Thursday, 29 January 2015

PENGHULU SEGALA ISTIGHFAR

 
LAZIMILAH MEMOHON KEAMPUNAN DARI ALLAH SWT
1.   Daripada Sayyad bin Aus RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Penghulu istighfar ialah kamu menyebut: “Ya Allah, engkaulah Tuhanku.  Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Mu. Engkau menciptakan aku dan aku hambaMu. Dan aku atas perjanjianMu dan janjiMu mengikut sekadar kemampuanku.  Aku berlindung denganMu dari kejahatan apa yang aku lakukan. Aku kembali denganMu atas segala nikmatMu atasku dan aku kembali dengan dosaku justeru ampunlah aku kerana sesungguhnya tiada mengampunkan segala dosa kecualiMu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Ahmad).

2.  Dr. Aidh Al-Qarani dalam bukunya “Ihfazillah” berkata: Doa di atas mengandungi makna tauhid (mengesakan Allah), pengakuan dari seorang hamba yang lemah, tasbih dan istighfar.  Ia juga mengandungi zikir, pengakuan atas kurnia yang Allah berikan, pengakuan dan penyesalan terhadap dosa-dosa.

3. Kita hendaklah sentiasa beristighfar jika merasakan ada dosa-dosa kepada Allah, baik secara sengaja atau tidak sengaja.  Begitulah hakikat orang beriman yang sentiasa mengingati Allah dengan memohon keampunan dariNya.

4.  Kelebihan istighfar sudah pasti mendapat keampunan dari Allah dan bantuanNya.  Firman Allah dalam Surah Nuh [Nabi Nuh](71:10) berbunyi:


“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

(71:11)

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;”

          (71:12)


“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

5.   Banyak sabda-sabda Rasulullah SAW berkaitan dengan isfighfar ini. Antaranya ialah:

5.1.  “Bahwasanya terkadang timbul perasaan yang kurang baik dalam hati dan aku membaca istighfar (mohon ampun) kepada Allah seratus kali dalam sehari”. (Hadis Riwayat Muslim).

5.2.   Dari Abu Hurairah, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya aku mohon ampun dan bertaubat kepada Allah lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari”. (Hadis Riwayat Bukhari)

5.3.  Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Demi Dzat yang jiwaku berada di TanganNya, seandainya kamu tidak berbuat dosa, nescaya Allah akan menghilangkan kalian dari muka bumi dan Allah akan mendatangkan suatu kaum lain yang berbuat dosa, lalu beristighfar (memohon ampun) kepada Allah Ta’ala. Dan Allah mengampuni mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)

5.4.   Dari Ibnu Umar R.a, dia berkata: “Kami menghitung Rasulullah SAW membaca: “Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” sebanyak seratus kali dalam satu majlis. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Termidzi).

5.5. Dari Ibnu ‘Abbas R.a, bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa membiasakan beristighfar, maka Allah melapangkan kesempitannya dan memudahkan segala kesulitannya dan memberi rezeki kepadanya dari arah yang tiada disangka-sangka”.(Hadis Riwayat Abu Daud).

5.6. Dari Ibnu Mas’ud R.a, bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berdoa: “Astaghfirullaahalladzii laa ilaaha illa huwal hayyul qoyyuum wa atuubu ilaihi” (Saya mohon ampun kepada Allah Dzat yang disembah yang benar melainkan Dia yang Maha Hidup, lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya dan saya bertaubat kepada-Nya), maka diampunilah dosa-dosanya walaupun lari dari perang”. (Hadis Riwayat Abu Daud, Termidzi dan  Al Hakim.)

6.   Istighfar boleh menghapuskan dosa. Oleh kerana itu suruhan istighfar dan bertaubat digabungkan. Lihat firman Allah dalam Surah Hud [Nabi Hud](11:3) yang berbunyi:


“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).”

7.   Kita adalah manusia biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Kita melakukan dosa kepada Allah setiap hari.  Luangkanlah sedikit waktu dalam hidup kita seharian untuk berisighfar dan memohon keampunan dari Allah.  Semua nabi-nabi dan rasul-rasul pilihan Allah memohon keampunan dari Allah walaupun mereka maksum dari dosa.  Rasulullah SWT yang tidak ada sebarang dosa besar ataupun kecil beristighfar lebih dari 70 kali sehari.  Janganlah kita tunggu nyawa sudah berada di halkum baru mahu memohon keampunan Allah. 


“Orang berilmu bertanya mengenai perkara yang dia sudah tahu dan perkara yang belum diketahuinya. Maka dengan cara ini dia dapat memperkemaskan ilmu yang telah ada dan dapat menimba ilmu yang belum diketahui.Orang jahil pula sentiasa menyisih diri daripada menerima pelajaran dan berhenti daripada belajar” – Mutiara kata Imam Syafie Rahimahullah


Sebahagian sumber rujukan: Dari buku "Permata Buat Orang Yang Beriman", Jilid 2  Terbitan Kerajaan Negeri Perak.

No comments:

Post a Comment