dalamnya Hari Raya Haji serta ibadat korban. Bagi
orang-orang yang tidak sempat menunaikan haji maka adalah digalakkan mereka melakukan
amalan-amalan berikut dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Ini kerana ganjaran pahalanya amat besar di
sisi Allah SWT. Amalan-amalan itu ialah:
3.1. BERZIKIR:
Memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT seperti “La ilaha Illalah”, “Subhanallah”,
“Alhamdulillah”
dan juga “Allahu Akbar”. Ini
berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani. Dalam konteks
ini Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj[Haji](22:28) yang berbunyi:
"Supaya mereka menyaksikan berbagai
perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati
dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana
pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan
korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang
korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
Ibnu
Abbas mentafsirkan maksud “hari-hari
yang tertentu” itu ialah sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah dan inilah pendapat
kebanyakan ulama.
3.2. BERPUASA: Umat Islam sangat-sangat
digalakkan untuk berpuasa sunat daripada 1 hingga 9 Zulhijjah atau mana-mana hari darinya. Hari
Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah pula
adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Ia juga dikenali dengan nama
puasa
Arafah. Jika tidak mampu berpuasa pada hari lain maka berpuasalah pada
hari itu. Pada hari itulah umat Islam yang mengerjakan haji berwukuf di
Padang
Arafah, iaitu yang menjadi salah satu dari rukun haji. Rasulullah SAW
bersabda
yang bermaksud; “Tiada hari yang Allah lebih
banyak membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Hadis Riwayat Muslim). Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa
pada hari Arafah, baginda menjawab; “Puasa
itu menghapuskan dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya.” (Hadis
Riwayat Muslim).
3.3. MENUNAIKAN
SOLAT EIDUL ADHA: Sangat digalakkan
untuk menunaikan solat Eidul Adha dan mendengar khutbah. Imam Ibnu
Taimiyah berpendapat solat Eidul Adha adalah wajib (kecuali jika ada keuzuran
atau halangan) berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar[Nikmat Yang Banyak](108:2) yang berbunyi:
“Oleh itu, tunaikanlah solat kerana
Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”.
TAKBIR RAYA
3.4. BERTAKBIR: Ibnu Taimiyah dalam majmu' Fatawa menjelaskan; "Hendaklah takbir
dilakukan mulai dari waktu fajar hari Arafah sampai akhir hari Tasyriq (pada
11,12,13 Zulhijjah). Ia dilakukan setiap
kali selesai mengerjakan solat dan disyariatkan bagi setiap orang untuk
meninggikan suara dalam bertakbir.
Imam
Bukhari menjelaskan bahwa Ibnu Umar dan Abu Hurairah, mereka berdua pergi ke
pasar pada sepuluh hari Zulhijjah untuk menggemakan takbir pada khalayak ramai,
lalu orang-orang mengikuti takbir mereka.
3.5. BERKORBAN: Dalam surah Al-Hajj[Haji](22:32), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa
yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari
ketaqwaan hatinya.”
(Syiar-syiar
Allah itu bermaksud segala amalan yang dilakukan dalam rangka ibadat haji dan
termasuklah korban).
Berkorban
adalah ibadah kepada Allah dengan menyembelih seekor kambing atau sepertujuh binatang
korban pada hari Eidul Adha dan tiga hari tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Hukumnya ialah sunat muakkadah, menurut jumhur ulama. Ibadah korban bukan kewajiban
sekali seumur hidup, tetapi amalan sunat yang dianjurkan setiap tahun jika berkemampuan.
Ketika
di Madinah Rasulullah SAW berkorban setiap tahun. Dalam sebuah hadis
disebutkan:
عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَال : ضحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى
وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا ( متفق عليه)
Dari
Anas ra berkata; Rasulullah SAW berkorban dengan dua kambing yang baik dan
bertanduk yang disembelihnya dengan tangannya sendiri sambil mengucapkan takbir.
3.6. MENJAUHI MAKSIAT DAN MASA TERBAIK UNTUK
BERTAUBAT: Bagi sesiapa yang selama ini menangguhkan taubat kepada Allah
SWT, maka 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah ini ialah masa yang
terbaik. Adalah amat biadap sekali kepada
Allah jika kita sebagai orang Islam masih lagi bersuka ria dengan melampaui
batas dan berbuat maksiat pada hari yang sangat dimulia dan diagungkan oleh Allah
SWT.
3.7. BERSEDEKAH, MEMBACA AL-QURAN, SOLAT SUNAT: Semuanya termasuk dalam hadis umum yang membuktikan amalan-amalan itu amat disukai oleh
Allah SWT.
4. Jom kita pakat beramal dengan amalan-amalan yang mudah
ini. Carilah harta kekayaan akhirat yang
pasti akan menjadi milik kekal abadi kita selama-selamanya. Yakinlah bahawa
kekayaan duniawi ini akan kita tinggalkan sebaik sahaja berpisahnya roh dari
jasad kita. Perbanyakkan bekalan untuk
negeri akhirat. Kita pasti akan ke sana tidak lama lagi. Carilah JALAN PULANG seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kita akan hidup abadi dan tinggal di sana untuk
selama-lamanya. Infiniti.
"Ilmu itu tumpang menumpang, murid menumpang ilmu guru,
guru juga turut menumpang kebijaksanaan muridnya. Itulah dia 'taawun' iaitu
saling mengambil manfaat antara satu sama lain" – Mutiara Kata almarhum
Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
No comments:
Post a Comment