Sunday, 4 January 2015

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH: PELAKSANA NUBUAT(PROPHECY) RASULULLAH SAW


 


SULTAN MUHAMMAD ALFATEH

1.    Apakah nubuat (prophecy) atau ramalan dari Rasulullah?.

2. Peperangan khandaq (parit)/ahzab telah berlaku pada bulan Zulqaedah tahun kelima Hijrah atau bersamaan dengan 31 Mac 627 Masihi. Dalam persiapan menghadapi peperangan inilah, iaitu semasa sedang menggali parit Rasulullah telah bersabda kepada sahabat-sahabatnya yang bermaksud:

“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam.  Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan tentera yang dipimpinnya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadith Riwayat Ahmad bin Hanbal).

3.  Setelah kewafatan Rasulullah pada tahun 632 Masihi, kepimpinan Islam telah digantikan oleh khalifah-khalifah arRashidin yang empat dari tahun 632 Masihi hingga 661 Masihi.  Kemudiannya pemerintahan Islam disambung pula oleh Kerajaan Bani Umaiyyah (661 Masihi hingga 750 Masihi), Bani Abbasiyah (752 Masihi hingga 1258 Masihi) dan akhir sekali Bani Uthmaniyyah (1301 Masihi hingga 1924 Masihi). Sejak itu tamatlah pemerintahan khalifah Islam di dunia.

4.  Bagi memenuhi sabda Rasulullah di ataslah maka bermula dari pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib yang diikuti oleh kerajaaan Bani Umaiyyah hinggalah kepada kerajaan Bani Uthmaniyyah beberapa kali percubaan telah dibuat untuk menawan Kota Konstantinapol. Mereka mahu membuktikan bahawa merekalah orang yang disebutkan dalam sabda Rasulullah. Tetapi semuanya gagal. Ia hanya berjaya ditakluki pada tanggal 29 Mei 1453 oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, iaitu  826 tahun selepas sabda Rasulullah  dalam perang khandaq. Fateh bermaksud pembuka kota atau penakluk.  

5.  Siapakah dia Sultan Muhammad Al-Fateh yang hebat dan bijaksana ini: 

5.1. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Murad Bin Muhammad Bin Bayazid. Dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi (27 Rejab 835 Hijrah) di Edirne, Turki.  Bapanya adalah Sultan Murad II (memerintah dari tahun 1404–1451). Ibunya bernama Aishah.  

5.2.  Setelah mendapat berita isterinya melahirkan zuriat lelaki, Sultan Murad terus sujud syukur dan berulang-ulang kali membaca ayat Quran dari Surah Al-Fath [Kemenangan](48:1) yang berbunyi:


“Sesungguhnya Kami telah memberikan kemenangan kepadamu, kemenangan yang nyata.”

5.3.   Satu hari dua orang alim terkenal di zaman itu, Sheikh Bayram dan anak muridnya Sheikh Syamsuddin Al-Wali pergi ke istana Sultan Murad.  Setelah berbincang pelbagai perkara mereka dipelawa oleh Sultan Murad untuk melihat anaknya yang baru dilahirkan.  Dua orang alim itu merenung lama muka anak yang sedang nyenyak tidur  dalam buaian. Sheikh Syamsuddin kemudian berkata kepada Sultan Murad :

“Wahai tuanku, menurut firasat saya bukan tuanku yang akan membebaskan Kota Konstantinopel, tetapi anak tuanku yang di dalam buaian ini.  Dia diutus oleh Allah untuk menjadi pemimpin yang baik dengan pasukan tentera yang baik dan dibantu oleh rakyat yang baik”, sambil beliau menunjukkan jarinya kepada anak kecil yang sedang tidur dalam buaian.

6.      Pendidikan Muhammad Al Fateh semasa kecil:  
 
6.1.   Semenjak kecil Sultan Murad  telah membawa ulama yang hebat dan terkenal untuk mendidik Muhammad Al-Fateh secara bersungguh-sungguh. Sheikh Muhammad Bin Ismail Kurany telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai para pendidik Muhammad Al-Fateh sehinggakan dibenarkan untuk memukulnya jika nakal atau enggan belajar. Guru sebenar yang membimbing secara bersepadu ialah Sheikh Syamsuddin Al-Wali yang merupakan seorang ulama yang hebat dan dikatakan daripada keturunan Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

6.2.   Sejak dari kecil lagi Muhammad Al-Fateh telah diberikan gambaran oleh gurunya  Sheikh Syamsuddin bahawa beliaulah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadithnya tentang pembukaan Kota Kostantinople. Beliau mengajar Muhammad Al-Fateh ilmu-ilmu agama seperti pengajian Al-Qur’an, hadith, feqah serta ilmu dunia lain seperti matematik, falak, sejarah, teknik peperangan, memanah dan menunggang kuda. Hasil pendidikan itu menjadikan Muhammad Al Fateh seorang  yang  berani, tegas, kuat menyimpan rahsia pemerintahan tetapi kelihatan tenang dan pendiam. Beliau sangat mencintai para alim ulama dan selalu berbincang dengan mereka tentang pelbagai masalah.

6.3.   Beliau juga belajar pelbagai bahasa seperti Bahasa Arab, Turki, Parsi, Latin, Greek,  Serbia dan Hebrew serta dapat menguasainya dengan baik. Ternyata Muhammad Al- Fateh seorang yang pintar.

6.4. Bagi membolehkan beliau memahami selok belok pemerintahan, ayahnya Sultan Murad  telah melantik beliau yang baru berusia 12 tahun untuk memangku tugas khalifah semasa Sultan Murad  pergi bersuluk ke Pulau Magnesia. Dalam usia semuda ini Muhammad Al-Fateh telah menunjukkan kematangan dalam menangani tipu helah musuh.

6.5.  Muhammad Al Fateh seorang yang kacak.  Bentuk badannya tegap, tenaganya kuat dan susuk tubuhnya tinggi.  Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.

7.      Memikul tanggung jawab sebagai sultan:

Sultan Muhammad Al Fateh telah mengambil alih pemerintahan Kerajaan Khalifah Uthamniyah pada 3 Februari 1451  ketika berusia 19 tahun  menggantikan ayahandanya. Baginda merupakan seorang  pemimpin negara yang hebat dan seorang panglima tentera terbilang yang telah memimpin peperangan sebanyak 25 kali.  Seorang yang kuat beribadat, taat kepada perintah Allah dan Rasulullah, bersifat tawadhu’ dan rendah diri.

8.      Persedian penaklukan Kota Konstantinople:

8.1.   Setelah bergelar sultan, beliau telah berbincang dengan Syeikh Shamsuddin untuk mendapatkan nasihat bagi menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Kota Konstantinople yang diperintah oleh kerajaan Kristian Byzantine.  Beliau berhasrat untuk merealisasikan hadith Rasulullah SAW. Sepanjang 2 tahun pertama selepas menjadi sultan, baginda mengkaji pelan Kota Kostantinople secara terperinci setiap malam untuk mengetahui dimanakah kelemahan kota tersebut serta meneliti sebab-sebab kegagalan serangan-serangan  panglima Islam yang terdahulu. Beliau kerap berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang strategi-strategi perang yang sesuai digunakan.

8.2.   Bagi tujuan ini baginda telah membuat satu persiapan yang sangat besar dan hebat bagi menawan Kota Konstantinople. Baginda telah menyediakan angkatan tentera yang besar dan canggih dengan para mujahidin berjumlah seramai kira-kira 265,000 orang dan kapal laut pula dikatakan sebanyak 400 buah. Baginda juga telah mengarahkan pembuatan peralatan perang termoden seperti meriam gergasi yang boleh menembak bom seberat 300 kg. dengan jarak sejauh 1.5 kilometer.  Baginda dibantu oleh panglima perang yang hebat seperti Panglima Zaqhanus dan Panglima Amir Pasya.

8.3.   Baginda mengarahkan pembinaan Kota Rumeli Hisari di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 8 km dari Kota Konstantinople. Kota ini bertentangan dengan Kota Anadolu Hisari di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid sebelumnya. Benteng ini berperanan mengawal kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Baginda juga telah mengikat perjanjian damai dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk tidak membantu Konstantinople apabila mereka diserang nanti.

8.4.   Selain dari tentera perang, baginda juga membawa para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat  jihad tenteranya. 

9.      Bagaimana serangan ke atas Kota Konstantinople dilakukan:

9.1. Dari segi geografi, Kota Kostantinople mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana ia dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iaitu Laut Marmara, Selat Bhosphore  dan Teluk Golden Horn. Kemasukan ke perairan Teluk Goldern Horn telah dihalang dengan adanya rantai besi raksasa yang digunakan untuk menghalang kapal daripada masuk ke pintu utama Kota Kostantinople.

9.2. Setelah semua persiapan disusun, Sultan Muhammad Al-Fateh menghantar utusan menemui Maharaja Byzantine supaya menyerahkan Kota Konstantinople kepadanya tetapi Maharaja enggan berbuat demikian. Oleh itu Kota Konstantinople telah dikepung dan mula diserang pada hari Rabu 19 April 1453M bersamaan 12 Rabiul Akhir 857H oleh angkatan tenteranya yang berjumlah seramai 265,000 orang. Sebaik sahaja mereka menghampiri dinding kubu Kota Konstantinople, baginda mengarahkan agar azan dilaungkan dan solat berjemaah disempurnakan. Tentera Kristian Byzantine sangat takut melihat ratusan ribu orang tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir yang kuat. Kota tersebut telah dihujani oleh peluru daripada meriam raksaksa selama 48 hari namun hanya merosakkan sebahagian dinding luar kota sahaja.

9.3.Berikutnya baginda memerintahkan tenteranya menggunakan menara bergerak yang boleh memuatkan ratusan tentera dan lebih tinggi daripada kota untuk menyerang musuh. Walau bagaimanapun tentera Byzantine berjaya memusnahkan menara tersebut.

10.    Kapal laut berjalan atas daratan:
10.1. Laluan kapal perang melalui laut sangat berbahaya kerana tentera Byzantine telah siap  berkubu atas bukit tepi laut. Mereka akan menembak mana-mana kapal musuh yang melaluinya. Ini memaksa Sultan Muhammad menggunakan kaedah yang tidak pernah digunakan dalam mana-mana peperangan sebelum ini. Caranya ialah puluhan ribu tenteranya telah menolak 72 buah kapal-kapal laut perang melalui jalan darat di atas gunung sebelum meluncurkannya semula ke Teluk Goldern Horn. Peristiwa ini berlaku pada 22hb April 1453 Masihi. Ini adalah satu keajaiban dan dianggap sebagai tektik peperangan yang terbaik di dunia pada masa itu oleh sejarawan Barat sendiri. Kapal yang berat itu menjadi ringan ketika ditolak atas daratan tidak lain melainkan ia adalah kerana datangnya  pertolongan dari Allah. Begitulah keberkatan yang diperolehi oleh orang yang beriman kepada Allah. Kapal-kapal Byzantine banyak yang terbakar kerana dibedil oleh meriam kapal tentera Islam.  Mereka sama sekali tidak menduga kapal tentera Islam berjaya melepasi Teluk Golden Horn yang dikawal ketat. Mulai dari itu pertahanan tentera Byzantine menjadi semakin lemah. 

10.2. Baginda yang turut dibantu oleh para  ulama telah mengambil kesempatan pada sebelah malamnya untuk memberikan semangat jihad kepada tenteranya di samping mengingatkan kepada mereka tentang kebenaran hadith Rasulullah SAW bahawa merekalah sebaik-baik tentera. Mereka kemudiannya beramai-ramai bermunajat dan memohon pertolongan dari  Allah SWT.  

10.3. Keesokan paginya tentera Islam telah memanjat dinding di dalam kubu dengan menggunakan  tangga dan merobohkannya dengan lastik yang besar. Mereka kemudiannya telah memacak bendera Daulah Uthmaniyyah di puncak bukit. Tentangan sengit dari pihak Byzantine telah mengakibatkan ramai tentera Islam terkorban sebagai syudaha’. Sultan Muhammad kemudiannya memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

10.4. Kepungan Kota Konstantinople telah masuk hari 53 hari tanpa ada tanda-tanda kejayaan. Ini telah menimbulkan rasa jemu dan hilangnya keyakinan di kalangan sebahagian tentera Islam. Melihatkan keadaan yang genting tersebut maka Sultan Muhammad berpidato bagi menaikkan semangat tenteranya.  Katanya: “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu mati syahid marilah ikut aku!”.

10.5. Sultan Muhammad juga mengingatkan tenteranya firman-firman Allah seperti berikut:

10.5.1.Dalam Surah An Nisa [Kaum Perempuan](4:76) yang berbunyi:


“Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.”

10.5.2. Dalam Surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2 :193) yang berbunyi:


“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”

10.5.3. Dalam Surah Al-Anfal [Harta Rampasan Perang](8:60) pula berbunyi:



“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

10.6. Mendengarkan pidato dan firman-firman Allah tersebut salah seorang tentera baginda bernama Hasan Ulubate telah bangun dan mengetuai sekumpulan kecil 30 orang tentera.  Mereka  telah membuka dan kemudiannya melompat masuk ke dalam kubu musuh dan  memacak bendera Islam di situ. Kejayaan itu telah menaikkan semula semangat tentera Islam yang menakutkan pihak musuh. Namun demikian kesemua mereka telah gugur syahid setelah berjaya di panah oleh pihak musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantine sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar, Allahu Akbar tanpa henti. Laungan takbir yang telah mengisi ruang angkasa Kota Konstantinople telah memberikan kesan psikologi kepada pihak musuh.

10.7. Ketika ketakutan tentera Byzantine belum pun reda, mereka telah mendapat berita bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk memasuki kota. Hal ini menambahkan lagi ketakutan dan kegerunan mereka.

11.    Penawanan Kota Konstantinople:

11.1. Pada 29 Mei 1453 Sultan Muhammad dan tenteranya yang hebat telah berjaya menawan Kota Konstantinople. Nama kota tersebut telah ditukar kepada Islambol (Islam keseluruhan) dan ia telah dijadikan sebagai ibu negara Khilafah Uthmaniyah Turki. Gereja Besar Saint Sophies kemudiannya telah ditukar menjadi Masjid Aya Sophia. Dengan tawadhu’ dan rendah dirinya baginda telah  melakukan sujud syukur dengan meletakkan dahinya ke tanah di bumi Kota Konstantinaple. Nama Islambol telah diubah nama kepada Istanbul selepas kejatuhan Kerajaan Bani Uthmaniyah.  Pemimpin yang bertanggung jawab menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyah Turki ialah musuh Islam, iaitu Mustafa Kamal Atartuk  dengan bantuan Amerika dan Yahudi.

11.2. Kemenangan tersebut berjaya diperolehi bukanlah semata-semata kerana kelemahan tentera Byzantine tetapi adalah kerana pergantungan tentera Islam kepada pertolongan Allah, berpegang teguh kepada ajaran dan  nilia-nilai Islam disamping pemodenan bidang ketenteraan kerajaan Islam ketika itu. Selepas penaklukan itu, seorang ahli sejarah Perancis bernama Baron Karaffoo telah berkata: “Pembukaan Kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh tidaklah berlaku  secara kebetulan dan juga bukan kerana Kerajaan Byzantine berada di dalam keadaan yang lemah, tetapi ia adalah kerana Sultan Muhammad Al-Fateh telah menggunakan segala kekuatan ilmu yang ada di zamannya.”

12.   Kenapa Rasulullah berkata pemimpin yang membebaskan Kota Konstantinople itu sebaik-baik pemimpin manakala tenteranya adalah sebaik-baik tentera?:

12.1. Ketika solat Jumaat pertama kali hendak diadakan setelah kejatuhan Kota Konstantinople timbul pertanyaan kepada baginda siapakah yang paling layak untuk menjadi imam. Untuk memilihnya baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun dan beliau bertanya soalan-soalan berikut:

12.1.1 “Siapa di kalangan kita sejak dari akil baligh hingga kini yang pernah meninggalkan solat fardhu walaupun sekali, sila duduk!”. Tidak ada seorang pun tenteranya yang duduk kerana  semua mereka tidak pernah meninggalkan solat fardhu.

12.1.2. Baginda bertanya lagi, “Siapakah di kalangan kita  sejak akil baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian besar dari tenteranya duduk.

12.1.3. Kemudian baginda bertanya soalan ketiga, “Siapa di kalangan kita sejak akil baligh hingga kini ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri.

12.2. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajud sejak akil baligh. Inilah dia anak murid Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah orangnya yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik pemimpin yang memimpin sebaik-baik tentera di dalam hadisnya itu.

13.    Kekuatan dan kekuasaan kerajaan pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh:

13.1. Allah telah mengurniakan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh  kejayaan yang besar dalam pemerintahannya. Kerajaannya berjaya menguasai kawasan yang luas  hingga melebar ke Serbia, Bosnia, kawasan pantai Laut Merah dan Semenanjung Crimea di Rusia. Baginda telah meluaskan sempadan negara Kerajaan Uthmaniyah dari hanya sekitar 600 km persegi kepada keluasan melebihi 2 juta km persegi. Matlamat baginda ialah untuk menembusi benua Eropah dan menyelamatkan umat Islam di Andalusia, Sepanyol daripada cengkaman Kristian.

13.2. Banyak kemajuan dan pembangunan yang telah diperkenalkan oleh Sultan Muhammad seperti mendirikan masjid, sekolah  dan hospital. Baginda amat mengambil berat tentang pelajaran dan pendidikan. Aspek-aspek pentadbiran, pembangunan, ketenteraan dan politik telah disusun semula oleh beliau.

14.    Keadilan beragama:

Ramai orang Yahudi dan Arab yang ditindas oleh Kerajaan Kristian di Sepanyol telah berhijrah  ke Islambol, Turki. Sultan Muhammad Al-Fateh telah membenarkan agama Kristian mazhab ortodoks diamalkan dengan mengekalkan gereja mereka. Baginda telah meminta pihak gereja berhimpun dan memilih seorang ketua paderi di kalangan mereka.  Anadius telah dipilih sebagai ketua.  Beliau pernah berkata bahawa dia lebih suka melihat serban Sultan Muhammad daripada melihat topi orang Kristian mazhab Katholik kerana orang Kristian Katholik telah menindas orang mazhab Ortodoks. Sultan Muhammad juga mengarahkan supaya gereja dan sinagog Yahudi  tidak dimusnahkan atau dirosakkan.

15.    Kemangkatan Sutan Muhammad Al-Fateh: 


 MAKAM SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH DI TURKI

Baginda telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 bersamaan tahun 855 Hijrah. Beliau meninggal dunia semasa masih muda, iaitu baru berumur 49 tahun ketika sedang berada di kemuncak kejayaan sebagai pemerintah. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kematian baginda adalah kerana diracun oleh doktornya sendiri yang sebenarnya seorang berketurunan Yahudi, wallahuaklam.

16. Apakah pengajaran dari peristiwa penaklukan Kota Konstantinople.

16.1. Setiap apa yang diucapkan/diramalkan oleh Rasulullah pasti akan berlaku.  Ramalan penaklukan Kota Konstantinople hanya berlaku setelah 826 tahun. Ini kerana setiap ucapan dan ramalan Rasulullah berdasarkan wahyu/ilham dari Allah. Rasulullah tidak bercakap seperti manusia biasa.  Manusia biasa seperti kita bercakap berpandukan akal fikiran masing-masing. 

16.2. Faktor-faktor yang membantu kemenangan tentera Islam menakluki Kota Konstantinapole:

        16.2.1.Allah memberi pertolongan kepada kemenangan yang   sangat luar biasa ini kerana sultannya ialah seorang yang sangat alim, beriman dan taat kepada perintah  Allah. Benarlah kata Rasulullah dalam sabdanya.

        16.2.2.Tentera Sultan Muhammad dikatakan berjumlah hampir 500,000 orang tetapi yang dipilih ke medan perang untuk menakluki Kota Konstantinapole hanya seramai sekitar 265,000 sahaja.  Mereka telah dipilih dan ditapis yang terdiri dari yang terbaik.  Terbaik dari aspek keimanan dan ketaatan kepada perintah Allah.  Benarlah kata Rasulullah dalam sabdanya.

       16.2.3. Sultan Muhammad AlFateh juga telah melengkapkan  tenteranya dengan senjata-senjata dan kelengkapan yang moden sesuai dengan keperluan perang masa itu.

16.3.  Di zaman moden ini tentera Islam tidak mungkin boleh menundukkan tentera bukan Islam kalau hanya sekadar bergantung kepada kelengkapan senjata sahaja.  Panglima dan tentera itu sendiri mestilah terdiri dari orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Mereka mesti dekat dengan Al-Quran. Lihat sahaja tentera  HAMAS Palestin yang bersedia untuk mati syahid pada bila-bila masa. Mati syahid adalah senjata ampuh yang telah Allah sediakan untuk tentera Islam. Mereka sangat digeruni oleh Israel walaupun mereka tidak mempunyai kelengkapan senjata yang moden dan canggih.  Perjuangan mereka ikhlas semata-mata kerana Allah. Disaat itu barulah Allah akan turunkan bantuan dan pertolonganNya.  Sebagai contoh kita telah mendengar berita bahawa tentera HAMAS telah dibantu oleh malaikat Allah yang berpakaian seragam putih dan turut berperang menentang tentera Israel. Begitulah juga rahsia kejayaan Sultan Salahuddin al Ayubi (1137 – 1193) membebaskan Palestin dari tentera salib pada 2.10.1187 setelah 88 tahun dibawah kekuasan tentera salib.

16.4.  Musuh-musuh Islam sangat mengetahui bahawa pemimpin negara atau umat Islam tidak akan berjaya dan mendapat pertolongan dari Allah jika mereka jauh dari Allah dan tidak mengamalkan ajaran yang dibawa Rasulullah. Pemimpin yang hidup mewah, menjadi perasuah, penyamun, lanun, berpoya-poya dan melakukan pelbagai dosa sama sekali tidak menjadi kegerunan kepada musuh Islam.  Sebaliknya musuh Islam sangat takut kepada pemimpin yang memiliki ciri-ciri Salahuddin Al Ayubi atau Sultan Muhammad Al-Fateh.  Lihat saja apa berlaku kepada bekas Presiden Mesir, Dr. Mohamad Mursi.  Dr. Mohamad Mursi memiliki ciri-ciri kedua tokoh Islam tersebut.  Oleh kerana itulah beliau telah disingkirkan dari kuasa secara jahat dan biadap oleh musuh Islam walaupun berjaya memenangi pilihanraya Mesir secara demokratik.

16.5. Pemimpin mesti dekat dengan Allah. Mentaati perintah Allah dan rasulnya serta sentiasa memohon pertolongan dan mengharapkan bantuan dari Allah SWT. 

16.6. Mana-mana pemerintah Islam mesti menjadikan alim ulama yang ikhlas kerana Allah sebagai penasihat dan pembimbing mereka dalam pemerintahan negara.

16.7.  Nilailah sendiri sumbangan serta pengorbanan Sultan Muhammad Al Fateh untuk agama Islam yang maha suci walaupun hidup cuma 49 tahun sahaja dan 30 tahun menjadi sultan. Muhasabahlah diri kita masing-masing, khususnya bagi yang Allah panjangkan umur sampai 50, 60 ataupun lebih 70 tahun. Apakah sumbangan kita untuk Islam. Kalau sekadar sembahyang fardhu tidak pernah tinggal, puasa tidak pernah tinggal, zakat dikeluarkan, haji ditunaikan itu bukan sumbangan atau pengorbanan namanya.  Itu hanyalah baru sekadar tanggungjawab kita sebagai orang Islam. 


“Orang yang paling aku sukai adalah orang yang menunjukkan kesalahanku”. ~ Mutiara kata Khalifah ‘Umar Al Khattab

1 comment: