Tuesday, 27 January 2015

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

 

1.    Al-Quran bukan sekadar sebuah kitab panduan.  Ia juga merupakan kitab petunjuk, kitab peringatan, kitab kemuliaan, kitab kerahmatan, kitab kebenaran, kitab kemenangan, kitab penyembuhan, malah kitab kesatuan. AlQuran bukan seperti mana-mana buku yang ditulis oleh manusia bahkan ia terlalu agung untuk disamakan dengan mana-mana karya manusia, betapa hebat manapun manusia itu.

2.      Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia mengesa/mentauhidkan Allah SWT. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan alam oleh Allah dan bagaimana alam yang sangat kompleks ini ditadbirkan oleh penciptaNya yang maha agung. Dengan memahami Al-Quran manusia mampu mengenali sifat-sifat Allah  yang maha mulia. Al-Quran turut memuatkan contoh teladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa Al-Quran diturunkan. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan bagi mengharungi kehidupan sebagai seorang Islam sejati.

3.    Kesempurnaan dan kemuliaan Al-Quran yang tidak mampu dicabar dan ditiru oleh manusia telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam beberapa firmannya seperti dalam surah-surah berikut:

          3.1.   Surah Yunus [Nabi Yunus](10:57) yang berbunyi:


“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

          3.2.   Surah Ash-Syuraa [Musyawarah](42:52) berbunyi:


"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Qur'an) dengan perintah Kami. Sebelummnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Qur'an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Qur'an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengannya siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.”

3.3.   Surah Al-Anfal [Harta Rampasan Perang](8:2) pula berbunyi:


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allah lah mereka bertawakkal." 

          3.4.   Surah Al-A’raaf [Tempat yang Tinggi](7:204)


"Dan apabila dibacakan Al Qur'an, maka dengarkanlah dengan baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat".
 
3.5.   Surah Al-Israq [Memperjalankan Waktu Malam](17:88) berbunyi:
 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.

3.6.   Surah Hud [Nabi Hud](11:13) berbunyi:

Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”

          3.7.   Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:23) berbunyi:


“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

          3.8.   Surah Yunus[Nabi Yunus](10:38) berbunyi: 


(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”

4.   Amalan membaca dan mengamalkan apa yang terkandung dalam Al-Quran sangat banyak manfaat dan kebaikannya. Ia dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda-sabdanya, iaitu seperti berikut:

4.1.   Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran: 

Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadis Riwayat Bukhari).

4.2. Allah SWT mengangkat martabat orang yang membaca Al-Quran: 

 Daripada Omar Bin Al-Khattab r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)

4.3.   Al-Quran akan memberi syafaat kepada pembacanya dihari akhirat nanti:

Daripada Abu Umamah r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang dihari kiamat nanti untuk memberi  syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

4.4.   Orang yang membaca Al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya:

Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah utrujjah (seperti limau besar) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4.5.   Al-Quran menjadi pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat nanti:

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim).

4.6.   Membaca dan memperelokkan bacaan Al-Quran akan mendapat kebaikannya:

Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin Al-‘Asr r.a. Rasulullah SAW bersabda : “Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

4.7.   Membaca Al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala:

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.8.   Kefahaman yang sahih tentang Al-Quran akan menjadi contoh ikutan:

Daripada Ibnu Omar r.a. Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam, lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.9.   Membaca Al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah):

Daripada Barra’ dan  ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Rasulullah SAW dan menceritakan peristiwa tersebut maka Rasulullah bersabda : Itulah ketenangan (sakinah) yang turun disebabkan bacaan Al-Quran”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.10. Sesiapa yang tidak mengingati ayat-ayat Al-Quran umpama rumah yang roboh:

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat Al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi).

4.11. Rasulullah SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada Al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka:

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Rasulullah SAW menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan Al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah).

4.12. Membaca beberapa ayat Al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk:

Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah SAW keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka yang demikian itu, ya Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW: “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

4.13. Sesiapa yang lebih fasih membaca Al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah:

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang paling layak mengimami kamu di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim).

4.14. Membaca setiap satu huruf Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala:

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. dia berkata Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi dan Tarmizi).

4.15. Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran:

Daripada ‘Imran Bin Husain, beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca Al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian dia berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca Al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan Al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran dan mereka berdoa dengannya”.(Hadis Riwayat Tarmizi)

5.   Sesungguhnya Al-Quran itu ialah mukjizat yang Allah turunkan kepada Rasulullah.  Sesiapa yang kerap membaca Al-Quran pasti dia akan merasa kasih dan sayang padanya. Seseorang akan merasakan tidak lengkap hidupnya seharian jika tidak membaca Al-Quran walaupun sedikit. Al-Quran mampu membersihkan jiwa pembacanya.  Lazimilah diri kita untuk membaca Al-Quran yang kita yakini mempunyai terlalu banyak kebaikan dan kelebihannya. Masa yang paling sesuai untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat 5 waktu dan waktu lain seperti  ketika berehat dan sebelum tidur.  Jadikanlah kalam Allah ini sebagai teman hidup kita.

6.  Musuh Islam melihat potensi yang ada dalam Al-Quran dan cuba menghalang umat Islam dari membacanya.  Mereka mencipta pelbagai alat audio visual yang melekakan seperti TV,  radio, filem, komputer, internet dan pelbagai alat gadget lagi.

7.  Janganlah membuang masa yang berharga untuk membaca bahan-bahan bacaan yang tidak memberi guna.  Luangkan masa untuk mencari  pahala dari Allah dengan membaca Al-Quran. Ingatlah bahawa saat kematian itu terlalu dekat dengan kita. 

8.  Marilah sama-sama kita menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dan panduan hidup kita kerana kita tidak akan sesat selama-lamanya.  Itulah janji Rasulullah SAW.  Malah kita akan  sentiasa mendapat pimpinan dan bimbingan daripada Allah SWT. Al-Quran adalah alat yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa manusia. Daripada Ibnu Umar r.a berkata; Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air". Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata Rasulullah lagi, "Dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”    

                     Bacaan surah Al-Mulk oleh Sheikh Abdullah Juhany


“Sekiranya manusia mengetahui keburukan percakapan dan hawa nafsu maka mereka akan melarikan diri daripada keduanya sebagaimana mereka melarikan diri dari harimau.” – Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah

5 comments:

  1. Replies
    1. Tq. Semoga memberi manfaat dan Al-Quran sentiasa dekat di hati kita

      Delete
  2. Beruntunglah mereka yang pelajari Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran akan menjadi syafaat dan teman mereka di akhirat nanti.

    ReplyDelete