Tuesday, 12 May 2015

SEMUA KEHIDUPAN BERMULA DARI AIR : KEBENARAN AL-QURAN

 

1.  Lebih dari 1,400 yang lalu Al-Quran telahpun memberikan penjelasan konkrit bahawa setiap penghidupan di dunia ini berasal dari air. Lihat firman-firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

1.1.   Surah Al-Anbiya [Para Nabi](21:30) yang berbunyi: 

“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya. Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”

1.2.   Surah An-Nur [Cahaya](24:45) yang bebunyi:
 

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

1.3.   Surah Ta-Ha (20:53) pula berbunyi:


“(Dialah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Dia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Dia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.
2.  Dari segi saintifiknya adakah kenyataan tegas dalam Al-Quran ini benar.  Jawapannya ia memang benar dan sangat tepat. Mengikut BBC News dalam segmen Science and Nature (Space) yang bertarikh 27 Mei 2006, pakar-pakar biologi telah bersepakat bahawa air adalah asas kepada kehidupan. Tanpa air kehidupan tidak boleh wujud dan sekiranya ia wujud sekalipun, ia tidak boleh bertahan dan berterusan tanpa air.

3.  Kenyataan bahawa kehidupan bermula daripada air disokong pula dengan penemuan terbaru yang mendapati bahawa hidupan mungkin bermula di bawah lautan. Mengikut BBC News Online bertarikh 9 September 1998, di segmen Sci/Tech bawah tajuk “Springing To Life Under The Sea”, saintis-saintis mengatakan rahsia mengenai kewujudan hidupan yang awal di dunia mungkin wujud 9,000 kaki di bawah lautan Atlantik. Di kawasan itu saintis menemui semburan hidrogen dan selepas mereka mengkaji persekitarannya, mereka merasakan ia sesuai bagi melahirkan kehidupan di peringkat awal.

4.  Setiap kehidupan terbina daripada sel dan kehidupan sel bergantung kepada protoplasma.  Protoplasma pula memerlukan air untuk hidup kerana 80 peratus daripadanya adalah air.  Oleh itu  dirumuskan tidak boleh wujud sebarang hidupan tanpa air.

5.  Kesemua penemuan saintifik ini membuktikan kenyataan dalam Al-Quran bahawa segala kehidupan bermula daripada air adalah benar dan tepat.  Maha Suci Allah yang Maha Pencipta. Apakah ada lagi agama lain di dunia ini yang membiacarakan perkara yang sama?.  Pasti tidak ada.  Kerana Islam adalah sebenar-sebenarnya agama dari pencipta manusia dan alam ini.  Penciptanya ialah tidak lain melainkan Allah SWT.

“Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada mereka yang menjaga lidahnya. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar”. ~ Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab

No comments:

Post a Comment